Yakni hendak menjadikan penulisan sebagai wasilah dakwah, sebagai usaha untuk mendapatkan rahmat ALLAH. Menjadikan medium ini sebagai usaha saya untuk berjuang memenuhi tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi, dan hamba kepada ILAHI - Hilal Asyraf
Seorang pendakwah seharusnya memikirkan bentuk penulisan yang bagaimana yang mampu memberi kesan dan membangkitkan rasa mahu kembali kepada Islam apabila mad'u membacanya. - Zahiruddin Zabidi
MUHAMMAD HILAL ASYRAF atau lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf, merupakan graduan Yarmouk University(2012), Jordan dalam bidang Usuluddin.
Beliau telah memulakan karier sebagai seorang penulis semenjak April 2009 dengan karya sulung, Novel VT dan Buku Motivasi Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita.
Semenjak itu, beliau aktif mengarang karya-karya fiksyen dan non-fiksyen. Kini telah menghasilkan lebih 40 judul karya.
Beliau juga merupakan pengasas kepada web LangitIlahi.Com, dan semenjak penghujung 2016, beliau telah menubuhkan perniagaan penerbitan beliau sendiri - Hilal Asyraf Resources, dan mula menerbitkan sendiri karya-karya beliau.
Buku ini menggabungkan dua penulis dengan buah fikir mereka dalam menceritakan pengalaman mereka dalam dunia penulisan. Selain tips dan penerangan, buku ini juga memberi inspirasi yang kuat untuk pembaca turut mula menulis.
Dengan pengalaman menulis yang luas, kedua-dua penulis mengulas dengan menarik sekali, baik dari segi isinya, mahupun cara penyampaian mereka. Buku ini menjadi pemangkin yang baik dalam memacu semangat penulis pemula terutamanya.
Catatan Fikir Dua Penulis - sebuah bacaan yang sesuai untuk bacaan pembaca yang ingin menterjemahkan ilham penulisan sehingga terhasilnya karya bercetak mereka tersendiri.
Buku ini long due untuk saya baca sebenarnya tapi, better late than never. Paling bermakna bagi saya adalah cara Hilal Asyraf dan Zahiruddin menerangkan kepentingan penulisan oleh penulis Muslim yang matlamatnya harus senada dengan ketetapan syarak. Menulis jangan hanya untuk menempa nama, populariti, mahupun wang ringgit. Semua itu akan jadi bonus dan jika perkongsian ilmu dilakukan dengan penuh tawaduk dan istiqamah, rezeki yang Halal bersulam nama, populariti dan kekayaan akan dihadiahkan dengan izin Allah. Rupanya seawal buku ini ditulis, bahang hanyir penulisan yang cuba mengangkat mahupun yang meraikan kebebasan mungkar telah terasa tengiknya. Kini apatah lagi, dengan begitu banyak muda mudi dan tidak kurang juga sang penulis dan penerbit buta hati sudah terang terangan menerbitkan karya fiksyen yang terpesong sipi-sipi dan ada juga yang terpelanting jauh dari mempromosikan kehidupan Mukminin dan Mukminat yang beriman yang sentiasa mencari kebaikan. Buku Catatan Fikir Dua Penulis bagi saya walaupun ringkas, sungguh perkongsian yang amat baik oleh kedua penulis.
Buku CATATAN FIKIR DUA PENULIS. Bilangan Halaman : 257 Halaman. Mula Dibaca : Jumaat, 15 Muharam 1447 Hijrah, 11 Julai 2025. Tamat Dibaca : Sabtu, 23 Muharam 1447 Hijrah, 19 Julai 2025.
Aku memang tak minat dengan buku-buku yang tipis apatah lagi yang bersifat teknikal. Jiwa aku lebih kepada buku yang bersifat penceritaan tetapi memandangkan buku ini isteri aku yang belikan, maka aku cuba juga membaca dan menggali seberapa banyak maklumat yang boleh. Seperti tajuknya, buku ini ditulis hasil tangan dua orang ustaz dan aku bahagikan kepada PENULIS 01 dan PENULIS 02 di sini.
PENULIS 01.
Seperti kitab Hadis karangan ulama' besar (aku lupa nama kitab itu), Penulis 01 memulakan buku ini dengan bab niat. Apa niat kita untuk menulis? Adakah sekadar hobi mengisi masa senggang atau mahu mengaut duit dari hasil jualan buku? Jika itulah niat kita, maka boleh jadi penulisan kita nanti tiada jiwa. Sekadar kata-kata kosong yang bersifat mendodoikan para pembaca dengan khayalan sia-sia.
