Meninggalkan rumahmu, setelah tak berjawab salamku di muka pintu. Tapi rinduku masih di situ, mengetuk bertalu-talu.
Perempuan dari Masa Lalu membuka ruang kepada kita untuk mengenal apa itu kesunyian, dan memahami perasaan yang wujud dalam setiap pertemuan dan perpisahan.
Ia mengajar kita cara untuk melepaskan kenangan dan ingatan masa lalu — tanpa perlu melupakan. Ia juga membuatkan kita untuk menanam harapan dan menyiram rindu.
Naskhah ini, yang mengandungi 34 puisi dan catatan, akan mengajak kita untuk meluahkan segalanya, tetapi dalam masa yang sama merahsiakan. Ia akan memperkenalkan kita dengan bermacam golak perasaan.
Selamat menikmati naskhah ini, dan selamat berkenalan dengan perempuan dari masa lalu. Usah risau, dia tidak akan pernah mendedahkan dosa-dosa anda, walau dia tahu semuanya. Dia cuma mahu membebat luka dan kecewa, selain memujuk untuk anda menikmati hari ini dan esok, sepenuh-penuhnya.
Rasanya saya tahu mengapa Perempuan dari Masa Lalu begitu dekat dengan pembaca hinggakan kini sampai ke cetakan keempat. Sukar untuk membayangkan buku puisi dan catatan sebegini begitu laku keras namun faktor tema yang berkait dengan perasaan, perhubungan, dan alam di samping penggunaan bahasa dan perlambangan yang tidak begitu tinggi membuatkan pembaca biasa atau mereka yang bukan pembaca puisi tegar mudah memahami mesej tersirat yang ingin disampaikan. Look forward to her next book!
Menutup senjakala Ogos dengan bacaan Perempuan dari Masa Lalu oleh @wafaawla terbitan @inibukujiwa
Aku punya hormat yang tinggi pada mereka sudi berkongsi perasaan dengan merenda abjad menjadi kata-kata dan menyusun kata menjadi sepotong puisi yang menjentik rasa luar biasa buat pembaca.
Ada hal-hal yang remeh dicitra dengan perkataan yang mengena menjadikan ianya perbuatan yang boleh pembaca rasa; penulisan sedang bercerita tentang dia.
Pada aku buku ini keseluruhannya melankolis, dengan jungkir balik peristiwa yang menyapa perasaan-perasaan rindu, barangkali kecewa dan pencarian kekuatan dan makna diri. Terasa dekat dengan Wafa bila membaca buku ini, barangkali kerana ianya ditulis tulus untuk kita sebagai pembaca.
Puisi Tetamu, Selamat Tidur (kepada emak) dan Monolog: di tempat tinggi adalah yang paling aku suka.
Memetik kata-kata penulis, semoga buku ini berjodoh dengan orang terluka dan bersahabat dengannya.
Seramah itu buku ini menemui saya dan bercakap-cakap.
Berbicara soal patah hati, luka, tentang swacinta dan menyentuh jiwa yang terdalam yang sekian lama pegun.
Saya menemui rumah ketika bercakap dengan buku ini. Tak mudah berbicara dengan diri sendiri, perempuan yang saya tinggalkan dari masa lalu.
Perempuan dari masa lalu itu saya.
Terima kasih kerana singgah dan meninggalkan kesan pada sudut hati yang paling dalam, lalu menepuk bahu saya dan berlalu meninggalkan senyuman dan semangat untuk bangkit menjadi perempuan yang baru.
Saya rasa senang ketika membaca buku ini. Mungkin kerana ia ditulis dari hati. Sewaktu bersendiri, kita mampu mendengar suara hati kita dengan baik.
Membaca ketika duduk berseorangan, seperti berada di dalam dunia sendiri. Satu perasaan yang mahal.
Buku ini sememangnya untuk kamu. Ia akan menjadi teman baikmu. Saya akan sentiasa mencapai buku ini, mengisi hati yang rindu. Rindu kepada seorang teman yang memahami.
