Di sebuah makmal terkawal ketat di Johor, seorang pakar biokimia sedang melakukan uji kaji merungkai untaian DNA nyamuk yang penuh rahsia.
Di hutan rizab berdekatan kaki Gunung Ledang, seorang pembalak haram diserang oleh sesuatu setelah menemui suatu barang berharga di tengah hutan.
Pada abad ke-16, seorang puteri berselubung misteri mendepani Sultan Melaka atas suatu perjanjian berdarah untuk nyawa seorang budak yang tidak berdosa.
Rantaian demi rantaian peristiwa ini akan disingkap oleh Zack dan Dayang, dua anak muda, mengikat takdir mereka dengan suatu warisan bahaya yang menguji akal budi, ketekalan dan perhitungan kuasa manusia.
Aku tertanya-tanya macam mana dua penulis ni boleh hasilkan karya yang awesome macam ni?
Idea cerita ni sangat terbaik. Kalau tak menang sayembara walau tempat kedua, aku pun tak tahu nak cakap apa.
Tapi mungkin disebabkan harga buku ini yang agak kurang mesra dengan pembeli/pembaca yang bajet cukup-cukup saja, yang mungkin menyebabkan ramai yang cuba berfikir dua-tiga kali untuk membelinya. Memang tidak dinafikan tidak boleh membandingkan harga dengan konten naskah ini, tapi dalam urusan jual beli, tidak semua mampu membeli buku yang baik ini jika dibandingkan dengan lambakan buku yang lain yang lebih murah.
Apa-apa pun, kalian cubalah baca. Buku ini best tau! Walaupun cerita aksi dalam ni seperti kebiasaan yang pernah dijumpai di mana-mana. Part perkaitan puteri gunung ledang dengan permintaannya yang dirungkai dalam bentuk sains, sangat terbaik. Harap ada lagi karya gila dari mereka.
Menakjubkan. Itu kata-kata yang tepat untuk novel ini. Tahniah kepada gabungan dua penulis, Nor Azida Ishak dan fadli al-akiti.
Usai membaca buku ini membuatkan diri terimbau semula menghayati karya FT, 1515. Kali ini, dua penulis ini memanfaatkan hikayat melayu, syarat-syarat peminangan Sultan Melaka ke atas Puteri Gunung Ledang dengan jalinan fiksyen yang menarik dikaitkan simbol-simbol untuk dirungkaikan dengan sains.
Zack baharu sahaja melaporkan diri di tempat kerja barunya namun terus mendapat tugasan berat menyiasat kes kematian berpuluh orang di sebuah kampung. Namun dia tiba-tiba diculik dan dipaksa melakukan kajian DNA nyamuk pelik yang ditemui di kawasan Gunung Ledang.
Sebuah konsep yang sangat menarik. Mengaitkan lagenda permintaan Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Melaka di atas peminangannya dengan teori sains. Dan teori yang dikemukakan kena dan nampak sesuai. Seolah ia benar-benar berlaku di zaman tersebut.
Gaya bahasa dan penulisan yang sangat cantik dari penulis. Bukanlah ayat yang terlalu puitis, bukan juga ayat yang terlalu 'straight to the point'. Lenggok ayatnya sangat menarik minat untuk meneruskan pembacaan. Pengunaan perkataan dan lenggok ayat di dalam naskah ini cukup menggambarkan keindahan bahasa melayu itu sendiri.
Sifat tamak tidak pernah luntur dan hilang daripada kehidupan manusia. Selagi manusia terus membaja sifat tersebut, ramai yang akan terus menjadi mangsa. Siapa yang tunduk dengan nafsu serakah ketakamakan jiwa pasti akan menjadi hamba haloba sendiri.
SH berasa sedikit tidak puas hati dengan pengakhiran cerita ini. Terasa tergantung dengan menimbulkan pelbagai persoalan. Dan juga agak tergesa-gesa di akhir cerita.
