Pasar Ke Pasar satu judul tanda terima kasih pada pengalaman masa lalu. Pada 1982–saya mula hidup mencari wang saku persekolahan dengan menjadi penjaja buah di pasar malam sekitar Alor Setar.
Dari Pekan Rabu–pada 1984 saya merantau ke Pasar Chow Kit di KL; bekerja di gerai pisang. 1985 hingga 1986 saya memilih gaya hidup hipi; dengan sesekali bekerja di Pasar Borong Selayang.
Pasar Ke Pasar tidak berkisah mengenai pengalaman masa lalu; tetapi kematangan dari pengalaman masa lalu yang mempengaruhi sudut pandang saya sebagai manusia.
Zainal Rashid Ahmad (ZRA) mencipta nama pada tahun 1990-an dengan cerpen-cerpen bernuansa eksperimental yang menjurus kepada menggabungkan sastera Melayu moden dan sastera Melayu lama. Zainal memenangi deretan anugerah sastera terutamanya Hadiah Sastera Utusan, Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Sastera Islam dan pelbagai anugerah peringkat kebangsaan. Sehingga kini Zainal telah menghasilkan dua buah kumpulan cerpen iaitu Alkisah (2012) dan Yang Tercinta (2012). Zainal mempunyai pengalaman luas sebagai wartawan; pernah bertugas di Utusan Melayu, Astro, NTV7 dan TV3. Zainal turut menerima Anugerah Seri Angkasa 2004, Anugerah Media Pertahanan 2009, Anugerah Dokumentari Terbaik 2010 dan pelbagai anugerah PPFM sebagai Pengarah dan Penulis Skrip Terbaik. Kini Zainal merupakan Pengurus Besar, Jabatan Penerbitan sosial, Politik & Ekonomi TV Al-Hijrah. (2014)
Aku baca Pasar ke Pasar sebagai sebuah memoir, juga sebuah pengembaraan jiwa yang merentasi ruang dan waktu. Buku ini menghimpunkan pengalaman hidup Tuan Zainal Rashid Ahmad dari tahun 1982 hingga pertengahan 1980-an, ketika beliau mencari wang saku dengan menjaja buah di pasar malam sekitar Alor Setar, kemudian merantau ke Pasar Chow Kit di KL, dan akhirnya ke Pasar Borong Selayang. Seperti yang ditegaskan oleh tuan ZRA, buku ini bukan tentang pengalaman masa lalu, tapi lebih kepada kematangan yang lahir daripada pengalaman itu, yang membentuk sudut pandangnya sebagai manusia dan penulis.
Jadi ini sebuah karya yang menolak sempadan genre - bukan sepenuhnya memoir, bukan pula esei, lebih kepada sebuah renungan tentang kehidupan, kemiskinan, perjuangan, dan kemanusiaan. Seperti sediakala, Tuan ZRA menulis dengan suara yang jujur, kadang - kadang sinis, kadang - kadang sentimental, tetapi sentiasa berakar pada realiti bumi dan manusia.
Gaya penulisannya adalah signature empunya Tuan ZRA - berlapis dan penuh perlambangan, memaksa aku untuk berfikir dan merasa, bukan setakat menerima. 1 point penting yang aku dapat ialah: pasar bukan sekadar tempat jual barang beli barang, tetapi juga sebagai metafora kepada kehidupan itu sendiri - hiruk - pikuk manusia, tawar - menawar nilai, dan pertembungan antara harapan dan kekecewaan.
Yang paling menarik bagi aku ialah Tuan ZRA berjaya mengangkat pengalaman peribadi menjadi pengalaman kolektif bangsa, menjadikan buku ini aku rasa sebuah dokumen sosial yang penting dalam memahami jiwa Melayu urban dan pinggiran. Secara peribadi, ia berjaya menyentuh akar kenangan aku dan jiwa yang pernah bergelut. Ia banyak mengingatkan aku kepada zaman muda yang penuh idealisme dan kesusahan, serta bagaimana pengalaman itu membentuk siapa aku hari ini.
