Hilal Asyraf ialah seorang penulis yang teguh dengan identiti dalam karya-karyanya; persatuan/organisasi/kelompok yang membentuk biah (suasana) solehah dan agama Islam ialah agama yang penuh dengan mujahadah dan susah payah, bukan agama magis. Mana-mana pembaca yang pernah membaca karya-karya beliau yang lain akan menyedari identiti penulis ini. Saya sendiri tidak terlepas menyedarinya apabila membaca Hero, Pemburu, Simfoni Cinta, siri Takdir dan siri Hikayat Satria-Satria Sejati, karya tuan Hilal Asyraf. Walaupun ia kerap menjadi paksi cerita, pengolahannya dengan bentuk yang berbeza, disesuaikan dengan tema cerita menjadikannya tidak lapuk dan tidak bosan. Masih segar-bugar!
Dalam Tetamu Tuhan 50 Hari ini, penulis membawakan pembaca berkenalan dengan dua watak utama, Wasim dan Hilman. Dua manusia yang bertemu di Tanah Haram untuk mengerjakan haji bersama-sama. Pertemuan yang akhirnya merubah banyak perkara. Berkenaan jalan cerita, saya mengira bahawa tidak perlulah ia dikongsikan di sini. Biarlah kalian sendiri yang membaca dan menikmatinya. Sebaliknya, ada dua-tiga pujian yang akan dinyatakan pada karya ini.
Pertama, saya merasakan bahawa karya ini molek dibaca, terutamanya buat mereka yang merasakan dirinya introvert; sukar bergaul dengan orang ramai. Wasim, watak utama dalam novel ini juga merupakan seseorang yang berperwatakan sedemikian. Maka, peristiwa dan perasaan yang dihadapi oleh Wasim sebagai seorang introvert, pasti akan turut dirasai oleh mereka yang berada di dalam kelompok yang sama. Bahkan, buku ini turut menawarkan sedikit-sebanyak solusi kepada golongan introvert. Saya kagum dengan keupayaan tuan penulis yang berjaya menyelami perasaan mereka, kemudian diterjemahkan dengan cukup baik pula melalui novel ini.
Kedua, ada beberapa ‘mantera’ dalam novel yang mampu saya kutip, iaitu (1) agama kita (Islam) bukan agama magis, bermaksud Islam ialah agama yang tertegak dengan mujahadah, susah payah, pengorbanan, perjuangan, keringat dan air mata. Bukan hanya menadah tangan dan tiba-tiba sahaja kita sudah mengecap syurga-Nya! Perjalanannya menuntut semangat juang yang teguh dan kesabaran yang tinggi. Maka, agama kita bukan agama magis!; (2) ini Tanah Suci, tapi tidak menyucikan, memberi pengertian bahawa Mekah dan Madinah memanglah benar ialah tanah yang suci lagi diberkati, namun tidaklah bermaksud, mana-mana manusia yang menjejakkan kaki ke sini dijamin akan menjadi ‘suci’! Benar bahawa Abu Bakar tumbuh dengan didikan Baginda Nabi ﷺ di sini, tapi bukankah di tanah yang sama juga, Abu Jahal dan Abu Lahab juga menjadi manusia yang keji, mencaci dan ingin membunuh Baginda Nabi si utusan Ilahi? Maka, pada akhirnya, bukanlah tempat yang menyucikan, sebaliknya semuanya datang daripada rahmat, kasih sayang dan inayah Allah ﷻ serta daripada usaha individu sendiri.
Ketiga, tuan penulis berjaya memperbetulkan kebanyakan salah faham dan stereotaip berkenaan Tanah Suci semisal manusia yang berdosa akan dihukum oleh Allah ﷻ apabila menjejakkan di sana dan orang Arab kebanyakannya berakhlak buruk. Bahkan, penulis turut memberikan satu sudut pandang yang baharu terhadap beberapa perkara yang terlihat buruk di mata kita seperti perbuatan segelintir orang yang merokok, walau di Tanah Haram. Barangkali, mereka sedang menghadapi masalah dalam usaha untuk meninggalkan perbuatan tersebut atau seumpamanya. Penulis mengingatkan pembaca untuk bersangka baik dengan mereka, bahkan lebih utama ialah mendoakan kebaikan mereka!
Yang terakhir, perkara-perkara yang terangkum dalam ibadat haji disampaikan dengan baik dan mudah difahami oleh pembaca. Saya sendiri seolah-olah merasakan mengulang kaji semula pelajaran berkenaan ibadat haji. Selain itu, suasana Mekah dan Madinah—latarnya, penghuninya, makanannya dan budayanya, kesemua ini dikongsikan juga oleh penulis dengan baik sehingga pembaca akan turut merasakan seolah-olah berada di sana.
Sebuah karya yang cukup baik dan wajar dibaca oleh semua, remaja juga orang dewasa. Tahniah tuan Hilal Asyraf. Semoga terus berkarya!