Bertitik-tolak daripada tujuh syarat peminangan Puteri Gunung Ledang, Azida dan Fadli memberi interpretasi (spekulasi?) baru yang sebenarnya mengangkat akal budi dan kebijaksanaan para saintis Melayu dahulu kala, ketika perkataan "sains" pun belum lagi wujud dalam perbendaharaan kata kita. Di tangan mereka, pandai Melayu dahulu kala telah melakukan mutasi genetik, menghasilkan antijirim dan "mencipta" adimanusia.
Menariknya, Azida dan Fadli menekankan mesej akhir yang sangat membekas lagi bertepatan dengan kekeliruan masyarakat masa kini, iaitu kepentingan mempertahankan kedaulatan institusi raja-raja Melayu.
Cuma, masalah sai-fai Melayu adalah nuansa penceritaan yang masih kental keremajaannya. Tunjang novel ini sudah baik. Malah, selain klimaks yang agak anti-klimaks pada saya, unsur kejutan terutamanya ketika Zack bekerja sehingga awal pagi di dalam makmal sangat baik (saya dapat membayangkan penemuan-penemuan penting Zack yang tepat dengan rentak-rentak penting dalam gubahan-gubahan muzik klasikal yang menemaninya). Justeru, saya agak kecewa apabila secara keseluruhan, saya tidak dapat menanggapi novel ini secara neutral. Label remaja itu masih terlalu kuat.
Barangkali pembinaan watak yang naif dan sebetulnya masih mentah-remaja (kisah latar mereka tidak cukup kompleks, barangkali?), atau juga penerangan sains yang tidak cukup sebati untuk mengalir daripada watak sendiri tanpa campur tangan pengarang (ketika Ramu menerangkan sesuatu pada Ainul, misalnya, saya merasakan bukan Ramu yang berbicara).
Namun sungguh, novel ini adalah novel sai-fai Melayu yang baik. Tahniah kepada Azida dan Fadli!
1. Genre - sci fi. Cerita ni tentang Datuk Isman, a very powerful wealthy man yg merekrut pakar biokimia utk bereksperimen merungkai DNA nyamuk. Dalam masa yg sama, ada pembalak haram jumpa fosil yg ada nyamuk kat dalam hutan dekat gunung Ledang.
2. Lepas kejadian tu kampung Relau Perdu yg berdekatan hutan tu diserang nyamuk bermata merah dan ramai penduduk mati sebab nyamuk tu rupanya bawak virus variola/penyakit cacar.
3. Nak tahu apa kaitan nyamuk tu dgn eksperimen yg Datuk Isman tengah buat dan apa kaitan dgn Puteri Gunung Ledang korang kenalah baca buku ni.
4. My thoughts on this book? I definitely love it. Cerita ni sangat menarik walaupun aku tak faham most of the part 😂 bila diorang dok sembang pasal DNA dan eksperimen tu aku buat2 faham je 🤣
5. Kenapa aku cakap cerita ni menarik? Sebab dia rungkaikan maksud 7 pemintaan Puteri Gunung Ledang dari sudut sains. Benda yg tak pernah kita terfikir pun selama ni.
6. Ending dia jela aku tak puas hati sikit. Jadi Zack tu memang kena kekal dalam hutan tu jela ek? Tak boleh ke keluar jadi superhero?
Kalau Sri Rahayu Mohd Yusop, penulisannya lebih menumpukan tentang masa hadapan walaupun perinciannya minimum. Dalam novel ini, saya masih boleh membaca gaya Fadli Al-Akiti pada beberapa bahagian (bagi yang pernah membaca novelnya yang terdahulu).
Jalan cerita yang cuba dibawanya menarik, cenderung ke arah sejarah alternatif. Sayangnya di beberapa tempat juga, ada yang tidak selaras, ada yang terlalu simplistik.
Leksikon Ledang menampilkan idea yang baharu. Ia bukan sebuah cerita yang berkisar tentang jangkauan masa (time traveler dan seangkatan dengannya). Ia cerita dua zaman yang tak terjengah antara satu sama lain tapi kesamaannya adalah masing-masing bersambung pada satu legasi yang unik, iaitu teknologi pengubahsuaian DNA yang bermula dari zaman Puteri Gunung Ledang-Sultan Melaka (Mansur Syah).