Terima kasih penulis. Saya menantikan buku yang seterusnya !
P/s : Besok ada exam di hospital tetapi masih lagi mampu menghabiskan buku ini. Memang buat kerja gila 😂
Kenapa review dan rating saya sebelum ni hilang? 😭
Puisi yang menyentuh jiwa dan kalbu. Sangat menzahirkan akan apa yang saya rasa ketika dibaca. Boleh dikatakan penulis berjaya menzahirkan isi hati semua wanita. Dan ramai boleh relate akan puisi yang ditulis.
Isi-isi monolog dan puisi dalam buku ni dia buat kita rasa lebih dekat dgn diri sendiri tau, buku ni seolah mcm satu suara sunyi yg kita pernah ada dulu diam diam yg tak bicarakan pada sesiapa. Alaaaa I sukaaa vibes buku ni sbb penuh 'kerahsiaan' yg indah. Indescribable. Tapi best! <3
Saya bukanlah peminat puisi, tetapi naskhah ini berjaya membuatkan saya menikmati keindahan puisi.
Antara puisi yang saya gemari - Puisi Itu Seperti Apa?, Menulis Kepada Takdir dan Seorang Perempuan dari Masa Lalu. Juga monolog Kepada Seseorang yang Patah Hati dan Kepada Seseorang yang Pernah Jatuh Hati.
Istimewanya naskhah ini, terdapat kod bar yang membawa pembaca ke aplikasi Spotify. Penulis akan membacakan puisinya untuk kita. Bukan semua, tetapi beberapa puisi terpilih. Walaupun saya sudah membaca sendiri puisi tersebut, tetapi saya masih suka mendengar ia dibacakan oleh penulis.
Berbicara tentang sepi, harapan, pertemuan dan perpisahan. Bait ayatnya terasa hidup dan sungguh dekat di jiwa. Seolah-olah membaca suara hati paling dalam, suara hati yang tak terluah. Namun, penulis berjaya menukilkan perasaan itu dalam perkataan yang indah dan mempesona.
Terima kasih penulis kerana menyatakan apa yang terbuku dalam hati ini, yang tak terluah oleh kata-kata.
Diksi bahasa yang lunak. Indah bila direnung. Setiap bait kata menusuk jiwa. Manusia itu tidak sempurna. Ada jatuh ada bagun. Kata-kata yang ikhlas itu lahir dari hati. Tiada yang lagi indah dsri ke ihlasan hati.
Membaca buku ini seolah mengimbau kenangan lalu yang kini bole tersenyum kerana kenangan juga merupakan sahabat karib kita.
Gagal 'membaca' beberapa puisi di sini tapi banyak juga puisi yang menjadi kegemaran. Paling suka dengan monolog@puisi tanpa judul pada halaman 48: ...
Meminta semesta berhenti memberi kita kecewa, sama sahaja dengan kita meminta untuk tidak mendewasa. ...
🎐 Respons kepada puisi Sajak-sajak Malam (halaman 15): --Aku juga rindu akan kata dan air mata yang berpelukan ini. Bila lagi Tuhan mahu hadirkan rasa yang satu ini. ...
🎐 Respons kepada puisi Membina Rumah (halaman 41): --Kepada Sakechi Yukara, terima kasih kerana pernah mengajak aku berteduh seketika di rumahmu pada waktu-waktu dulu. ...
🎐 Respons kepada Monolog:Saya Mengerti Mengapa Tulisan Diciptakan (halaman 67-69): --Sebagai medium buat manusia yang sentiasa riuh di dalam namun bisu di luar. ...
🎐 Respons kepada Monolog: Di Tempat Tinggi (halaman 88-89): --Rindu atau kelat? ...
🎐Respons kepada puisi Seorang Perempuan dari Masa Lalu (halaman 94-96): --Terima kasih kerana pernah berkata air mata yang jatuh bukanlah kesalahan tapi kejujuran sebuah perasaan.
