Risalah Tuan Guru Abdul Qadir Wangah ini sangat berguna untuk memahami tafsiran dan pemahaman yg sebenar terhadap ayat mutasyabihaat dan juga lafaz-lafaz yang mencetuskan kekeliruan umat Islam sehingga menyerongkan sebahagian ummah kepada konsep mujassimah atau sekurang-kurangnya melorongkan mereka ke arah itu.
Salafus-soleh dan ulama khalaf serta mutaakhirun sebenarnya sepakat dalam memahami lafaz sebegini dengan cara menyucikan Allah daripada sebarang persamaan dengan makhluk-Nya dan lafaz pada zahirnya bukanlah bermakna duduk, wajah dan sebagainya itu bukanlah yang dikehendaki oleh Allah secara putus, sebelum berbeza kemudian dari sudut golongan pertama menyerahkannya kepada Allah tanpa sebarang takwil, manakala yang terkemudian disebabkan umat Islam semakin jauh daripada bahasa Arab yang fusaha kerana wilayahnya semakin berkembang dan kejahilan semakin meluas, maka mentakwilkan lafas itu kepada makna yang boleh difahami.
Risalah ini bukan hanya membincangkan secara umum persoalan ini, bahkan melihat satu persatu ayat al-Quran yang mengandungi lafaz sebegitu dengan melihat bagaimana pemahaman mufassirun yang benar kerana pengarangnya mengambil sifat tawaduk ilmiah.