Tarbiah Sentap 2 antara karya lain Ustaz Adnin Roslan. Seperti namanya, karya daripada tarbiah sentap bukanlah seperti yang dibayangkan pembaca yakni sebuah dakwah yang melemparkan kata-kata pedas yang membawa keinsafan. Bagi saya, sentap yang dimaksudkan ialah memberi ketukan kesedaran dan memberi garis limit yang jelas tentang yang hak dan yang batil. Gaya penulis menegur adalah seperti percakapan di antara sahabat dengan sahabat atas dasar sayang saudara.
Karya setebal 181 muka ini dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu Syurga Cinta, Kekeluargaan dan Persahabatan dan Akhlak. Bagi bab yang pertama, penulis menjernihkan kembali fakta makna cinta Allah, dan Rasul perihal Musibah dan Ujian realiti dakwah yang tulen serta cara mengubah Malaysia ke arah negara adil yang bebas dari kezaliman seperti yang diimpikan. Menariknya, penulis menyatakan bahawa kezaliman yang berlaku di Malaysia adalah salah kita. Penulis juga menyenarai tindakan yang boleh diambil secara individu.
Bab yang kedua menerangkan tentang hakikat perkahwinan, persepsi ibu dan ayah berserta cara berbincang dengan berkesan untuk mengelakkan salah faham. Penerangan yang diberikan mudah difahami. Selain itu, bab ini juga membicarakan tentang definisi ukhwah yang sebenar dan salah faham dalam ikhtilat serta sedikit penerangan tentang Valentine Day.
Bab terakhir membicarakan tentang peri pentingnya akhlak tanda-tanda ego dan riyak. Dan memberi teguran intelektual terhadap mereka yang suka mencarut dan mengumpat.
Yang menariknya, buku ini memberi masalah dan solusi yang jelas dan boleh diamalkan, buku ini juga menerangkan mengapa solusinya adalah sedemikian. Info dan pendekatan yang diberikan diselarikan dengan tuntutan ajaran Islam itu sendiri. Hujah diperkuat dengan ayat Al-Quran dan hadith Rasul. Hujah bicara diatur berpadukan tiga perkara ini. Awalnya penulis mengemukakan definisi masalah itu agar pembaca jelas tentang masalah apa yang diperkatakan, penulis menyambung dengan simtom-simtom penyakit agar penulis sedar dan dapat menilai diri andai yang diperkatakan itu adalah mereka. Akhirnya penulis memberi solusi berpandukan tuntutan syariat.
Isu yang dibahaskan juga disusun rapi bagi pendakwah, yakni kita semua untuk menegur mereka yang salah dan peringatan bagi diri sendiri. Susah untuk saya terang jelaskan lagi kerana buku ini saya kira terlalu padat dengan pengetahuan dan contoh kisah-kisah teladan – Highly recommended. Sekian