Setelah sekian lama tidak membaca karya puisi yang begitu puitis dari pemuisi wanita (selain dua wanita SN kita), karya Wafa berjaya menghembus nafas baharu tentang puisi perasaan dan pengalaman bagi generasi baharu yang ingin menjinakkan diri dalam pembacaan puisi.
Puitis, sangatlah puisi. To the point where I can feel my heart was swoop away by the serenity of it. Membenarkan hati saya untuk benar-benar mendalami personafikasi tulisan Wafa, menjemput semula perasaan luka hari semalam yang sedikit sebanyak berjaya saya kuburkan.
Buku ini tidaklah nipis mahupun tebal mana pun. Boleh sahaja dihabiskan dalam masa dua paling pun tidak sehari masa pembacaan. Tapi disebabkan intipati setiap sajak yang begitu sarat dengan gabungan pengajaran dan perasaan, ditambah lagi dengan susunan kata-kata Wafa yang begitu indah sulamannya — saya memilih untuk menghayati setiap sajak mengikut rentak hati sendiri.
Terima kasih, Wafa. Semoga dipermudahkan tinta penulisan Wafa yang seterusnya bagi kebaikan kita bersama dalam mendepani gejolak perasaan manusiawi.
Seingat saya tahun ni saya belum ada lagi membaca buku-buku puisi yang ditulis oleh seorang perempuan. Dan ini adalah buku pertama yang saya nikmati. Sebelum itu saya ucapkan tahniah atas kata-kata yang baik dalam suratnya.
Perempuan dari Masa Lalu adalah sekumpulan kata yang teguh dan ikhlas. Ia seolah-olah sangat dekat di hati. Benarlah kata penulis diawal buku bahawa ia menceritakan tentang KITA. Bertemanlah dengan sederhana dan sunyi.
Sungguh, buku ini membawa saya ke masa lalu. Ia juga merawat hati setelah ia mengetuk pintu kenangan. Terima kasih.
Saya bukanlah peminat puisi, namun membaca puisi ini di petang hari , sedikit sebanyak mengenali peribadi penulis dan sangat beremosi ketika membacanya kerana saya juga seorang perempuan. Ada sebahagian puisi dalam buku ini membawa makna yang sama dengan apa yang saya alami selama ini. Terima kasih dan tahniah penulis!
saya suka cara author menyampaikan cara penulisan dia,memang suka quotes dia. Kadang kadang saya ni suka tulis kata kata hikmat dalam buku untuk saya rujuk balik semula bagi pemberi semangat. Love this ,thank you author🌷
Penulis mengatakan catatan puisi ini adalah bagian daripada hidupnya. Maka membaca buku ini membawa erti membaca penulisnya.
Aku boleh simpulkan catatan puisi ini mencitrakan kisah lelaki perempuan yang saling menyayangi, menghargai dan mencintai dengan sebaik-baik cara. Namun, ada satu hal yang membuatkan mereka terpisah memilih haluan yang berbeza.
Namun, itu tidak membuatkan mereka saling membenci bahkan tiada sedikitpun aram didalam hati. Andai mereka ditemukan suatu hari, pasti mereka boleh saling enak berceritakan kisah hidup masing-masing. Kecuali satu hal yang perlu disembunyikan.
Kenangan adalah sesuatu yang sukar untuk dilupakan . Setiap orang berbeza caranya. Kadangkala dengan cara mendiamkan diri, kemudian simpan kemas-kemas di kotak memori yang paling dalam sekali, itu sudah memadai. Ada pula yang perlu meninggalkan untuk terus ‘move on’ agar ia terpadam, lenyap ditenggelami zaman. Perasaan-perasaan lain mula akan muncul disepanjang perjalanan. Tiba suatu masa, apabila ia bangkit, rupanya itu adalah pengajaran dan pembelajaran untuk kita sebagai seorang manusia.
