Buku ini meneliti tentang konsep Islam, iaitu akidah, ibadah, khalifah, dakwah dan jihad dalam novel-novel berunsur Islam. Penelitian ini berasaskan kepada sejauh mana para pengarang mengemukakan konsep Islam tersebut dalam karya mereka. Pada masa yang sama, buku ini melihat kesejajaran pandangan tokoh-tokoh agama dan sarjana sastera sama ada peringkat dunia yang dipelopori oleh al-Ghazali, Sayyid Qutb dan al-Faruqi atau peringkat tempatan yang diterajui oleh Ismail Hamid, Ismail Ibrahim, Muhammad Bukhari Lubis, Mohd. Kamal Hassan, Muhammad 'Uthman el-Muhammady, Shafie Abu Bakar dan Shahnon Ahmad terhadap pemahaman "sastera Islam". Rata-rata tokoh ini menjadikan tauhid sebagai ukuran penilaian terhadap tahap keberkesanan konsep kebaikan (al-Khayr), kebenaran (al-Haqq) dan keindahan (al-Jamal) yang terdapat dalam karya-karya berunsur Islam. Berdasarkan pemilihan teks, iaitu novel-novel yang memenangi sama ada "peraduan", "anugerah" atau "hadiah" yang berunsur Islam, maka gagasan Teori Takmilah yang dicetuskan oleh Shafie Abu Bakar dijadikan analisis perbincangan.