Bagaimana Buku Mengubah Hidup Saya: Antologi Esei 12 Bibliofil, merupakan sebuah koleksi tulisan peribadi daripada 12 pencandu buku, berkongsi tentang buku-buku yang mereka gemari—bukan sekadar sebagai pembaca tegar, tetapi juga sebagai aktivis buku. Sejak mengetahui tentang antologi ini dan melihat nama-nama penulis yang saya kenali dari media sosial (mereka tak kenal saya); termasuk beberapa rakan biblio dalam talian; saya sudah berhasrat untuk membaca dan memberikan sokongan kepada mereka.
Setiap esei dalam antologi ini menawarkan ilmu dan perspektif baru. Namun, ada beberapa yang benar-benar menyentuh hati saya, terasa dekat dan relevan dengan pengalaman hidup saya sendiri. Antaranya ialah tulisan Asha Rashid, atau lebih mesra dikenali sebagai Kakchik. Sebagai seorang ibu, saya benar-benar memahami pandangan Asha Kakchik — bahawa membaca bukan hanya untuk kepuasan diri, tetapi juga sebagai usaha mencari ilmu untuk mendidik anak-anak. Pengalaman kami sewaktu kecil hampir serupa; walaupun tidak hidup mewah dengan koleksi buku, beberapa buah buku yang dimiliki sudah cukup untuk menanam minat membaca dalam diri kami.
Tulisan Hanz Jamaludin pula relatable dengan saya. Beliau berkongsi tentang pergulatan hidup, serta pengalaman sebagai pembaca hibrid. Saya sendiri tiada genre khusus—saya membaca mengikut rasa hati, apa yang sedap atau nampak sedap. Walaupun saya penggemar fiksyen, tulisan Iman Danial Hakim tentang mengapa kita perlu membaca bukan fiksyen terasa seperti mencerminkan pandangan saya sendiri. Beliau menekankan bahawa membaca bukanlah sekadar untuk menghabiskan sebuah buku dengan cepat, tetapi untuk memahami dan merenung isinya. Iya, begitulah, walaupun lambat-lambat saya membaca, tetap diteruskan bacaan.
Esei oleh Emmy Hermina Nathasia pula membuatkan saya bergelut dengan memori yang samar-samar, seolah-olah mengalami dejavu. Saya tidak pasti sama ada saya pernah membaca Jalan Seribu Liku, namun plot yang dikongsikan terasa sangat familiar. Mungkin ini petanda saya perlu mencari dan membaca buku itu. Saya amat menghargai tema buku seperti ini, yang membincangkan kepelbagaian agama dan kaum — isu yang sering dianggap tabu atau sensitif untuk disentuh.
Namun, tulisan Jessica Tay berjaya membuatkan saya menitiskan air mata. Kata-kata Jessica, “Jika tidak membaca…” dan bagaimana Guru Aini mempengaruhi hidupnya benar-benar menyentuh perasaan saya. Sementara itu, perkongsian A. Muziru Idham tentang Hikayat Abdullah dengan laras bahasa yang indah membangkitkan keinginan saya untuk membaca karya tersebut. Penulis turut memetik kata-kata Munshi Abdullah, “…jikalau hendak menjadi pandai dalam Bahasa Melayu ini, maka hendaklah kiranya tuan berjinak-jinakkan dengan segala hikayat-hikayat Bahasa Melayu...”
Esei-esei lain juga tidak kurang menjentik hati saya, bahawasanya terlalu cetek ilmu saya, dan terlalu banyak yang saya perlu belajar.
Secara keseluruhannya, buku nipis ini menyimpan nilai yang besar. Ia bukan sahaja memperluas senarai buku yang ingin saya baca, tetapi juga sesuai untuk anak-anak dan generasi muda. Semoga buku ini dapat menyemai kecintaan terhadap membaca sejak usia dini. Tahniah saya ucapkan buat semua penulis, terima kasih juga kerana membuka sisi peribadi untuk dikongsi bersama pembaca. Terima kasih juga buat Sue Oshin kerana menghadiahi saya buku ini.