Kalendar Masihi bergerak detik demi detik ke penghujung tahun 1954. Inggeris masih memerintah Tanah Melayu dan rakyat pula gelisah menuntut kemerdekaan. Lenggong, sebuah pekan kecil di Tanah Melayu, hanya mampu menawarkan jawatan penoreh getah kepada Abdul Halim Nasir yang meningkat usianya enam belas tahun. Dengan kelulusan darjah enam yang baik, permohonannya untuk menjadi guru ditolak hanya kerana latar belakang keluarganya yang daif dari segi hubungan dengan orang tertentu. Beliau merajuk. Kerana tidak mahu dunianya terus sempit seperti katak di bawah tempurung, Halim menyahut cabaran teman dan keluarganya lalu bekerja sebagai aperentis di sebuah janakuasa elektrik di Trong, tetapi muncul semula di Kampung Sekolah, tanah tumpah darahnya sehari kemudian. Beliau membawa diri ke triang, Pahang, ke rumah seorang bapa saudaranya, tetapi tidak betah juga, lalu pulang semula ke Lenggong, berjinak dengan kera, ular dan harimau yang menjadi temannya sementara menantikan beliau cukup dewasa. Setahun kemudian, Halim dengan menaiki kereta api berhijrah ke Kuala Lumpur, menganggur selama dua bulan sebelum menjadi pendawai elektrik. Pekerjaan ini mengizinkan beliau menerobos gedung besar dan kecil di ibu kota hingga ke dalam kamar yang sulit dan mendedahkan beliau kepada banyak perniagaan gelap dan ditawarkan perempuan untuk berseronok, asalkan tutup mulut. Sejak itu bermulalah penghidupannya di Kuala Lumpur sebagai tukang masak, pelukis jalanan, dan akhirnya ditarik oleh Mubin Sheppard untuk berkhidmat di Muzium Negara sebagai penolong pelukis. Halim dan Muzium Negara ibarat benih dan pulau yang subur. Kedua- duanya saling menumbuhkan dan membesarkan. Kerjaya Halim berkembang di situ. Muzium Negara juga banyak mendapat manfaat daripadanya. Beliau terus matang bersama Shahrom Yub sehingga bersara secara pilihan pada tahun 1988. Sumbangannya dalam bidang penulisan dan penyelidikan lapangan mendapat pengiktirafan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana Sastera dan perlantikannya sebagai Karyawan Tamu 1989-97 di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan di Jabatan Persuratan Melayu, di universiti yang sama.
Abdul Halim Nasir (1938-1999) merupakan penulis dengan Institute of Malay World and Civilisation (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Pengalaman dua puluh tiga tahun di Muzium Negara menjadikannya pemerhati kritikal, penyelidik dan penulis terkenal mengenai seni bina bangunan, terutama berkenaan tradisi dan estatik. Autobiografinya, Memoir Abdul Halim Nasir: Dari Kampung Sekolah ke Menara Gading diterbitkan oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (1997).