Saya suka fiksyen sejarah kerana unsur emosi sudah tentunya fiksyen berlatar belakang fakta-fakta sejarah yang melibatkan tokoh-tokoh, tempat dan zaman yang sahih. Fakta - fakta ini pula boleh disahkan dengan mudah.
Ada unsur nostalgia tentang sejarah Andalusia. Masih teringat-ingat lagi sejarah ini diajar di dalam mata pelajaran Agama Islam di peringkat SPM lalu. Kisah Roderick yang bernafsu serakah mencabul kehotmatan Florinda. Lalu ayahnya Julian, seorang penguasa di Ceuta menjemput tentera Arab untuk menyerang Sepanyol dan membalas dendam ke atas Roderick. Tariq bin Ziyad mendarat bersama tenteranya mendarat di bumi Sepanyol. Dikisahkan bagi menaikan semangat jihad tentera Islam, Tariq telah membakar kapal yang membawa mereka ke pantai Sepanyol.
Sebahagian besar novel ini mengisahkan intrik politik yang berlaku sebelum tentera Arab menyerang Sepanyol. Raja Roderick disokong oleh Gereja Romawi merampas kuasa dari Raja Wittiza. Alfonso, sebagai putra mahkota telah dinafikan haknya sebagai pewaris Raja Wittiza. Alfonso ketika itu telah ditunangkan dengan Florinda, anak kepada Julian merupakan pembesar di Ceuta.
Roderick telah mengarahkan semua anak pembesar di tempatkan di istana-istana miliknya. Sebagai cara mendapat ketaatan daripada pembesar-pembesarnya tidak terkecuali Florinda anak kepada Julian. Roderick juga bersifat keras terhadap penganut agama Yahudi. Mereka dipaksa menganut Kristian atau pun keluar dari Sepanyol. Sebahagian kecil dari mereka berpura-pura menganut Kristian dan masih mengamalkan upacara agama Yahudi secara tersembunyi.
Mengetahui Florinda telah ditunangkan dengan Alfonso, Roderick cuba mendapatkan cinta dari Florinda. Roderick mencuba berkali-kali memujuk Florinda untuk menikahinya. Florinda dengan bantuan Oppas, pakcik kepada Alfonso berjaya melarikan diri dan menginap di sebuah biara di kawasan pergunungan.
Alfonso pula telah diarahkan memadamkan pemberontakan di sempadan. Maka terpisahlah sepasang kekasih ini tanpa sebarang berita. Berita serakah Roderick terhadap anak perempuannya akhirnya sampai ke Julian melalui surat dari Florinda. Julian bersumpah untuk menjatuhkan Roderick. Yahudi mula mengorak langkah dengan membuat konspirasi untuk menjatuhkan Roderick melalui tentera Arab. Yahudi di Sepanyol dan dunia Islam memulakan gerakan sulit untuk menjatuhkan Roderick dan menggantikannya dengan Alfonso.
Akhirnya Julian memberi bantuan kepada Tariq bin Ziyad menyeberang ke Sepanyol. Julian dan terteranya menjadi penunjuk jalan tentera Ziyad. Ketegangan dalam novel ini berlaku bila Oppas yang pada mulanya menyokong Alfonso sebagai raja menggantikan Roderick bertindak sebaliknya. Oppas melupakan sengketanya dengan Roderick dan berjuang bersama Roderick mempertahankan Sepanyol agar tidak jatuh ke tangan tentera Islam yang bukan seagama, sebangsa dan berlainan bahasa. Tindakan Oppas memberi tekanan kepada Alfonso yang terpaksa berjuang dengan Roderick. Alfonso juga rasa bersalah mengkhianati Florinda dan Julian.
Akhirnya pertempuran pun berlaku. Ketika inilah Alfonso disaat-saat akhir mendapat surat dari Julian dan Florinda. Surat Florinda membuat hatinya berubah. Alfonso bergerak menyebelahi tertera Arab. Tentera Roderick yang lima kali ganda berjaya dikalahkan. Roderick mati lemas ketika melarikan diri.
Kemenangan ini merupakan titik permulaan kegemilangan Islam di Sepanyol. Islam bertapak selama 8 abad. Sepanyol menjadi pusat kebudayaan dan pusat tamadun di Eropah. Semuanya tinggal kenangan apabila pada tahun 1492 Granada, Kerajaan Islam terakhir di Sepanyol dibubarkan oleh Ferdinand dan Isabella.