Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Awang Had Bin Salleh dilahirkan di Kg Bagan Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang pada Ahad, 24 Jun 1934. Menerima pendidikan awal di Sek. Melayu Seberang Perak Laki-laki (sehingga darjah IV) dan Sek. Melayu Sungai Korok Lama (sehingga darjah VI) juga di Alor Setar, Kedah. Pendidikan lanjutan di Sultan Abdul Hamid College menerusi kelas khas sebelah petang yang diadakan untuk sebilangan Guru Melayu. Ini diikuti dengan pengambilan LCE (1956). Beliau kemudiannya belajar sendiri untuk peperiksaan FMCE (1957) dan HSC (1959). Beliau masuk ke Universiti Malaya (1961-1964) dengan Biasiswa Kerajaan Persekutuan dan memperolehi Ijazah BA (Hons) Sastera dan kemudiannya mengikuti Program Bed secara sambilan (1966-68). Beliau melanjutkan pelajaran ke Standford University, Amerika Syarikat (1969-1972) menerusi Fellowship UM-Asia Foundation dan memperolehi PhD dalam Pendidikan dan Sosiologi. Pendidikan profesional beliau bermula dengan Program Sijil Perguruan di Sultan Idris Training College (1951-1954). Pendidikan profesional yang kedua diperolehinya dengan mengikuti Program Sijil Pengajaran Bahasa di Maktab Bahasa dalam tahun 1985. Kerjaya beliau bermula dengan jawatan Guru Pelatih di Sekolah Melayu Gunong, Kota Setar, Kedah dalam tahun 1950. Setelah tamat pengajian di SITC, beliau mengajar di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar 1954-1956. Beliau ditukarkan ke Sultan Abdul Hamid College, sebagai Guru Bahasa Kebangsaan dalam tahun 1957. Tempoh khidmatnya di situ dimanfaatkannya untuk menyediakan diri untuk mengambil peperiksaan FMCE pada akhir tahun tersebut. Setelah tamat pengajian di Maktab Bahasa, beliau kembali bertugas di SAHC hingga ke pertengahan tahun. Selepas itu beliau memegang jawatan Penolong Pensyarah di Day Training Centre, Alor Setar sehingga menyambung pelajaran ke Universiti Malaya pada pertengahan 1961. Setelah tamat pengajian di Universiti Malaya, beliau dilantik sebagai Pegawai Pelajaran dalam Perkhidmatan Pelajaran Persekutuan dan ditugaskan sebagai Pensyarah di Maktab Bahasa. Mulai 1966, beliau memulakan khidmat sebagai tenaga akademik di Universiti Malaya sehingga 1978. Semasa dalam perkhidmatan di Universiti Malaya, beliau memegang jawatan Penolong Pensyarah, Pensyarah, Profesor Madya dan akhirnya Profesor. Dari segi pentadbiran pula, beliau pernah memegang jawatan Dekan Fakulti Pendidikan dan kemudiannya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar. Kemudian, beliau dipinjamkan ke ITM sebagai Pengarah (1978-1980). Selepas itu, beliau dipinjamkan pula ke Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai Naib Canselor (1980-1984). Bila Universiti Utara Malaysia ditubuhkan, beliau dilantik menjadi Naib Canselor yang pertama (1984-1989). Selepas persaraan di UUM, beliau berkhidmat sebagai Penasihat Dalam kegiatan penulisan, beliau melibatkan diri dalam penulisan kreatif (cerpen, novel, drama dan puisi) dari tahun 1954 hingga kira-kira tahun 1990. Beliau pernah menulis buku-buku untuk pra-sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah. Kegiatan menulis kertas kerja ilmiah dan rencana untuk majalah dalam bidang pendidikan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan masih berterusan hingga sekarang. Sebagai Presiden, beliau terus menerajui Persatuan Suluh Budiman (sejak 1973) dan Persatuan Pendidikan Malaysia (sejak 1975). Penganugerahan negara yang diterima beliau ialah Johan Mangku Negara (JMN), 1975, Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) 1978, dan Panglima Setia Mahkota (PSM), 1982. Penganugerahan akademik yang diterima beliau ialah Honorary Fellow ABE (UK), 1983, HonLLB (Brock) 1986, Distinguished Fellow ISIS (Malaysia) 1990, Hon DLitt (Kebangsaan) 1997, dan gelaran Profesor Emeritus (Universiti Utara Malaysia), 1997.
“Betapa dalam hidup ini, pertembungan dengan siapa, pada waktu mana dan akibatnya menjadi penentu arah perjalanan kita seterusnya.”
“Hidup ini bagai sungai mengalir ke muara. Sungainya berliku, kadang-kadang berjeram. Di sana sini ada pulau kecil. Di sana sini ada batu besar. Kita harus mencampakkan diri ke dalam sungai itu. Biar di bawa arusnya ke muara. Dalam perjalanan ke muara itu, kita mungkin tenggelam dan timbul. Kita mungkin terbabas ke pulau keil di tengah sungai, untuk kemudiannya hanyut lagi di bawa arus. Kita tidak dapat melepaskan diri dari cengkaman nasib, tetapi tidaklah pula beerti kita harus melarikan diri daripada hidup dengan mengadakan segala macam prasyarat untuk menyembunyikan ketidakyakinan diri kita sendiri terhadap hidup, terhadap nasib pada hari depan.”
Itulah antara cebisan perenggan yang menarik dalam buku ni. Best gak bila baca pengalaman orang.. tapi yang paling best bila dapat lihat hasil jerih perih selepas mengusahakan sesuatu.