Mengambil masa yang agak lama untuk membaca buku yang satu ini. Seperti kejadian alam, di mana setiap satu itu kena pada tempat dan masanya, GUGURNYA AZAZIL telah disudahi pada hari ini.
Tulisan Fadli Al-Akiti memang jarang mengecewakan. Sedari dulu, hingga buku yang terbaru ini, yang menjadi kenikmatan membaca tukisan beliau, adalah ketelitian kepada maklumat dan informasi yang dibentangkan. Walaupun penceritaannya dan olahan tidak seteperinci seperti penulis Jong Chian Lai atau Arena Wati, tetapi ia masih lazat untuk dinikmati.
Buku ini mempunyai imej imej filem antarabangsa seperti Outlander (2008), Contact (1997) dan Interstellar (2014). Itu yang terimaginasi apabila membaca buku ini. Namun, ia berjaya lari dari sebarang kesamaan pada filem filem tersebut.
GUGURNYA AZAZIL membawa kita menyelami dua cabang ilmu yang cuba diseiringkan, antara sains dan sejarah. Dan yang membuat ia berjaya adalah keterperincian pada fakta, teori dan informasi. Teringat ketika remaja dulu, saya amat gila membaca mengenai planet dan sistem suria. Dan yang paling mengujakan ketika itu adalah membaca tentang sebuah bulan yang bernama Titan. Titan adalah sebuah bulan yang terbesar untuk planet Zuhal. Ia adalah bulan kedua terbesar selepas Ganymede, bulan untuk planet Jupiter. Dari kajian saintis, iklim di Titan hampir menyerupai bumi. Dan tidak tersangka fakta ini disertakan di dalam buku ini. Ia sesuatu yang menyeronokkan kerana, pengetahuan yang kita tahu sebagai pembaca dibenarkan oleh penulis buku. Sekaligus menimbulkan perasaan kesatuan antara pembaca dan novel yang dibacanya.
Malangnya, kesatuan ini jarang jarang diperolehi. lebih lebih lagi pada novel bergenre sain fiksyen. Novel sain fiksyen seharusnya begini, sarat dengan teori, fakta dan informasi yang rinci bagi memastikan pembacanya menikmati inzal yang maksima!