Berjaya juga menghabiskan bacaan selepas hampir dua bulan! Bukan kerana isinya tak bagus, tapi mood membaca yang hancur lebur kebelakangan ni.
Secara ringkasnya, buku ini mengisahkan seorang pemuda bernama Rahdian yang mengalami trauma masa kecil yang menyakitkan. Terkenang-terkenang sehingga usia semakin meningkat. Namun takdir menemukan dia kembali dengan orang yang pernah memberi kenangan pahit dalam hidupnya itu.
Perjalananan Rah menunaikan umrah dan ziarah ke negara Turki, menjadikan isi buku ini terbahagi kepada dua. Satu, kisah silam Rah. Kedua, sejarah negara Turki dan juga kisah di sebalik sejarah negeri Mekah dan Madinah.
Di sinilah yang sedikit membuatkan mood pembacaan sedikit menurun. Pada permulaan sudah bersentimental dengan tragedi hidup Rah dan kawan-kawan (atau musuh?), kemudian pada satu tahap pembacaan lebih kepada sejarah sahaja.
Sampai satu ketika, kisah sejarah + travelog lebih mendominasi, dan kisah Rah hanyalah sebagai penokok tambah. Mungkin penulis yang profesinya memang sebagai guru sejarah, terbawa-bawa keghairahannya untuk "mengajar".
Tidak. Tak ada salahnya pun. Bagus juga kita didedahkan cerita begitu. Saya pun khayal membaca. Bagus. Namun seperti yang saya katakan, ia agak mendominasi lalu menjadikan kisah perjalanan Rah agak tenggelam. Apa lagi penutupnya agak tergesa-gesa.