Buku ini juga memberi ruang untuk aku merenung kembali nilai - nilai yang aku pegang, dan bagaimana dunia telah berubah - dari pasar fizikal ke pasar digital, dari manusia yang berinteraksi secara langsung kepada manusia yang semakin terasing. Apakah buku ini seruan untuk kembali kepada kemanusiaan, kepada kejujuran, dan kepada keberanian untuk hidup dengan makna? Terpulang kepada yang membaca. Aku dapat rasakan gagasan ini.
Ini sebuah karya yang berakar dalam bumi, mengangkat pengalaman hidup sebagai sumber ilmu dan hikmah. Ini sebuah naskhah yang harus dibaca dan direnung, khususnta mereka yang mencari makna dalam kehidupan yang serba kompleks kini.
Cerita tentang pengalaman bersama Selamat Asrin (SA) dan observation diselang dengan penerangan ZRA mengenai orang autisme, walaupun hanya di akhir buku, beri saya puas hati tahap gaban kerana dan baca buku Pasar ke Pasar. Melalui nukilan santai ZRA, saya rasa kenal dan jatuh sayang pada SA. Naik beskal dari KL ke Ipoh dan ke Kluang then ke JB? such a feat. Beberapa hari lepas Saya dan suami naik train komuter hingga stesyen Bank Negara, tujuan ke Menara Aras Raya (agaknya ini dulu menara cimb / bumiputera commerce? Kami jalan-jalan lalu Sogo, Pertama, Bangunan MARA.... Terlalu lama kami tak pijak KL, terakhir rasanya lebih 20 tahun dulu. Membaca nukilan ZRA tentang lokasi yang biasa dirayau dek SA, saya jadi sedikit beremosi. Bayangkan SA yang busking depan Sogo. Sebaya saya jer lebih kurang. Dan kami hadapi dugaan masing-masing dalam gelak tawa, nangis duka, tantrums, depresi..... Saya rasa kalau ZRA bukukan pengalaman bersama SA, tentu buku meletop.
Ini buku ketiga Haji Zainal yang sempat aku khatamkan selepas buku Anekdot Jalanan dan Anekdot Kembara. Mula mengenali Haji Zainal ketika beliau aktif dalam live di Garasi TV dan mengasaskan ZRA Strim, sejak itu mula mengumpulkan tulisan-tulisan beliau yang masih terdapat di pasaran.
Pasar ke Pasar ini merupakan kumpulan penulisan-penulisan beliau di dalam FB yang menceritakan tentang kehidupan peribadi beliau, pengalaman-pengalaman kehidupan yang menunjukkan bagaimana beliau berkembang dan mencapai apa yang kita saksikan hari ini.
Selain itu banyak juga memuatkan penulisan penghargaan dan penghormatan terhadap insan-insan yang memberi makna dalam kehidupan beliau seperti sasterawan negara Shahnon Ahmad, Azizi Hj Abdullah, penyair T. Alias Taib dan ramai lagi.
Membaca buku ini dapat mendedahkan pengetahuan awal kepada anda terhadap dunia sastera dan seni daripada era 90an lagi. Berkenalan dengan beberapa nama anak seni yang bergiat di Central Market dan bagaimana kehidupan yang dilalui pada ketika itu. Terima kasih Haji atas penulisan-penulisan yang bermakna ini.
Resensi Buku : PASAR KE PASAR oleh Zainal Rashid Ahmad, ZRA Strim .
Menuju hari Book Surgeon bakal bertemu Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad, saya gelisah.
"Aku risau tak sempat baca habis buku Pasar Ke Pasar yang ZRA tulis." Saya beritahu Syazwan Azahar, rakan hos Podcast Terpaling Baca.
Namun, alhamdulillah, buku berketebalan 303 halaman ini sempat saya habiskan. Perkongsian pengalaman Tuan Haji ZRA sudah tentu membuka lebih banyak sisi pandang kehidupan yang belum saya pelajari kerana perbezaan jalan hidup yang Tuhan takdirkan.
