Mereka bukan insan biasa. Para sahabat Nabi SAW adalah generasi terpilih yang sanggup mengorbankan harta, keluarga bahkan nyawa demi Allah dan Rasul-Nya. Di sebalik nama-nama besar seperti Abu Hurairah, Bilal bin Rabah, Umar, Abu Bakar, Khansa’, Asma’ dan ramai lagi, tersimpan kisah yang mampu mengetuk hati kita yang sering lalai dengan dunia.
Buku ini menghidupkan kembali semangat juang mereka dalam bentuk cerita yang dekat dengan jiwa. Setiap kisah disertai ulasan, pengajaran, doa, dan amalan praktikal agar kita bukan sekadar membaca, tetapi turut merasai getar iman mereka.
Di tengah hiruk-pikuk dunia moden, kisah-kisah ini hadir sebagai Penawar, mengingatkan kita bahawa jalan menuju Allah terbuka untuk semua. Dengan amal yang sederhana tetapi ikhlas, ternyata kita juga mampu mencontohi sahabat Nabi SAW, agar hati kembali hidup dan iman kembali bernyala.
Pertamanya, saya puji dengan setiap helaian muka surat yang warna-warni, ceria dan ilustrasi tambahan sebagai penyeri buku. Memberi kita aura dan semangat untuk membaca dengan rasa yang tenang dan damai.
Bacaan kali ini dapat meneladani kisah-kisah sahabat Nabi SAW yang hebat sebagai penyambung agama Allah SWT hingga ke akhir zaman. Cemburunya saya kerana segala usaha, pengorbanan dan jihad sahabat2 ini adanya bersama Rasulullah SAW dan ganjaran yang hebat. Sedikit sebanyak memang memberi suntikan rohani pada yang membaca.
Penyampaian yang sedap dibaca. Sampai tak sedar secepat itu habisnya. Setiap kisah seakan bercerita dan tak terasa seperti buku non-fiction yang lain. Pengajaran yang disisipkan bersama teguran juga seperti kejutan buat diri. Juga doa2 yang boleh kita amalkan dalam harian. Buku ini sangat sesuai dibaca buat semua lapisan umur.
Hebatnya sahabat2 Nabi SAW pada masa dahulu kerana sangat berpegang teguh pada iman dan setia agama. Taat pada dakwah Rasulullah SAW. Ada yang diseksa, ada yang berani syahid, ada juga yang hebat menghafaz al-Quran dan banyak lagi. Semuanya atas dasar cintakan Islam dan Rasulnya. Terlalu banyak pengajaran dan hikmah yang boleh dicontohi.
Rindulah pada ilmu kerana ilmu tidak datang dengan sendirinya. Boleh selitkan buku ni dalam bacaan Ramadhan kalian. Saya sendiri tak puas membacanya. Moga manfaat dari buku ini menjadi asbab perubahan yang baik walau sekecil kuman.
naskhah ini sarat dengan iktibar, pengajaran dan nasihat yang sangat dekat dengan jiwa. setiap bab membawa kisah para sahabat Nabi SAW, disertai pengajaran yang jelas dan diakhiri dengan doa yang menyentuh hati. ada banyak kisah yang saya sendiri baru pertama kali dengar, dan setiap kali saya menyelak helaian demi helaian, saya rasa kagum dengan kehebatan para sahabat ini.
salah satu kisah kegemaran saya ialah tentang Abu Hurairah r.a; khususnya kisah kesungguhan beliau terhadap ilmu dan pengalaman kelaparan yang ditempuh demi menuntut ilmu. melalui kisah beliau, saya makin sedar bahawa tanpa ilmu, diri kita mudah menjadi kosong dan goyah. dengan ilmu, kita belajar memahami kehidupan dengan lebih luas. dan dari proses belajar itu, perlahan-lahan kita akan mempraktikkan apa yang dipelajari dalam kehidupan seharian. bahkan tanpa sedar, kita akan menyebarkan ilmu itu kepada orang lain. bukankah itu sesuatu yang sangat indah? betapa mulianya apabila seseorang itu benar-benar mencintai ilmu dan menghargainya.
ada juga beberapa kisah yang sangat menyentuh jiwa saya hingga menitiskan air mata. teguran yang disampaikan terasa lembut, tetapi tetap menusuk kalbu. antara yang paling memberi kesan kepada saya ialah kisah Hanzalah r.a dan sifat takutnya. kisah beliau membuatkan saya sedar bahawa sebagai manusia, iman kita ada naik turunnya. ada masa kita rasa dekat dengan Allah, ada masa kita lalai. tetapi jangan sesekali kita biarkan diri terus hanyut hingga melupakan Yang Maha Esa.
kisah itu mengajar saya bahawa apabila hadir rasa takut dan bersalah dalam diri, itu tandanya Allah masih memberi peluang dan masih menyayangi kita. rasa itu bukan untuk menjauhkan kita, tetapi untuk memanggil kita kembali. dan semoga melalui kisah-kisah yang dikongsikan dalam naskhah ini, kita sama-sama berusaha menjadi hamba Allah yang lebih baik daripada semalam.