Setiap amal bermula dengan niat. Penulis mengajak kita memasang niat menjadikan penulisan sebagai medan menyebar dakwah. Berdakwah melalui mata pena.
Bagi penulis, semua orang yang hidup ada idea kerana dalam seluruh perjalanan hidup kita atau orang lain, ada idea yang boleh diekstrak. Hanya orang mati yang tiada idea. Kita bukan tiada idea tetapi kita tidak tahu teknik yang betul untuk mengembangkan idea. Ada masanya, idea datang sendiri dalam bentuk ilham dari Allah dan kita perlu segera mencatatnya kerana idea seperti ini sifatnya 'mahal'. Jika kita tidak mencatatnya, ia akan hilang dibawa angin dan entah bila ia akan muncul kembali. Rugi. Idea juga boleh dicari melalui sumber-sumber bacaan yang lain.
Dalam mengembangkan idea pula, penulis menerapkan teknik 5 W 1 H iaitu :
Where ? Why ? Who ? When ? What ? How ?
Mungkin kita ada teknik lain dalam mengembangkan idea dan teknik yang diajar oleh penulis ini bolehlah dijadikan nilai tambah kepada kemahiran kita dalam menulis. Cuma penulis cukup tekankan bahawa jangan mencari dan mengembangkan idea semasa menulis. Ia akan membantutkan proses penulisan kita. Alamatnya, berjam-jam kita duduk di hadapan komputer tetapi kita cuma sempat menulis beberapa baris ayat sahaja. Sebab itu penulis sendiri sediakan jadual harian. Susun masa dan tempoh untuk menulis dalam sehari. Contohnya, kita menulis pada awal pagi selama satu jam. Atau menulis selepas pulang dari kerja selama satu jam juga.
Menulis tidak sepatutnya menghalang kita beraktiviti sosial dengan orang lain. Isteri kita ada haknya, anak kita ada haknya begitu juga ibu bapa kita. Sebab itu perlu susun jadual supaya kita kekal fokus di samping tidak mengabaikan tanggungjawab kita yang lain.
Dalam usaha mencari atau mengembangkan idea, pastikan sumber rujukan itu benar-benar sahih. Walaupun kita menulis manuskrip berbentuk novel sekalipun, fakta yang kita masukkan mestilah sahih, bukan direka-reka. Bukan semua perkara kita boleh 'goreng'. Waspadalah, jangan sampai kita jadi penyambung lidah yang manis berbicara tetapi cuma omong kosong.
Suka atau tidak, di zaman ini, media sosial sangat memainkan peranan dalam dunia penulisan fizikal. Gunakan teknologi ini sebagai medan mempromosikan buku dan membina hubungan baik dengan pembaca atau bakal pembaca. Lagipun, sekarang ini, tanggungjawab menjual buku bukan saja terletak di bahu pasukan pemasaran tetapi penulis juga perlu memakai topi seorang jurujual. Jika segan berbicara dan bergaya di hadapan kamera, penulis boleh menggunakan bakatnya untuk mempromosi buku dalam bentuk tulisan. Penulisan adalah perniagaan yang banyak saingan. Untuk memastikan kelangsungan penulisan, corak berniaga juga perlu sering berubah di luar kotak.
PENULIS 02
Selepas ramai para penghafaz Al-Quran syahid dalam Perang Yamamah, Saidina Abu Bakar R.A mengarahkan pengumpulan Al-Quran dalam satu mushaf dan kemudiannya disimpan oleh Ummul Mukminin Saidatina Hafsah Binti Umar R.A. Pengumpulan Hadis pula mula berlaku pada zaman Dinasti Umayyah atau lebih tepat, pemerintahan Umar Bin Abdul Aziz.
Tradisi penulisan dalam sejarah Islam sudah berlangsung sejak ribuan tahun lalu. Melalui dua sumber utama dalam Islam itu, berkembang pelbagai lagi cabang keilmuan seperti ilmu tafsir Al-Quran dan sebagainya. Penulis turut menceritakan serba ringkas mengenai tradisi penulisan di kalangan ilmuwan Islam. Ada ilmuwan yang menulis kitab untuk mensyarahkan kitab lain, ada ilmuwan yang menulis kitab sebagai ringkasan kepada kitab lain malah ada juga yang membalas hujah ilmuwan lain melalui penulisan kitab. Begitulah sepatutnya, ilmu perlu dihujah dengan ilmu.