Aku tarik buku Perempuan dari masa lalu ini daripada rak buku. Aku cuba untuk membaca satu puisi dan hasilnya, aku tenggelam dalam bait kata puisi oleh penulis. Kata-kata puisi yang sangat mendamaikan ❤️
Aku suka satu puisi yang berbunyi "Meminta semesta berhenti memberi kita kecewa, sama sahaja dengan kita meminta untuk tidak mendewasa". Aku setuju dengan puisi ini kerana kita sebagai manusia takkan pernah lari daripada ujian yang hadirnya akan memberikan luka dan kecewa kepada diri kita. Apabila kita tidak mahu menerima ujian yang datang, sama seperti kita tidak mahu diri kita berkembang dan menjadi lebih baik. Ujian yang hadir itulah mendewasakan pemikiran dan hati kita.
Aku juga satu puisi yang berkisar mengenai jika hati kita sudah tidak mampu untuk menjadi tabah. Ada masanya kita perlu "menyerah" dengan perasaan sendiri. Menyerah ini dengan kita ambil masa kita, mengakui yang kita hanya insan yang lemah. Ada masanya jatuh dan perlukan masa untuk berehat dan muhasabah diri semula. Semoga selepas kita menyerah dan mengakui kita hanya manusia biasa, kita temui semula kekuatan selepas itu.
Dan suka untuk aku mengulas satu lagi puisi yang aku suka mengenai jika kita bertemu "suka" dan "duka" di dalam hidup. Terimalah kedua-dua perasan itu. Mana mungkin, kita hanya menerima suka dan gembira sahaja dalam hidup kita, tapi membuang perasaan duka dalam hidup kita. Perasaan duka juga perlu diraikan dan diterima dalam hidup kita sebagai mana kita menerima perasan gembira. Suka dan duka ini saling melengkapi antara satu sama lain, jika hilang salah satu, maka kuranglah seri hidup kita. Raikanlah suka dan duka dalam hidup, kerana itu memang lumrah dalam hidup manusia.
Secara keseluruhannya, aku sangat sukakan buku puisi ini. Puisi-puisi pendek yang mempunyai banyak kisah yang mendewasakan apabila dibaca dan ditelusuri secara mendalam. Rasa tak puas membacanya. Terima kasih penulis wafaawla atas karyanya ❤️
🌷Terima kasih untuk setiap kata yang buat aku masuk ke zon PDML.Setiap manusia pasti dihujani rasa suka, duka, kejutan, patah, harapan, terkilan dan berpuluh perasaan yang menyelinap dalam setangkai hati. Seolah hati ini umpama rumah singgah buat mereka bernama perasaan. Itulah, manusia yang dicipta Tuhan diberikan berbentuk rasa.
🌷Puisinya senang faham, tidak perlukan gaya bahasa dan bahasa yang terpaling hebat untuk bekalkan perasaan buat pembaca. Cukup ringkas dan busur panahan terlekat tepat pada pembaca. Puisinya hidup dengan cara si pembaca tafsirkan. Tafsiran penulis lain dan bila sampai pada pembaca ianya lain. Kerna timbul perasaan yang berbeza namun maksudnya bila dibelah kamus bahasa tetaplah sama.
🌷Boleh aku katakan setelah membacanya, bercakap tentang masa lalu indah atau buruk tetaplah jalan yang sudah langsai namun takkan mampu lupus secara total. Seiring waktu ia terlihat padam namun sebenarnya terkelip malap untuk ingatkan bahawa ia masih wujud.
🌷Terciptanya naskah ini, boleh saja untuk bantu kita melupakan masa lalu namun berdamai dengannya itu tindakan terbaik. Kerna ianya satu proses teruntuk berjumpa "Perempuan di Masa Depan". Buku comel yang kenalkan kita tentang banyaknya rasa yang sudah dan mungkin bakal lalui. Kerna selagi hidup kita tetap perlu 'berkawan' dengan semua perasaan yang bergolak di dada. Jangan tanya kenapa kerna syarat untuk hidup dan berkembang itu mandatorinya.