Saya suka dengan kesegaran idea, tetapi ada beberapa perkara yang terasa 'tak sedap'. Ia seperti:
i. Babak situasi Puteri Gunung Ledang dengan Sultan Melaka terlalu sedikit. Bahkan plot Feringgi datang serta kaitannya dengan situasi, dan plot teknologi pengubahsuaian DNA purba juga sekejap.
ii. Cerita yang mahu lari daripada gaya klise novel-novel lain, tetapi tetap ada sehinggakan idea segar ini seakan-akan hilang. Sekadar macam menampal wajah muda pada tubuh yang tua renta, orang tetap akan terasa 'tua' suasananya itu.
iii. Dialog ala berceramah dan kandungan ilmiah, ala-ala meniru Faisal Tehrani, tetapi tak jadi macam Faisal Tehrani. Dialog kaku, tak ada nuansa semula jadi. Ia jadi bebelan yang buatkan pembaca tak faham dan tertolak. Sama juga dengan dialog bukan berkandung ilmiah, terasa janggal.
Idea untuk novel Leksikon Ledang ini memang bagus, saya beri lima bintang. Tapi sepanjang membaca perasaan selalu terganggu-gugat dengan rasa yang mahukan lebih, tetapi dikecewakan. Maka, rating di atas yang saya mampu beri.
Sebagai seorang pembaca yang bukan peminat Sci Fi, rasanya ini antara novel Sci Fi yang berjaya aku khatamkan. Haha.
Aku gemar akan idea penulis yang menggabungkan lagenda Puteri Gunung Ledang dan bioteknologi. Memang 'awesome' bak kata orang putih. Tapi pengakhiran novel ini, rasanya aku kurang faham. Haha. Mungkin daya imiginasiku tak dapat mengikuti rentak penulis. Walaubagaimanapun, tahniah diucapkan kepada penulis. Naskah ini antara Sci Fi yang beridentiti nusantara yang wajar dijadikan penanda aras untuk karya Sci Fi tempatan.
Pada awalnya ingin memberi 3 atau 3.5 bintang, tetapi premisnya begitu menarik. Permulaan dan pertengahan cerita begitu banyak ruang untuk diperbaiki, mungkin boleh ditambah masuk lagi dengan legenda Puteri Gunung Ledang. Revelation awal mengenai syarat peminangan kurang memberi pengujaan tetapi di hujung cerita, debar dan kemuncak revelasi itu sangat baik.
Naskhah ini mengingatkan saya akan novel-novel Dan Brown seperti Angels & Demons juga Da Vinci Code yang memanipulasi dan berspekulasi dengan bahan sejarah, tetapi diekstrapolasi ke zaman moden. 1515 karya Faisal Tehrani turut menerjah meskipun berlainan genre. Tidak rugi membacanya, meski ada dirasakan kelemahan (secara peribadi) dari sudut plot, namun segalanya terjalin baik sehingga ke penghujung. Tahniah buat kedua-dua penulis.
Wow ! Best sangat :D Buku ke-2 yang habis dibaca untuk tahun 2017 :) Plot twist mendebarkan. Memang patut menang sayembara SaiFai Melayu. Tahniah Kak Nor Azida Ishak dan gabungan seorang lagi penulis, Tuan Fadli Al-Akiti. Sebuah Novel Sains Fiksyen + Sejarah + Sains. Melalui novel ni, terbongkar misteri perkaitan 7 syarat peminangan Puteri Gunung Ledang yang dirungkai dengan fakta sains, teknologi Biogenetik.
Novel yang memang layak memenangi tempat kedua. This is the science fiction book and I really enjoy it. Fadli tahu bagaimana nak tulis sebuah novel sains fiksyen dan Azida membantu dengan fakta sains yang diperlukan untuk teknologi biogenetik.
Sebuah novel yang menggabungkan misteri dalam dongeng Alam Melayu dengan kemajuan sains masa kini. Diceritakan dengan ‘plot twist’ yang menarik untuk terus disambung bacaan hingga habis.
