Merupakan teks syarahan perdana jawatan profesor UKM pada Disember 1999. Seperti teks syarahan Penerbit UKM yang lain, buku ini nipis. Namun tidak bermakna boleh saya hadam dalam sejam dua. Saya mengambil masa sehingga 3 hari untuk mengkhatamnya, kerana banyak rujukan silang yang berlaku terutama pertanyaan kepada Google dan ChatGPT. Semasa membaca buku ini juga, saya berhasil checkout sebuah peta dunia bersaiz meja makan di Shopee hihi. Malah saya perlu menulis nota tambahan untuk menyusun kembali memori dan pengetahuan saya tentang periodisasi sejarah dari zaman Paleolitik, Mesolitik, Neolitik, Zaman Logam, dan Protosejarah.
Syarahan ini ingin menekankan bahawa nenek moyang orang Melayu telah berada di kawasan Nusantara sejak 35,000 tahun yang lalu. Ini bermakna penduduk asal Nusantara, khususnya di Tanah Melayu, bukan berasal dari India. Oleh itu, teori migrasi bangsa India serta konsep 'Greater India' tidak boleh diterima pakai. Bukti arkeologi menunjukkan bahawa perubahan dalam kehidupan penduduk asal Tanah Melayu adalah hasil daripada proses evolusi, seperti melalui aktiviti perdagangan. Hal ini dapat dilihat daripada artifak-artifak yang mempunyai ciri-ciri agama Hindu dan Buddha, namun tetap menunjukkan ciri-ciri tempatan yang berbeza daripada yang terdapat di India.
Di ruang penghargaan, penulis berterima kasih kepada gurunya A.H. Chistie yang pernah membawa perhatian tentang peranan local genius atau kearifan tempatan sebagai asas identiti budaya dan warisan sejarah yang unik, membuktikan bahawa peradaban Nusantara adalah berkembang secara mandiri.