Penelitian rapi terhadap setiap karya dalam buku ini akan menemukan persoalan dan perwatakan yang realistik, iaitu yang terasa ada di sekitar kita semua. Pembaca tentu pernah mendengar kisah penipuan, misalnya seorang menjual batu hikmat, yang kononnya dapat membantu orang memperoleh pekerjaan, atau menumbuhkan rasa suka atau benci. Kisah penipuan adalah pelbagai, misalnya pembaca tentu yang pernah mendengar kisah kontraktor membina rumah, dan rumah itu tidak siap, tetapi upah keseluruhan sudah diambil. Kisah baki hutang yang enggan membayar hutang, dan kisah perkahwinan rahsia, amat biasa dipercakapkan, tetapi belum pernah ditulis dalam bentuk cerpen yang berkesan. Seterusnya, pembaca tentu pernah mendengar perihal helah atau taktik ahli politik bagi mendapatkan kedudukan, atau mempertahankan kedudukan. Rahman Shaari yang berpengalaman berkarya selama puluhan tahun mengemukakan cerpen dengan gaya dan teknik tersendiri. Judul "Tersimpan Begitu Lama" diangkat daripada judul sebuah cerpen dalam buku ini, dan judul itu juga membawa makna bahawa isi dan seni karya-karya ini tersimpan begitu lama sebelum terbit di dalam buku.
Sejujurnya, saya baru tahu Dato' Rahman Shaari, Sasterawan Negara ke-15 ini menulis cerpen yang sangat bagus pada pembacaan saya (Ya, ya saya memang malas Google). Saya mengenali beliau melalui puisi dan tahu beliau 'hafiz' puisi Malaysia. :)
Selepas pengumuman SN tahun ini, saya menyelongkar buku beliau terbitan ITBM. Ada lima buah buku beliau terbitan ITBM (Penunggang Kenyataan: Kumpulan Puisi, Cengkaman Hasrat: novel, Tersimpan Begitu Lama; cerpen, Jasmine and the Stifling Heat; puisi, dan Traces of a Journey; puisi). Dan saya membaca Kumpulan Cerpen: Tersimpan Begitu Lama ini dengan kejutan demi kejutan.
Tidak keterlaluan jika saya sebutkan cerpen-cerpen SN ini membuka ruang perbincangan yang aktif dalam fikiran saya ketika membacanya.
Seolah-olah mendampingi beliau, setiap cerpen membawa saya ke daerah perbincangan pelbagai - seperti sedang mendengar cerita beliau sambil mencicip kopi, seolah-olah menghadiri kuliahnya (oh saya suka cerpen yang bersangkutan soal bahasa) dan sesekali seolah-olah dibawa 'bergosip' tentang watak itu dan ini.
Penulisan Rahman Shaari melangkaui jangkaan saya dan ternyata stail penulisannya tersendiri dan segar walaupun disebutkan cerpen-cerpen ini telah "disimpan begitu lama".
Terlalu banyak hal-hal yang cukup dekat dengan masyarakat dituliskan melalui cerpen-cerpen tertentu dalam buku ini (dan saya percaya ia isu yang berlaku dekat dengan penulis), tentang perkahwinan rahsia, perkahwinan pelik, hutang, politik dan banyak lagi yang kesemuanya membawa pemikiran baharu dalam sudut penceritaan.
Setiap cerita mengandungi falsafah kehidupan yang kadangkala aneh dan kadangkala boleh diguna pakai. Persoalan perkahwinan rahsia, perkahwinan haram, adakah ini yang berlaku dalam masyarakat realitinya? Penipuan dan kelicikan manusia dalam melangsungkan hidup, kepercayaan kawan dan banyak lagi mengingatkan kita tentang watak perwatakan manusia di sekeliling yang pelbagai. Sesekali dengan sinis penulis menempelak kebobrokan dalam masyarakat (cerpen Persoalan Sudu) yang menjentik kesedaran kita.
Sungguh, saya tidak sabar membaca bukunya yang lain selain puisi kerana dengan gaya bahasa tersendiri, tetap menjanjikan keseronokan menggulati setiap tulisannya.