"Manusia bermula dengan apa yang ada. Bezanya dengan apa yang ada itulah -- manusia berusaha membina masa depannya." (Halaman 15)
Penceritaan berkenaan seorang budak despatch yang akhirnya bergelar Dr Azam dan tentang seorang pemandu Grab bernama Ah Meng di awal buku ini sudah cukup untuk menarik saya meneruskan pembacaan.
Kerap kali saya fikirkan, bilakah masanya Tuan Haji ZRA membaca buku di usia mudanya? Soalan ini timbul kerana saya tidak faham perjalanan awal hidup seorang ZRA. Alhamdulillah, buku ini menjawab soalan yang sudah lama saya fikirkan di halaman 52.
Namun kisah yang menyebut kesusahan orang meniaga di pasar, sudah tentu lebih dekat di hati saya selaku anak flat yang ibunya membuat kuih donat untuk membesarkan anak-anak di samping ayahnya bertukar kerja dari seorang tukang cuci di feri kepada tukang kebun sekolah.
"Sebab saya faham : 'Mereka berjuang bukan untuk kaya... tetapi mempertahankan apa yang ada.'" (Halaman 32)
Saya selalu skeptikal atau bersangka buruk dengan orang-orang kaya atau tak pernah melalui hidup susah sebagai orang kebanyakan yang tiba-tiba bercakap soal kemiskinan. Selalu di fikiran saya, sama ada mereka mempunyai agenda lain atau tiba-tiba mereka ingin berbuat amal kepada sesama insan. Tidaklah saya sentiasa sangka buruk dengan orang yang dipinjamkan kekayaan oleh Tuhan, tetapi saya rasa amat sukar untuk mereka faham apa itu istilah 'tiada wang belanja'.
Halaman 90 setidaknya sedikit bersetuju dengan sangkaan saya. Sudah tentu saya tidak bersangka buruk dengan Tuan Haji ZRA kerana saya tahu Tuan Haji bermula dengan hidup susah di Kedah sebelum ke Kuala Lumpur juga untuk berniaga dan kemudiannya berjaya mengubah hidup.
Saya skeptikal dengan orang kaya yang tidak pernah merasai kemiskinan akan kefahaman mereka dalam berbicara tentang kemiskinan.
"Berkongsi kisah manusia lapar di depan makanan mewah di kafe hotel terasa sangat aneh." (Halaman 90)
Kata-kata kegemaran saya dalam buku ini tentulah di halaman 92.
"Krisis politik yang berpanjangan sejak sedekad lalu - menjadikan laporan 'kebuluran kuasa' ahli politik lebih utama berbanding berita mengenai derita rakyat marhaen di jalanan."
Buku tanpa senarai kandungan ini antara lain menyebut nama tokoh-tokoh yang saya tidak kenal langsung iaitu Nasir Jani, Zaen Kasturi, Mohd Zaki Mansor dan ramai lagi. Namun, saya cuba meneliti dan mengutip setiap pengajaran yang boleh saya faham dari cerita-cerita tersebut.
Tulisan Tuan Haji di halaman 178 menusuk hati saya dengan lebih dalam apabila Tuan Haji mengungkapkan :
"Mencari yang bersemangat dan berbakat agak terbatas. Sebab yang bersepah hanya yang 'berkati-kati' bongkak dan bengkak otaknya."
Untuk konteks, kenyataan ini penulis nyatakan ketika menulis tentang anak muda sastera.
Tulisan ZRA berkenaan wartawan yang dibunuh, kemudian berkenaan Iwan Fals yang merakam kematian Fuad Muhammad Syafruddin menonjolkan sisi diri ZRA yang unik dan amat saya suka. Hal ini kerana artikel ini terkait dengan kerja utama yang digulati ZRA iaitu sebagai wartawan. Jika ada buku lain yang bercerita lebih banyak berkenaan pengalaman ZRA sebagai wartawan, insyaallah buku itu akan menjadi bahan bacaan saya seterusnya.
Deretan artikel di bahagian akhir buku ini ternyata penuh dengan cerita demi cerita berkenaan Tuan Selamat Asrin yang saya kira sangat dekat di hati Tuan Haji Zainal. Cerita demi cerita seorang yang autistik namun kuat berjuang dalam hidup saya kira amat menginspirasikan.
