Kisah pengembaraan solo Siti Noridah Ab. Rahaman di bumi Pakistan buat pertama kalinya pada tahun 2013, melalui jalan darat dari daerah Xinjiang di China. Sempadan di antara China dan Pakistan yang dikenali sebagai Khunjerab Pass, 4693-meter dari paras laut dikatakan sebagai sempadan antara dua buah negara yang tertinggi di dunia yang terletak di banjaran gunung Karakoram.
Pengembaraannya di sepanjang Karakoram Highway (KKH) dan juga di kawasan pedalaman utara Pakistan telah membuatkan beliau begitu terpesona dengan keindahan alam semulajadinya dan juga kebaikan orang tempatan di sana. Terlampau banyak kenangan manis sepanjang pengembaraan beliau di Pakistan yang menjadikan negara ini sungguh istimewa dihatinya.
1) Ini buku ketiga penulis. Buku pertama (Afghanistan) beliau saya beli terus daripada dia.
2) Saya akui, saya tak membeli buku beliau yang kedua (India), disebabkan tidak begitu menikmati ceritanya di Afghanistan.
3) Saya memilih untuk membeli buku ketiga ini (semasa PBAKL 2018) disebabkan ada nama "Pakistan". Jarang ada (atau tak wujud) buku travel tempatan yang menceritakan tentang negara pecahan India ini.
4) Saya tabik pada keberanian penulis yang mengembara seorang diri ke bumi yang jarang kita dengar ceritanya.
5) Penulis sangat berani, yakin, hati kental, pandai bersosial (komunikasi) dan cekap mendapatkan maklumat. Ini memang ciri pengembara yang baik.
6) Walaupun sudah dinyatakan dirinya tidak "pandai" menulis, ceritanya sampai dan menimbulkan minat. Pengembaraan ini sebenarnya mencabar, tapi ceritanya "berbunyi" mudah. Penulis patut lebihkan sedikit "drama" atau emosi, barulah ummphh! :)
7) Selepas membaca buku ini, Pakistan sudah masuk dalam senarai negara yang mahu saya lawati.
8) Bumi Pakistan cantik, dan rakyatnya juga mesra. Aduhai! Kalau saya seberani penulis, memang saya ke sana seorang diri.
Salam Kembara Pakistan, merupakan travelog ketiga dari kak et. Salah seorang backpacker paling aku kagumi. Bukan hanya kerana penulis seorang wanita tetapi kerana keberaniannya. Aku suka dengan penyampaian penulis dalam menterjemahkan pengetahuan dan pengalaman peribadinya sepanjang berada di Pakistan. Lebih santai dan menyerlahkan penulisannya benar-benar dari hati.
Kali ini, aku tak mengambil masa yang lama untuk menghabiskan travelog yang menceritakan perjalanan merentasi Karakoram Highway. Dari China ke Pakistan. Ia merupakan travelog yang bukan sahaja berkongsi tentang pedalaman utara Pakistan yang sudah tentu bukan tourist attraction sebaliknya lebih kepada memberi satu perspektif baru tentang realiti 'dunia' Pakistan itu sendiri. . "Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula" (Al-Mulk : 15)
Aku hanyut dengan keindahan alam dan kebesaran tuhan melalui jauhlah aku dari China ke Pakistan, Karimabad, Lembah Hunza, Syurga Dunia di Fairy Meadow, Pesona Lembah Ghizer sehingga ke Shangri-La di Skardu. Pelbagai input yang dikongsi oleh penulis termasuklah gambaran tentang tempat- tempat yang di terokai, keramahan penduduk lokal, budaya masyarakat Pakistan, halangan apabila lowari pass ditutup tanpa notis, iringan dari polis bagi menjaga keselamatan dan kebajikan pelawat luar.
Teruskan mengembara! Teruskan berkongsi lewat travelog!
Ini buku pertama saya baca untuk tahun 2019. Saya bagi rating 5/5 bukan semata-mata kerana mengenali beliau di media sosial dan juga di luar sana. Tapi kerana karya bukunya sememangnya kisah kembara travelog yg terbaik dalam semua buku-buku genre yg sama pernah saya baca sebelum ni dari penulis-penulis di Malaysia. Memiliki lebih dari 25 buah buku travelog dari pelbagai penulis melayakkan untuk saya berkata demikian.
Ini merupakan buku ketiga beliau dan ketiga-tiganya mempunyai elemen suspen dari kisah sebenar. Cara penulisan membuatkan seolah-olah berada sendiri di sana. Apa yg saya suka ialah aturan pembawaan kisah menepati apa yg dikatakan 'buku travelog'.. bermula dari kisah karaktor dan perangai penduduk tempatan, emosi dari wajah mereka dan juga dari penulis sendiri (kegelisahan, kebimbangan, keterujaan, kegembiraan dan curiousity), apa yang berlegar dalam minda penulis, dan membawa kepada kisah adat dan budaya pada diri dan sekitar mereka dan kemudiannya barulah diceritakan latar belakang tempat yang dilawati.
