Cerita tentang seorang perempuan yang kehilangan suaminya, teraba-raba ke mana nak pergi. Terperangkap dalam kelompok Trotskyst. Persoalan paling crucial, adalah tentang agama vs kiri atau bolehkah agama coexist dengan kiri dalam melawan kapitalisme? ***
Dia akhirnya merosakkan dirinya, Setelah kehilangan cinta suaminya, Setelah meninggalkan Tuhannya, Setelah menanggalkan tudungnya, Setelah membuang keluarganya jauh-jauh, dan asap kelabu berkepul dari mulutnya, Bibir hitam tanda protes pada kebiasaan, Dia sendiri tak mahukan simpati Tuhan, Dia telah bertekad untuk mati di jalan, Tekad tak mahu jenazahnya diziarah, Biar hidup bewarna merah penuh amarah, Biar mati menjadi tanah, Dan disebelah lain aku berdoa, Agar dia berjumpa jalan keluar,
Sebenarnya aku sudah kelewatan untuk menulis review buku ini. Buku ini aku dapat selepas Benz Ali roger aku cakap dia nak swap dengan buku yang aku jual. Dan tadi dia dah ‘warning’ aku dalam Facebook. Jadi aku mengambil tindakan untuk (baru nak) appreciate perbuatannya yang swap buku dengan aku.
Maaf Benz, aku hampir lupa dah mengenai buku ini. Patutnya 16 Januari 2017 aku dah review buku ini lepas je aku tamat pembacaan.
Buku ini merupakan buku bernaratif pertama Benz Ali yang aku baca. Watak utamanya seorang perempuan. Dan mana-mana penulis pun akan berpengaruh menulis mengenai dirinya sendiri; pengalaman peribadi, atau pengalaman orang lain, diadunkan sebati di dalam novel ini. Ya, aku berasumsi bergitu terhadap buku ini. Wanita dalam novel tersebut aku fikirkan ialah diri Benz Ali sendiri yang mana sangat skeptik dengan agama dan agamawan.
Beberapa topik yang diketengahkan dapat menimbulkan sisi pemikiran kiri yang boleh mengakibatkan pembaca akan mempersoalkan kembali isu tersebut. Benz menulis dengan bersahaja tetapi mengekalkan gaya bahasa seperti naratif first person walaupun naratif sebenar ialah second person. Pembaca boleh nampak dan meneliti gaya pemikiran penulis dan perbezaan buku ini agak ketara dengan buku Antithesis dan Anticonformity beliau; kerana beliau menulis dengan ‘sopan’ tanpa mengecam sesiapa.
Buku ini mengangkat isu sosialisme dan Islam. Digabungkan menjadi satu. Watak utama berusaha untuk menjadi sosialis yang Muslim. Benz mengajukan bahawa Islam itu bukan sekadar ritual solat-haji-mengucap-beriman kepada Allah sahaja, tetapi penulis cuba mencuit isu yang digemburkan oleh blok sosialis terlebih dahulu untuk melihat Islam ini sebagai agama yang tidak rigid dan statik.
Aku tiada masalah dengan buku ini kerana kebanyakkan ide dalam buku ini sudah tersemat dalam benak aku dan beberapanya sudah dicairkan kecuali bab Marxis yang sehingga saat ini aku tidak memahaminya walaupun pada grass level. Tetapi pada muka surat 178-179 ada sedikit masalah padanya. Aku kenal sosok yang ditujuinya. Ada dalam Youtube videonya. Malahan aku juga ada bersama di Dewan Cina, Maharajalela ketika forum tersebut. Memang si panel tersebut menyebut 'ittihad'. Tetapi memang maksud dia 'ijtihad'. Kalau dah biasa dengan sosok ni, memang dia ada masalah pada vokal dan verbal sikit ketika bercakap dalam bahasa Arab mahupun bahasa Malaysia. Buku ini totally sangat bermanfaat jika pembaca mahu mememcahkan pemikiran Benz Ali dalam bentuk naratif santai. Tidak berat, Cuma agak dalam dan ada beberapa yang perlu difahami dulu sebelum membacanya.