Penulis berkali-kali menekankan kepada pendakwah supaya menguasai teknik penulisan yang berkesan dan teknologi terkini kerana kefahaman bahawa sastera itu terpisah dari agama perlu diperbetulkan. Dakwah bukan saja melalui lisan tetapi penulisan juga memainkan peranan yang bukan kecil. Seperti perenggan di atas tadi, tradisi penulisan dalam sejarah Islam sudah berlangsung ribuan tahun. Manusia sukar dipisahkan dengan penulisan kerana rutin harian manusia tidak akan lari dari elemen penulisan.
Rancangan yang ditonton di kaca televisyen asasnya dari penulisan skrip. Begitu juga dengan celoteh DJ di corong radio. Manfaatkan segala teknologi ini untuk menyuntik elemen dakwah atau lebih mudah faham, penghasilan karya-karya kreatif yang patuh syariah. Setiap penulisan itu pasti ada mesej yang hendak disampaikan atau hendak ditanam dalam minda manusia. Tidak nampakkah kita hari ini, puak-puak kafir terus-menerus berusaha menanam pelbagai bentuk ideologi sesat dengan pelbagai jenama melalui pelbagai medium?
Ada karya kreatif ciptaan mereka yang pada zahirnya hebat pada penulisan plot yang kita boleh sebut sebagai 'mindblowing' tetapi turut menyelit adegan lucah, watak-watak yang mengalami kecelaruan orientasi seksual. Tidak nampakkah itu semua cubaan mereka untuk menormalisasikan zina dalam kehidupan umat Islam?
Penulis juga menggesa para agamawan untuk turun menyertai perjuangan dakwah melalui karya kreatif patuh syariah sama ada secara akademik mahu pun praktikal. Sudah terbukti bahawa sebuah karya yang patuh syariah boleh menjadi fenomena malah memberi pulangan yang sangat lumayan seperti filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan. Fenomena seperti ini perlu diteruskan. Jika ramuannya tepat, tidak mustahil kegemilangan filem terbitna Studio Kembara itu akan berulang.
Hari ini, dunia maya sedang dibanjiri dengan pelbagai tajuk audio siar atau 'podcast' yang dikendalikan oleh pengacara dan tetamu dari pelbagai latar belakang. Ramai ilmuwan memanfaatkan platform ini untuk menyebarkan kefahaman tentang ilmu Al-Quran, Hadis, sejarah dan sains. Ia satu perkembangan yang bagus lagipun audio siar ini tidak terlalu ketat peraturannya seperti siaran televisyen.
Setiap penulisan itu ada mesejnya. Aku tidak setuju dengan lambakan novel-novel cinta penuh omong kosong lagi imaginasi yang membuai pembaca hingga terlena ke alam fantasi. Begitu juga dengan buku-buku 'healing' yang boleh diibaratkan seperti mendodoikan bayi di dalam buaian sambil diberi botol susu. Negara kita perlukan lebih ramai lagi penulis yang berdakwah melalui karya kreatif. Sebagai seorang yang minat bidang Sirah, aku amat berharap ramai agamawan dapat terjun ke bidang penulisan novel berasaskan Sirah dan Sejarah. Mengkritik fenomena novel fiksyen sejarah saja tidak memadai. Kita perlukan agamawan yang menulis novel sejarah dengan gaya yang mampu menarik pembaca di samping memastikan fakta yang dikemukakan adalah sahih.
Moga industri buku tempatan semakin rancak dengan bahan bacaan kreatif yang berunsurkan dakwah Islam!
Pandangan dan pendapat yang dikutip daripada dua orang penulis tentang apa yang perlu ada dalam sesebuah penghasilan karya. Panduan dan perspektif yang berbeza mampu membuatkan sesuatu karya itu bersifat dinamik dan menambat hati pembaca bagi mengikuti plot penceritaan seterusnya...buku ini elok dijadikan kitab kepada mereka yang berminat untuk menulis dan benar-benar serius menjadikan penulisan sebagai makanan....
Contengan pengalaman penulis sepanjang menjadi penulis buku novel. Sesungguhnya kuasa penulisan boleh mempengaruhi orang lain. Melalui penulisan juga kita mampu untuk menyampaikan dakwah. Benarlah kata ilmuwan terdahulu bahawa mata pena lebih tajam berbanding mata pedang.