Sejujurnya buku ini saya fikir cukup sebagai permulaan mengenali Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad sebelum bersua muka dan berbicara lebih panjang lebar dengan beliau kelak.
Semoga segala kebaikan yang dikongsikan dalam buku ini dapat saya manfaatkan dalam kehidupan.
Terima kasih atas segala nukilan Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad. Barakallahufeekum.
(Nantikan pelancaran buku Tentang Gelandangan di platform T..T.k Book Surgeon pada 20/9/2024 jam 8.30 malam. Jemput ikuti melalui pautan di ruangan komen ya!)
Sama seperti buku-buku anekdot beliau yang sebelum ini, buku ini juga membawa mesej yang sama iaitu berkisarkan kepada kisah kehidupan harian rakyat biasa dan unsur-unsur nilai kemanusian yang beliau terapkan dalam setiap penulisan beliau.
"Saya hidup tanpa prasangka; takdir Allah menjadikan saya melihat banyak kebaikan mereka". - ZRA
Beliau mencatat kenangan-kenangan beliau melalui kehidupannya dengan rakyat biasa seperti Ah Meng sehinggalah kepada tokoh-tokoh yang menjadi sanjungan negara. Dato' Sri Vida juga pernah menjadi guru buat beliau dalam meneladani ilmu bisnes. Saya teruja kerana di dalam buku ada disebut beberapa nama yang saya kenal dan saya baca buku-bukunya, atau mengikuti perkembangan hidup mereka dari kecil seperti Sabri Yunus, dan tokoh sasterawan seperti Shahnon Ahmad dan Azizi Hj Abdullah.
Setiap catatan dalam buku ini menyingkap kisah-kisah kecil kehidupan rakyat biasa yang sarat makna. Antaranya berkisarkan tentang penjual yang jujur, pembeli yang tawar-menawar dengan bijak, atau sekadar pemerhatian terhadap suasana yang memperlihatkan keindahan dan ironi kehidupan seharian.
Apa yang membuatkan saya tersentuh hati adalah cara penulis melihat ragam manusia. Setiap mereka yang hadir dalam hidup beliau dilihat dari sudut mata hati dan mengajar beliau teladan hidup. Ada kelembutan dalam pemerhatian beliau, seolah-olah beliau ingin mengatakan bahawa setiap manusia punya kisah, dan setiap kisah layak dihormati. Dan nilai penting yang dapat saya pelajari daripada catatan beliau ini ialah erti hidup tidak semestinya berlaku daripada peristiwa-peristiwa besar sahaja, terkadang senyuman mereka yang di jalanan, perbualan dengan peraih ikan dan sebagainya...ianya menunjukkan tentang kesederhanaan hidup. Di situlah sebenarnya kita belajar tentang sabar, tentang tabah, tentang syukur dan tentang kasih sesama manusia.
"Apa pun kau buat, pastikan keutamaan ialah membela orang susah". -Azizi Hj. Abdullah
Pasar ke Pasar ialah sebuah buku berbentuk memoir dan renungan kehidupan yang berakar daripada pengalaman penulis bekerja di pasar sejak usia muda. Buku ini menceritakan tentang kisah yang dijadikan metafora kehidupan, menggambarkan realiti masyarakat, nilai kerja keras, kejujuran, dan kemanusiaan melalui pertemuan Haji Zainal dengan pelbagai lapisan insan.
Gaya penulisan Tuan Haji yang santai, jujur,dan bersahaja, lebih kepada catatan pengalaman yang kita boleh ambil sebagai pengajaran.
Buku ini memberikan perspektif mendalam tentang kehidupan rakyat biasa dan memberikan peluang kepada diri untuk lebih memahami realiti kehidupan sosial diluar sana.
10 bab terakhir tentang kehidupan sosok tubuh artis tersohor Selamat Asrin, seorang autism berusia 57 tahun. Ada geli hati, ada sebak, ada terharu dengan kisah SA ini. Setiap fasa kehidupan seorang autism adalah indah, membuktikan bahawa autisme adalah perjalanan hidup yang berbeza tetapi bermakna.