sebuah karya yang membincangkan konflik sosialisme sama ada daripada masalah agama,kumpulan-kumpulan di dalamnya dan individu itu sendiri.jalan cerita yang menarik,mudah untuk difahami.
karya ini mempunyai nilai serta isu yang sukar dicari dalam novel-novel pada hari ini.isu yang besar dan berat dikupas secara penceritaan yang menarik.
bacalah karya ini bagi mengurangkan nafsu-nafsu penindasan dalam diri.
Ada sedikit serba salah juga dengan kelewatan menulis review buku ini, yang sudah agak sejuk di pasaran. Saya mengambil masa yang lama untuk menghabiskan bacaan kerana saya mengalami kesukaran meletakkan perspektif kepada buku ini. Saya membeli buku ini tanpa mengenali nama besar penulisnya. Saya tertarik dengan gambar muka depan buku tersebut (literally judging the book by its cover). Nampak kiri sungguh. Saya nak tengok berapa kiri beliau boleh pergi. Rekacorak kulit hadapannya menggiurkan, sinopsis pada kulit belakang juga menyelerakan. Saya sangat suka dengan kualiti bahan kulit buku dan jenis kertas helaian pada buku ini. Buku ini ringan dan mudah dipegang, helaiannya melentur dengan baik tanpa meninggalkan kesan berlipat pada tulang buku. Membacanya amat selesa pada sebarang posisi. Saiz tulisan dan pemilihan font yang baik menambah kelazatan membaca buku ini. Saya membaca cerita seorang perempuan naif, yang bersuamikan lelaki miskin, yang berpegang teguh kepada prinsipnya, yang menyebabkan mereka kekal miskin. Katanya (dari sinopsis) perempuan itu terperangkap di dalam kelompok Trotskyst (sic). Selain menggunakan nama ‘Leon’, beliau tidaklah Trotskyist mana pun. Cerita ini juga dihiasi dengan banyak sekali watak-watak sampingan/tambahan yang tidak memberi nilai tambah sebanyak bilangan watak-watak itu. Banyak watak yang serupa karakter mereka, juga tidak jelas kepentingan sebenar setiap watak. Mungkin peranan mereka mencair dek banyaknya watak tersebut. Saya agak teruja apabila banyak sekali nama-nama besar ahli falsafah/ tokoh agama di petik. Nama-nama ini dibawa dengan bijak sekali mengiringi dan menyentuh peristiwa yang diceritakan. Namun, sekadar petikan nama dan ada yang berserta sedikit ringkasan tentang siapa mereka dan aliran fahaman agama/politik mereka. Tidak ada sebarang ulasan dan/atau kritikan. Keterujaan saya menurun. Perhubungan suami-isteri Siti Sarah dan suaminya pula diceritakan melalui siri perbualan-perbualan mereka serta monolog Siti Sarah. Dikisahkan dengan meletakkan perasaan di dalamnya. Sangat indah penceritaannya. Kasih sayang, empati dan timbang rasa digambarkan secukup rasa, tidak berlebihan dan tidak juga kekurangan rasa, menjadikannya amat jujur, kelihatannya amat benar. Boleh sahaja kita tertipu dengan perangkap mainan perasaan ini. Melalui penilaian semula buku ini, saya lihat penulis cuba memperkenalkan kepada pembaca nama-nama besar di dalam bidang falsafah. Sekadar nama dan sedikit latar belakang. Pembaca perlu mencari dan mengkaji sendiri sosok-sosok tersebut. Saya kira penulis ingin mengelakkan dari meletakkan pemikiran beliau ke dalam minda pembaca. Beliau memberikan kebebasan kepada pembaca untuk menilai sendiri tanpa mempengaruhi. Tindakan ini bijak dan saya suka. Pencarian seterusnya ialah ‘siapa suami Siti Sarah?’