Buku yang dianggap penting bagi pengajian kesusasteraan Melayu dan banyak kajian lanjut ke atasnya telah dibuat. Banyak perkara yang kita tidak setuju khususnya bila Winstedt berulang-ulang kali mengaitkan sesuatu karya itu dengan pengaruh Hindu dan Buddha. Cara Winstedt bercakap seolah-olah karya tempatan tiada yang asli dan banyak meniru, menyalin, menterjemah atau menyerap karya luar. Tetapi sumbangan Winstedt dalam penghasilan buku ini cukup besar kerana telah merekodkan satu kajian khusus bagi kesusasteraan Melayu. Lihatlah sahaja pada bahagian bibliografi, berpuluh-puluh (mungkin beratus) buah karya yang terdiri dari hikayat, syair, pantun, nazam, buku nahu dan peribahasa yang kebanyakannya dalam bentuk manuskrip yang banyak tersimpan di luar negara, dibacanya bagi melengkapkan kajian. Terdapat satu bab khusus berjudul Munshi 'Abdulah yang menceritakan sumbangan dan ketokohan Abdullah yang dipandang tinggi boleh sarjana luar seperti Winstedt. Turut disertakan lampiran yang merangkumi ringkasan dari beberapa naskhah seperti Hikayat Pandawa Jaya, Hikayat Sang Boma, Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Taj A's-Salatin. Kita boleh sahaja tidak bersetuju tapi kajian ini penting bagi melihat sudut pandangan sarjana luar terhadap karya tempatan.