Sahabat nabi didefinisikan sebagai orang-orang Muslim yang hidup sezaman dengan Nabi Muhammad SAW dan juga pernah berjumpa dengan Rasulullah secara bersemuka. Mereka ini adalah golongan yang beruntung kerana hidup pada zaman tersebut dengan mendapat ilmu dan hidayah secara langsung daripada utusan Allah.
Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu golongan pemuda, wanita dan kanak-kanak. Membuka lembaran buku ini seolah saya masuk ke dalam timeline zaman tersebut. Saya rasakan saya dapat menghayati apa yang terjadi ketika itu asbab degan keindahan dan kelancaran tulisan daripada penulis.
Kita akan dihidangkan dengan cerita kisah sahabat tersebut, ulasan, pengajaran, doa ringkas, amalan praktikal dan kata-kata hikmah untuk setiap sahabat. Saya juga banyak belajar tentang sahabat yang jarang kita dengar kisah mereka seperti contoh, Hanzalah r.a, Hakim bin Hizam r.a, Khansa r.a, Zaid bin Tsabit r.a dan ramai lagi. Ternyata, mereka tergolong dalam kalangan orang yang beriman dan berakhlak mulia. Perkara yang sepatutnya kita contohi jika kita mahukan keredhaan Allah dan Rasulullah.
Buku ini telah membuatkan saya refleks kembali sejauh mana saya jika nak dibandingkan dengan pengorbanan dan kisah hidup mereka yang serba diuji. Apalah sangat yang mahu saya rungutkan. Saya juga berfikir andai kata saya dilahirkan pada zaman tersebut, adakah saya akan sekuat mereka, masyaAllah.
Saya sangat rekomen kan buku ini buat sesiapa sahaja yang ingin membaca bacaan bermanfaat, menambah ilmu, mencari pengajaran dan inspirasi untuk menjalani kehidupan dengan lebih bersyukur. Semoga Allah redha.
Subhanallah. 30 kisah yang diceritakan dalam buku ni sedikit sebanyak buat diri ni makin kerdil rasanya berbanding dengan sahabat sahabat nabi. itu pun kita cuma baca secoret sifat mereka dah cukup berbeza cara fikir dan cara hidup mereka dan kita. kisah pertama dah cerita tentang Abu Talhah yang pentingkan solat melebihi harta dunia. Aisya r.anha yang sentiasa takutkan Allah dan yang paling saya rasa menusuk ialah kisah Fatimah r.anha yang dihadiahkan zikir oleh bapanya Nabi SAW kerana kepenatan dan itu lebih baik dari meminta seorang hamba meringankan beban. subhanallah.
worth mentioning the book in colour coded dan bergambar! cantik sangat rasa berbaloi spend rm13 (beli masa live shopee) untuk dapat buku cantik macam ni. buku pun very very floppy! alhamdulillahh
Ternyata Kita Mampu Mencontohi Sahabat Nabi oleh Dr. Nurul Asmida Saad merupakan sebuah buku yang menekankan akhlak para sahabat serta ahli keluarga terdekat Rasulullah SAW. Setiap kisah disokong dengan hadis berserta nombor rujukan, disertakan ulasan yang jelas, pengajaran, doa, dan diakhiri dengan kata-kata yang memberi inspirasi serta peringatan buat diri.
Secara keseluruhan, buku ini tampil dengan susunan yang kemas dan visual yang colourful. Kandungannya dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu pemuda, wanita dan kanak-kanak. Walaupun berbeza kategori, setiap bahagian boleh dibaca oleh semua kerana setiap kisah mengandungi ibrah yang boleh kita ambil daripada tindakan dan sikap mereka.
Ada kisah-kisah yang mungkin sudah biasa kita dengar, namun ulasan penulis membantu pembaca memahami dengan lebih mendalam maksud sebenar yang ingin disampaikan melalui hadis tersebut.
Bahagian doa menjadi antara kegemaran aku—siap aku ‘tagging’ hampir semuanya, termasuk kata-kata inspirasi yang benar-benar beri petunjuk dan peringatan kepada diri.
Buku ini memang wajar ada dalam library rumah. Banyak pengajaran yang boleh dikongsi dan disampaikan semula kepada orang sekeliling, termasuk anak-anak.
Saya memang suka buku tentang sirah Rasulullah S.A.W dan kisah para sahabat. Jadi apabila melihat buku ini diterbitkan, rasa teruja itu hadir🤩
Bagi saya, buku ini mengetengahkan konsep yang menarik & tersusun. Setiap kisah para sahabat yang dipilih bukan sekadar diceritakan, tetapi turut disertai dengan ulasan serta pengajaran yang relevan. Menariknya, pada setiap penutup kisah pula akan ada doa yang dipilih khusus, untuk kita hayati sebagai kesinambungan daripada kisah tadi. Jadi, setiap kisah tu terasa seimbang & lengkap.