. Walaupun cerita ini berkisar tentang Siti Sarah dan kehidupan yang dilaluinya, saya lihat watak sebenar/utama di dalam cerita ini adalah suami Siti Sarah. Suami Siti Sarah muncul sesekali sahaja, bahkan wataknya tidak diberi nama pun, tetapi jelas bahawa keseluruhan cerita ini adalah tentang beliau. Sangat kuat aura suami Siti Sarah ini sehinggakan ketidak-munculannya di dalam cerita ini pun memberi cerita tentang beliau. Setelah meneliti karakter-karakter utama di dalam buku ini (panjang ceritanya, jadi saya pendekkan), saya membuat kesimpulan bahawa Siti Sarah, suami Siti Sarah dan Leon adalah orang yang sama. Ketiga-tiga mereka adalah ‘suami Siti Sarah’, watak utama cerita ini. Beliau dipecahkan kepada karakter berbeza supaya karakter-karakter tersebut menjadi lebih gagah, tidak tercair dek percampuran dan pergolakan personaliti. Perkara ini ketara didalam satu surat dari suami Siti Sarah kepada Leon, yang kelihatannya seolah-olah tertukar karakter, mungkin disengajakan oleh penulis, mungkin juga sampai kepada satu titik yang sukar untuk memisahkan mereka lagi. Penulis kemudiannya mematikan karakter suami Siti Sarah dan Leon di dalam babak berbunuhan di dalam mimpi Siti Sarah. Setelah itu, karakter Siti Sarah diteruskan sebagai avatar kepada suami Siti Sarah. Membaca Jalan Kiri Menuju Syurga ini memberatkan minda dan menghimpit sarat perasaan saya. Bacalah buku ini, cabarlah minda anda, ujilah keteguhan emosi anda. Amat berbaloi segala harga yang perlu dibayar untuk buku ini.
Buku kedua Benz. Beli kat TikTok shop lepas tanya Benz kenapa Shopee dah takda RepublikBuku.
Jalan Kiri Menuju Syurga juga buku fiction pertama di baca setelah sekian lama. Buku yang menceritakan Siti Sarah dan suami yang giat dalam pergerakan kiri/alternatif lokal. Golongan kiri yang sangat "niche" dan "limited" tetapi sangat terpecah. Buku ini menceritakan tentang bagaimana sebahagian dari pergerakan ini berbentur, bertempur idea.
Sebahagian idea daripada buku ini mungkin daripada pengalaman Benz sendiri yang dia naskahkan dalam bentuk "fiction" tetapi dari kacamata isterinya.
Atheis, Agnostic, Salafi, Wahabbi, Syiah atau penyembah Doraemon, agama harus di cari, di peroleh bukan di warisi. Sudah kah kita mencari apa yang kita percaya?
Pergolakan ideologi memang berlaku, tidak kira dimana.
Pertarungan-pertarungan ini bertujuan unruk mewujudkan keadaan sosial yang lebih baik.
Untuk itu, penulis cuba menggambarkan pertarungan-pertarungan ideologi di dalam novel ini. Ideologi itu sendiri perlu dikritik dan ditambah baik, kerana itulah peranan akal manusia.
Selesai sudah pembacaan ulang kali kedua. Novel yang ditulis dan diterbitkan bertahun-tahun ini masih terasa gaungnya persoalan dan pertembungan antara agama dan Marxisme. Kedua-duanya saling diperkuatkan dan tidak diperlemahkan dengan mudah. Penulis sehingga hari ini masih memeluk banyak idea Marxisme dalam masa yang sama percaya pada semangat agama yang berorientasikan pembebasan. Pada yang meminati persoalan Kiri-Agama, pastilah nama-nama tokoh yang disebutkan tidak asing lagi. Kepada yang belum pasti akan membuat berbagai penafsiran tentang perbahasan novel ini.