Walau bagaimanapun bahagian puncak (klimaks) novel tidak begitu tampak di samping penceritaan banyak cuba untuk memberi penjelasan sains kepada setiap perkara sekaligus menghasilkan banyak ‘jargon’ untuk pembaca santai.
Pengakhirannya juga agak tidak masuk akal kerana bagi latar belakang novel gaya hidup Islam, manusia hidup secara nyata iaitu makhluk berjisim dengan model ulung Islam adalah Nabi Muhammad SAW. Sedang Nabi Muhammad SAW tidak mampu lesap begitu sahaja kecuali dengan mukjizat. Mungkin penulis cuba mengimaginasikan manusia berubah kepada makhluk tanpa jisim seperti malaikat yang hanya daripada cahaya atau seperti mukjizat Nabi Khidir yang turut disebut di awal novel.
Walau apapun, syabas untuk novel ini. Saya larut dalam pembacaan sehingga muka surat terakhir dalam tempoh 2 hari sahaja.
Idea yang menarik. Tak sangka Hikayat Puteri Gunung Ledang boleh dikaitkan dengan Sains dan Teknologi. Membaca petikan dari Sulalatus Salitin membuatkan saya terkagum seketika dengan sejarah alam melayu yang kian terlupakan.
Dari segi bahasa, standard bahasa melayu zaman sekolah(ayat buku teks) yang kadang-kadang jadi tidak realistik jika dituturkan tapi sebenarnya inilah ayat penulisan yang sebenar kan.
Penerangan yang detail tapi kadang-kala saya skip sebab rasa tidak sabar ingin tahu apa yang berlaku seterusnya. Sedikit sebanyak mengingatkan saya kajian yang kami lakukan semasa di UKM dulu.
Saya masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang ingin Datuk Isman mahukan dan apa sebenarnya hasil kajian tersebut? Kenapa Zack yang sesuai dengan hasil kajian itu? Adalah dia juga berdarah diraja? Apa kesudahan Zack?
Apabila aku baca buku ni, aku membayangkan Puteri Gunung Ledang ialah saintis yang bijaksana zaman dahulu. Buku ni menceritakan seorang saintis (Datuk Isman Hijjaz) yang ingin merungkai syarat-syarat Puteri Gunung Ledang semasa Raja Mahmud ingin meminang Puteri Gunung Ledang. Hal ini kerana dia percaya itulah hint-hint untuk menyelamatkan anaknya yang sakit. Dengan pertolongan Zack dan Dayang, Datuk Isman berjaya menggabungkan beberapa DNA nyamuk, pinang muda dan lain-lain untuk tujuan yang tidak dijangka oleh Dayang dan zack.
Aku suka buku ni sebab penulis berjaya mengaitkan kisah Puteri Gunung Ledang dengan zaman sekarang. Penulisan ditulis dengan sangat teratur dan plot yang kemas.
Buku yang dibeli pada jualan gudang Utusan. Beli kerana ianya sangat popular di kalangan pembaca cerita sains fiksyen.
Sebuah cerita yang menginterprestasikan cerita Puteri Gunung Ledang melalui sains. Cerita yang penuh dengan istilah-istilah sains tapi langsung tidak mengganggu pembacaan kerana semuanya diterangkan dengan sempurna.
Watak yang banyak juga tidak terasa memeningkan kerana semuanya datang pada masa yang sesuai dan tidak meleret. Elemen kejutan juga memang tidak dijangkakan.
Buku yang tidak patut berhenti bila membacanya dan saya membacanya hanya dalam masa tak sampai 6 jam.
Kisah yg cukup mendebarkan dan pengakhiran yg sungguh beremosi, sungguh bijak mencantumkan kisah dahulu kala dan plot masa kini. Tentang tamaknya kuasa (adimanusia) yg tidak kemana mana pada akhirnya. Fakta sains yg dinyatakan juga membuatkan bacaan tidak berlalu dgn sia sia tanpa ilmu.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Satu naskhah sci fi melayu yang bagus. Terungkai sudah misteri syarat peminangan puteri gunung ledang. Kalau nak tau apa penjelasan tujuh dulang hati nyamuk... korang baca la novel ni... 4.5 bintang berkelipan. Hehe..