🌷Terima kasih @wafaawla @bukujiwa Moga dapat membaca buku sebegini lagi di lain waktu. Kerna bercakap tentang buku jiwa ianya kekal hidup kerna manusia dan jiwa adalah satu.
Antara buku JIWA yang saya nantikan. Habis dibaca dalam masa sehari sahaja.Tetapi buku ini adalah sebuah buku yang sentiasa kita boleh ulang baca ketika mahu berperasaan dan sedang berperasaan.
Sekali lagi, bagi saya, buku ini hanya benar-benar boleh dinikmati oleh orang yang ingin berperasaan. Puisi dan catatan Wafa lembut, tetapi bukan jenis memujuk rayu dan menyerah kalah. Tidak ada amarah dalam catatannya.
Tulisan Wafa buat saya rasa dalam fikirannya sangat sibuk dan dia gemar berbual dengan dirinya sendiri. Ini hanyalah pendapat dan fahaman peribadi sahaja.
Jujurnya, dulu saya anggap susah untuk jumpa buku bahasa Melayu yang puitis dan sedap dibaca berbanding buku bahasa Indonesia. Sebab entah kenapa buku genre perasaan dalam bahasa Indonesia tu kedengaran lunak didengar dan indah dibaca menyebabkan saya jadi agak janggal membacanya dalam bahasa Melayu.
Tapi saya yakin buku genre ini dalam bahasa Melayu pun boleh jadi lunak didengar dan indah dibaca, cuma saya yang belum jumpa buku yang sesuai.
Dan kini, ya, saya telah menemuinya serta berharap akan bertemu lebih banyak lagi.
Sayu, itu yang dapat aku bicarakan setelah selesai membaca buku ini yang mengambil masa kurang satu jam. Selama aku dalam arena membaca, inilah buku yang terpantas aku habiskan bacaan. Kini aku mengerti mengapa dan bagaimana perasaan seorang bibliofil apabila mengungkap kata "buku itu dan ini terlalu singkat".
Ketika aku menjiwai setiap baris penulisan buku ini, aku dapat rasakan seolah-olah ia sedang meluahkan segala apa yang terpendam dalam jiwa aku yang sentiasa sunyi. Bagaikan sangat memahami perasaan aku yang sedang masih terluka berterusan belum bertemu pengakhiran. Terima kasih kerana memujuk aku.
Selain daripada puisi-puisi manis yang mengena jiwa, pada akhir perbualan penulisan dalam buku ini, penulis telah menyedarkan aku memberi harapan bahawa tidak ada yang mustahil andai takdir mengizinkan apa jua keinginan untuk berlaku menjadi sebuah kenyataan. Jangan pernah berputus asa mengungkap doa dalam sujud memohon segala hajat yang tersirat sepi. Bangkit dan percaya diri.
Meminta semesta berhenti memberi kita kecewa, sama sahaja dengan kita meminta untuk tidak mendewasa.
Buku ini ibarat pemeluk, memujuk & mengingatkan diri sendiri yang pernah dalam fasa-fasa sangat jatuh, yang pernah tiba-tiba mahu bangkit & yang masih tegar berdiri teguh. Kita semua adalah seseorang di masa lalu. Jika bukan kerana kenangan, kita mungkin tidak berada di masa kini. Cuma kita yang tak tahu cara untuk sampai ke simpang siurnya, terjun ke lecat selutnya.
Tenang, nyaman & cukup rencah itu yang dapat aku simpulkan ketika membaca buku ini. Puisi yang memujuk hati yang kesepian, hidup dalam kenangan, pertemuan, perpisahan, melepaskan serta rindu & nasihat.
Sungguh, hiduplah untuk hari ini, demi kita yang sekarang. Bukan lagi berkisar tentang kehidupan lampau. Merelakan & melepaskan semua kenangan bukan bermakna melupakan segala badai kenangan namun kita lebih memilih kuat & sedang bahagia.