Buku ini ada 3 bahagian utama: - Kisah pemuda - Kisah Wanita - Kisah Kanak-kanak Antara 3 𝐤𝐢𝐬𝐚𝐡 yang paling dekat dengan diri saya, (mungkin sebab ia menyentuh titik-titik kelemahan dan keazaman yang saya sendiri sedang cuba perbaiki), ialah: 1. Abu Talhah r.a mewakafkan kebun kerana terlalai ketika solatnya 2. Zikir Fatimah r.anha 3. Ummu Sulaim r.anha & amalannya
Semakin saya baca, semakin saya nampak bagaimana 10 muwasofat tarbiyah para sahabat itu terbentuk. Ia bukan hasil langkah besar, tetapi amal-amal kecil yang dilakukan dengan cinta dan rasa takut kepada Allah. Kadang kita rasa diri terlalu jauh, terlalu kecil, terlalu banyak kurang. Tetapi kisah mereka mengajar bahawa perubahan bukan soal siapa paling cepat, tetapi siapa yang cuba konsisten, walaupun perlahan.
Keseluruhannya, buku ini menghimpunkan 30 𝐤𝐢𝐬𝐚𝐡 yang bermakna, jadi terdapat lebih 30 𝐝𝐨𝐚 𝐩𝐢𝐥𝐢𝐡𝐚𝐧 yang boleh kita hafal & amalkan inshaAllah. Semua orang patut baca buku ni, sebab setiap kisah buatkan kita bermuhasabah & setiap doa membawa kita lebih dekat kepada-Nya.
Melalui kisah para sahabat Rasulullah SAW itu, kita diajak meneladani kehidupan mereka bagi perbaiki diri dan jadi Muslim yang lebih baik daripada sebelumnya inshaAllah. Wallahu'alam.
Buku-buku tentang kisah Rasulullah SAW dan para sahabat sentiasa menarik perhatian saya. Ini adalah buku ketujuh saya baca tahun ini selepas Mengenali Rasulullah SAW dan Keluarga Baginda, Merindu Nabi SAW di Gaza, 55 Kisah Dari Hadis, Sekilas Ibrah Dari Sirah Nabi, 40 Kisah Tangisan Rasulullah dan Para Sahabat dan Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah. Semuanya terbitan Karya Bestari (Karangkraf).
Walaupun telah baca beberapa buah buku dengan tema hampir sama, namun buku ini terasa begitu istimewa. Penulis tidak hanya berkongsi latar belakang dan kisah para sahabat, tetapi juga mengiringinya dengan ulasan dan pengajaran yang setiap satunya begitu dekat dengan pembaca.
Selain kisah sahabat-sahabat popular seperti Abu Hurairah r.a. dan Bilal bin Rabah r.a., terdapat juga kisah para sahabat yang mungkin namanya jarang disebut seperti Hakim bin Hizam r.a., Ummu Haram r.a. dan Rubayyi' binti Muawwidz.
Setiap kisah meninggalkan kesan istimewa kepada saya. Antara yang paling menarik perhatian adalah kisah keberanian sahabat wanita (sahabiyah) pertama yang syahid di lautan ketika menyertai peperangan iaitu Ummu Haram r.a., kisah Safiyah r.a. yang membunuh peninjau/pengintip musuh dan kisah kesederhanaan hidup Asma binti Abu Bakar r.a.
Paling dekat dengan saya adalah kisah Zaid bin Thabit r.a. yang mempunyai cita-cita untuk berbakti kepada agama dengan menyertai peperangan. Namun hasratnya sering terhalang. Rupa-rupanya Allah melorongkan beliau ke jalan bakti melalui al-Quran. Berada di bidang itu, beliau sentiasa lakukan yang terbaik, bekerja dengan teliti, taat dan tekun menambah ilmu. Sehingga dilantik sebagai penulis wahyu.
Ternyata jalan jihad itu banyak medannya, bukan hanya mengangkat senjata. Menyedarkan saya juga bahawa di mana kita berada, itulah yang terbaik menurut takdir Allah. Lakukan yang terbaik dengan kemahiran dan peluang yang datang.
Buku ini akan sering saya recommend kepada rakan pembaca. Bahasa yang mudah difahami, kisah yang memberi inspirasi, layout dan grafik yang cantik, senarai doa dan kata-kata hikmah. Terlalu banyak keistimewaan. Patut ada di rak setiap pencinta ilmu.
Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian kisah para sahabat:
• sahabat dalam kalangan pemuda, • sahabat dalam kalangan wanita, dan • sahabat dalam kalangan kanak-kanak.
Salah satu perkara yang membuatkan saya benar-benar suka dengan buku ini ialah bahagian doa di akhir setiap topik. Doa-doa ini boleh diamalkan agar kita dapat meneladani akhlak para sahabat, bukan hanya sekadar membaca kisah mereka.
Banyak kisah inspirasi yang menyentuh hati dan menginsafkan.
Buku yang menghimpunkan kisah ringkas sahabat Nabi yang boleh dicontohi. Bermula dengan kisah para pemuda, disusuli dengan kisah srikandi dan diakhiri kisah anak-anak kecil dan remaja.
Buku yang sesuai untuk bacaan santai dengan anak-anak. Jelas kisah dan ibrahnya. Poin buku sebegini adalah untuk kita pelajari, sesuaikan dengan potensi kita dan pilih jalan untuk memberi sumbangan.