Heloo Yuda Areni, tahniah kerana awak berjaya membuatkan saya tidak dapat tidur selepas membaca novel ini! Saya habis pembacaan kira-kira pukul 2.37 pagi dan selepas itu saya termenung — menghadam kisah ini. Saya ingat nak taip ulasan ini siang nanti sahaja tapi otak saya tak benarkan. Haha, jadi saya kena noktahkan sekarang juga.
Pertama sekali, saya ingin memuji keindahan bahasa penulis. Sedap ya fantasi yang dikarang, kosa kata yang digunakan indah belaka. Saya banyak belajar perkataan baharu seperti wiwaha yang bererti perkahwinan dan dewata iaitu para dewa.
Kedua, setiap penulis ada keistimewaan tersendiri dan saya rasa antara keistimewaan Yuda ialah beliau pandai mengawal jalan cerita. Contohnya, watak-watak utama dalam novel ini tak bergerak seiring. Aryan, Elfarish dan Nek Yan mencari batu geliga sakti di Kepulauan Varusa manakala Neyna, Mak Inang dan Elfiara bergerak ke Mintaka untuk mencari pembunuh ayahanda Neyna. Yuda bijak menyusun— mula mula cerita akan menampilkan perjalanan Aryan dan temannya. Kemudian apabila ada situasi genting alur cerita dikawal oleh Neyna dan temannya pula, meninggalkan pembaca dengan perasaan berdebar akan apa yang terjadi pada Aryan.
Kemudian konsep yang diperkenalkan juga unik daripada novel fantasi lain. Contohnya konsep 'cermin' Tasik Mirat. Seperti yang kita tahu, Aryan ini agak lemah jugalah ( maaf Aryan, apapun saya masih suka awak :p). Dalam pertembungan antara Aryan sebenar dan Aryan cermin(wah HAHAHA lucu pula menyebut Aryan cermin), Aryan yang sebenar lebih kepada strategi bertahan. Dia macam ketandusan taktik berlawan pun ada (maaf sekali lagi Aryan). Tapi, sisi Aryan cermin yang ditonjolkan berlawanan. Aryan cermin lebih garang, lebih kepada menyerang dan Aryan cermin ni dia seolah berusaha untuk menyedarkan Aryan sebenar untuk bangkit, untuk sedar akan posisinya sebagai pewaris takhta Alnizam. Saya rasa Aryan ini kuat cuma potensi sebenar dia masih belum ditayangkan.
Itu yang menarik pasal konsep Tasik Mirat ini. Dan, saya ingatkan ketika Aryan, Nek Yan dan Elfarish masuk dalam tasik ini, mereka bertiga akan berdepan dengan cermin masing-masing. Oh tidak rupanya. Elfarish dia hidup dalam fatamorgana yang dicipta Garuda si burung kayangan. Nek Yan pula? Hanya penulis yang mengetahuinya. Sebab itulah saya rasa teruja disebabkan mehnah yang dihadapi oleh setiap watak tidak sama walaupun dicampakkan ke lokasi sama.
Seterusnya, keistimewaan penulis ialah banyak tanda tanya yang tercetus selepas habis pembacaan. Sampai mukasurat yang terakhir, saya tak dapat pastikan siapa 3 orang raja buana itu. Masing-masing kuat. Saya rasa Yuda sengaja tak memberi klu untuk menimbulkan unsur suspens HAHAHA. Antara persoalan lain, siapa Mangkubumi tu sebenarnya. Dia nampak lemah tetapi kadangkala nampak kuat. Firael punya figure pun belum ditonjolkan lagi, hanya sejarahnya saja yang tercatat. Asura pula, baikkah dia atau jahatkah dia? Siapa sebenarnya Asura ini? Dia pun banyak potensi juga.
Oh tidak, saya ada banyak kata yang ingin dicurahkan tapi saya kira sampai sini sahajalah dulu. Semoga kalau ada pembaca yang masih teragak-agak nak baca novel ini akan teracun dengan ulasan saya ini, HAHAHA. Tolonglah baca.Semakin banyak mukasurat yang kamu selak, semakin banyak soalan kamu. Kita akan rasa kita dah tahu banyak tapi sebenarnya kita tak ada klu pun apa akan jadi (*sedih).
Tahniah kepada penulis atas novel debut ini. Semoga sambungan novel ini akan cepat 'dilahirkan', aamiin. Saya suka sangat naskhah ini!
p/s: Saya harap sangat novel kedua akan ada penerangan lebih panjang tentang Perang Panca Panji dan Maharana Mithra. Saya betul betul invested dengan dua perang ini sebab dinamik 2 perang yang berbeza latar lokasi dan masa tapi akhirnya membawa kepada konflik yang sama.