Bagi saya, ini dah mencukupi. Jika nak selitkan adat dan budaya lebih terperinci, saya rasa bukunya akan semakin tebal dan harganya meningkat sedikit melainkan jika pembaca tidak kisah dgn belanja.
Dalam buku ini, penceritaan tentang latar belakang tempat dan pemandangan membuatkan saya ingin masukkan Karakoram Highway dan Pakistan dalam wishlist peribadi akan datang. InsyaAllah jika ada rezeki (sebenarnya risau tentang AMS).
Secara keseluruhannya, hanya yang berjiwa pengembara sahaja yg dapat merasakan apa yg ingin penulis sampaikan.
p/s: Agak geram juga tentang kisah bilik dikunci dari luar termasuk kisah Taliban dan juga hotel yang tak wujud... biarlah rahsia untuk tatapan pembaca baru, nanti spoil pula.
p/s2: Mohon penulis terbitkan pula buku ke-4. Tak kisah negara mana kerana jalan penceritaan tu yg membuatkan saya tertarik dan tak pernah jemu.
Kulit buku yang menarik pandangan. Begitu saya rasakan ketika membelek buku yang baru dimiliki ini. Ini buku pertama Siti Noridah Ab. Rahaman yang saya baca. Meneliti blurb buku, dan ilustrasi peta serta membaca pendahuluan, membuatkan saya mencari lokasi yang dimaksudkan dalam gambaran peta India-China menuju ke Kyrgyztan. Kemudian gambaran perjalanan dan jangkaan mula memenuhi kepala.
Mungkin kerana baru menonton beberapa filem Hindi dan mempunyai perkaitan dengan beberapa buday setempat yang sudah serasi dalam diri, maka pembacaan perjalanan Siti Noridah agak menyelesakan bagi saya (walaupun terdapat beberapa hal ejaan dan teknikal yang boleh diperbaik -maaf, 'topi editorial' tak ditanggalkan).
Namun, sungguh, saya memang tidak begitu ingat nama-nama lokasi yang dikunjungi. Selepas satu lokasi menuju ke lokasi lain, saya terus lupa lokasi sebelumnya. Mungkin kerana nama setiap tempat hampir sama dan paling pasti saya belum biasa dengan daerah-daerah di India Utara ini. Terus teringat babak dalam filem Tiga Abdul (1964) tatkala P. Ramlee menuturkan tentang kekayaan Ismet Ulam Raja ... Pakistan, Turmekistan, Aghanistan... Gohet Gostan... :P
Bab demi bab, perjalanan demi perjalanan, saya meraih pengalaman pembacaan yang baharu (meneroka tempat baharu). Siti membawa pembaca mengembara bersamanya, meneroka lokasi indah dengan gambar-gambar yang sangat cantik. Itulah tujuan kita mengembara ke tanah asing - melihat tempat (bumi Tuhan yang maha luas), melihat budaya dan bangsa-banganya, dan sudah tentu mengambil pelajaran dalam setiap kunjungan ke tempat baharu. Jika anda sukakan perjalanan yang penuh 'adventure', inilah bukunya.
Pengalamannya yang luas dalam arena kembara solo dan meneroka wilayah-wilayah yang jarang dikunjungi, amat memaknakan pembacaan buku kembara ini. Ia pengalaman yang mahal buat Siti dan tentunya pembacaan yang berbaloi bagi kami yang membacanya.
Buku kedua yang saya baca berkait dengan pengalaman di Pakistan.
Penyampaian kurang menarik tetapi tidak jemu untuk di baca. Mungkin kerana minat saya untuk mengetahui budaya dan suasana di Pakistan.
Penulis kurang bercerita tentang budaya tetapi banyak memuji kecantikan negara Pakistan.
Diharap penulis lebih kritis dalam penulisan dan dapat berkongsi pandangan secara lebih mendalam tentang sikap, budaya dan perangai warga negara yang dilawati terutama yang berbilang suku kaum.
Syabas kepada penulis atas keberanian beliau mengembara secara solo.
Travelog yang menarik tentang kembara di bumi Pakistan.
Satu perkara penting yang dalam kembara ini adalah masa. Jarak antara setiap tempat amat jauh dan memerlukan masa yang lama.
Membaca travelog ini membuatkan saya rasa ingin mengembara juga. Walaupun perjalanan yang dilalui sukar, tapi apabila sampai ke destinasi yang indah dan damai mesti hilang semua rasa penat tadi.
Ada juga dikongsikan gambar-gambar di tempat-tempat yang telah dilawati. Semua gambar dicetak berwarna, jadi kita memang boleh menatap sendiri keindahan tempat itu.
kembara et tak pernah tak jemu untuk di ikuti. Penuh dengan pertemuan baru yang mengujakan, tempat baru yang tak tergambar ,hanya siapa yang menjejakkan kaki sahaja tahu betapa ciptaan Maha Esa itu sangat indah.
Bacaan yang mudah dan menggembirakan hati membayangkan keindahan Pakistan melalui penceritaan. Gambar-gambar yang diselitkan menambahkan lagi rasa teruja untuk turut melihat dengan mata sendiri, InsyaAllah suatu hari nanti.