Novel ini dibawakan oleh penulisnya secara "lipur lara" dalam konteks moden, seperti daripada mata burung yang merenung sayup.
Sebuah kitab bernama Darul Fansuri telah mengembangkan emosi seorang Firdaus (dalam konteks hari ini) untuk turut sama merasai perjalanan dan pencarian salasilah seorang gadis bernama Balqis Qasrina (yang dikisahkan pada zaman lampau). Pengkisahan bermula dengan keanehan sebuah perkampungan bernama Mekar Setaman yang tidak pernah tandus dan sentiasa menumbuhkan pohon-pohon bunga. Kehadiran Hasan Desa, yang juga dalam pencarian turut bersama-sama membawa hati dan cita-citanya. Manakala seorang waris takhta pemerintahan, Putera Nun Alam Damiri turut mengembara dengan kekuatan dorongan sendiri. Namun demikian, suasana negeri bernama Raloka agak kontras dengan konflik siasah manusia yang bergelora secara dalaman.
Ini kisah nun dihujung negeri. Jauh, namun datang dan pulanglah melalui halaman demi halaman novel ini!
Konsep pemerintahan dan kenegaraan menjadi tema besar dalam novel yang meminjam kerangka penglipur lara dengan mengekalkan gaya hikayat dan plot sederhana yang sesuai untuk bacaan dalam konteks pendidikan. Ariff Mohamad barangkali didorong oleh naluri guru dan pensyarah dalam bidang pendidikan, membina plot yang agak bervariasi tetapi tidak kompleks yang dapat dilihat pada dua watak utama, iaitu Balqis Qasrina dalam menjejak naskhah kenegaraan, Darul Fansuri dan Putera Nun Alam Damiri yang melakukan pengembaraan sebagai satu latihan penting membentuk seseorang pemimpin yang adil serta bijaksana- berlatarkan dua pemerintahan yang berbeza, iaitu Raloka dan Umpaja yang memberikan makna keadilan dan kebijaksanaan serta kezaliman dan kelemahan pemimpin.
Sebuah lipur lara yang menyeronokkan. Berkisarkan kisah kepimpinan kerajaan Melayu serta sikap pembesar sesebuah kerajaan yang dikiaskan dengan cantik.
▪️▪️▪️
Cerita bermula dengan keanehan sebuah perkampungan yang bernama Mekar Setaman yg tidak pernah tandus dan sentiasa menumbuhkan pohon-pohon bunga.
Balqis Qasrina, seorang anak gadis yg dipelihara oleh ketua kampung Mekar Setaman, ingin mencari keluarganya yg dianiaya oleh Sultan kerajaan Umpaja. Qasrina juga mahu mencari semula kitab Darul Fansuri yg ditulis oleh datuknya ketika menjadi Bendahara Umpaja suatu masa dahulu.
Putera Nun Alam Damiri, Putera Mahkota kerajaan Raloka pula, ingin keluar mengembara sebagai rakyat biasa untuk menimba ilmu dan pengalaman sebelum bergelar Sultan.
Putera Nun Alam Damiri telah membantu Balqis Qasrina berangkat ke Umpaja dgn meminjamkan Ambang. Dengan syarat Qasrina akan kembali ke istana Raloka memulangkan Ambang dan membawa Kitab Fansuri.
▪️▪️▪️
Saya suka novel ini kerana bahasa yg digunakan ala hikayat atau zaman dulu-dulu. Cerita yg disampaikan seperti kiasan kepada sikap kepimpinan pembesar/pemimpin. Atau mungkin boleh saya katakan, ianya boleh dijadikan panduan/pedoman.
Saya juga suka apabila penulis tidak henti-henti menekankan tentang kepentingan ilmu di dalam naskhah ini. Digambarkan, pada zaman itu, pemuda/pemudi keluar untuk menambahkan ilmu di dada agar menjadi insan yg berguna kepada masyarakat.
Cuma, bagi saya, pengakhirannya terlalu mudah. Mungkin jika dikembangkan lebih sedikit ceritanya akan menjadi lebih menarik.
Apapun saya tetap suka cara penceritaannya dan saya rate 4⭐.
Secara keseluruhan bagi aku jalan ceritanya menarik. Tetapi jika di olah dengan lebih mendalam lagi tentang isi kandungan kitab Darul Fansuri, aku rasa ia akan menjadikan Jalan cerita lebih menarik.
Garapan menerusi secara 'lipur lara' seperti pada ransang sari sebenarnya yang menarik saya untuk mengusaikan buku ini. Ya, penulisnya secara baik telah membawa ceritanya mengenai sebuah negara di hujung negeri bernama Raloka dan beberapa konflik pentadbiran negara yang berlaku di negara berkenaan. Nun, Tengku Mahkota yang mengalami penentangan terbuka daripada bapa saudaranya Tengku Besar yang menginginkan takhta kerajaan setelah Sultan, ayahanda Nun jatuh gering. Di samping itu, novel ini menyelitkan percubaan-percubaan Balqis Qasrina yang mahu mendapatkan kembali kitab warisan keluarganya, Darul Fansuri, di negeri Umpaja. Selain permasalahan-permasalahan siasah, tamak, dengki, hal umur untuk diangkat pembesar negara dan sebagainya, penulis buku ini juga diharusnya diberi pujian apabila beliau menerusi kias ibarat dan pantun turut menyelitkan mengenai falsafah yang perlu direnung dengan mata fikir. Meskipun pembawaan ceritanya mengenai siasah dan falsafah, penulis menyeimbangkan dengan lipur lara yang menatang novel ini sehingga pengakhirannya.
Cuma ada beberapa bahagian yang suntingannya kurang kemas. Pada beberapa bab tertentu, watak Majid Lengkuas yang merupakan pengiring Balqis Qasrina ke Umpaja seringkali tertukar dengan nama Firdaus. Boleh jadi, ini kesalahan yang tidak disengajakan. Semoga jika dicetak ulang kesalahan seumpama ini dapat diperbetulkan sebaiknya.
Bagi saya buku ini agak menarik. Kehidupan cara hidup Islam dan adat Melayu yang dimasukkan ke dalam cerita ini ditonjolkan dengan baik. Cuma saya agak terganggu dengan watak Putera Nun Alam Damiri yang mudah tertarik dengan beberapa watak wanita di dalam buku ini. Saya juga mengharapkan cerita ini dapat ditulis dengan plot yang lebih panjang. Saya agak kecewa dengan bagaimana kisah ini ditamatkan. Tetapi saya masih menikmati sebahagian besar alur cerita di dalam buku ini.