Pada suatu ketika Heather mengunyah sesuatu dengan tertib sambil mengalir air mata. Kemudian beliau mencapai segelas air dan memintanya lagi. Kami bertanya apakah yang menyebabkan begitu dan beliau menunjukkan bahannya. "Puan makan cili kering rupa-rupanya. Maaf, saya terlupa menerangkan yang sesetengah bahan seperti cili kering, halia dan bawang besar di dalam ayam ini tidak perlu dimakan jika tidak suka. Lada ini semacam bom. Amat bahaya.Halia dan bawang ini memang enak sekali dimakan bersama ayam bergajus. Allahu Akbar! Kami mempelajari sesuatu tentang budi bahasa orang Inggeris. Mereka mahu menjaga air muka tuan rumah sehingga langsung tidak mencebik walaupun makanan yang disuap ke mulut tidak kena dengan selera mereka. Hatta kepedasan yang amat sangat mahu ditahannya.
Pilihan Staf: Aroma Antara Benua, adalah kesinambungan daripada buku Bukan Sekadar Resipi yang terbit pada tahun 2012. Menyediakan makanan untuk keluarga, tetamu atau sahabat handai bermula dari hati bersih. Ia bukan dengan kata semata-mata. Pada setiap ceritanya ada pengajaran yang wajar direnungkan bersama. Buku ini bercerita tentang hati dan sesuai dibaca bukan hanya untuk wanita tetapi juga kaum lelaki.
Roza Roslan atau nama sebenar beliau Raudzah Roslan adalah mantan pensyarah di Universiti Teknologi MARA. Beliau kini bertugas di Universiti Taibah, Madinah.
Beliau dilahirkan pada 2 Januari 1967 di Jementah, Segamat, Johor. Beliau berkelulusan Diploma Perbankan UiTM Terengganu, BBA (Hons) Pengurusan Sumber Manusia UiTM Shah Alam dan seterusnya M.A Pentadbiran Bisnes di universiti yang sama.
Beliau juga adalah isteri kepada penulis bestseller Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim yang menulis buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman dan Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok. Kisah beliau banyak termuat di dalam karya suaminya yang banyak menceritakan pengorbanan dan sokongan beliau dalam menjalani hidup beragama.
Reviu datang kemudian. Sedang mengumpul semangat membuat reviu ^_^
+++
Bismillah walhamdulillah.
Pertama sekali saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi ilham yang sangat baik kepada Puan Roza dalam menggarap karya Aroma Antara Benua ini. Subhanallah. Bagaimana mahu saya katakan tentang naskah ini?
Ia benar-benar bukan sekadar resipi.
Naskah yang santai tetapi tidak sampai melekakan. Kisah biasa yang dicatat menjadi luar biasa hasil garapan Puan Roza. Susun atur katanya, ceritanya mengikat pembaca membaca sehingga ke akhir.
Dalam diam, ia mengingatkan saya kepada Sis Zabrina A. Bakar. Penulis yang juga menulis kisah kehidupan dan dikaitkan dengan al-Quran, hadis dan koleksi kata-kata hikmat.
Mengenali Puan Roza dari buku pertamanya, Travelog Cinta Abadi sehingga kini diakui beliau seorang yang kuat ingatan, minat (dan pakar) memasak serta kuatnya tawakal kepada Allah. Doa ini ...
"Ya Allah Ya Tuhanku, mudah-mudahan makanan ini menjadi penawar kepada segala penyakit dan akan memberikan kesihatan yang baik kepada kami. Semoga ia kena pada selera tetamu kami lalu mereka bersyukur pada nikmat kurniaan-Mu. Ya Allah, jadikan kami manusia yang tunduk sujud menyembah dan beribadat kepada-Mu."
merupakan antara monolog beliau yang terkesan di hati. Beliau membaca doa ini setiap kali mahu memasak untuk tetamu. Nasihatnya lagi janganlah menganggap saru beban apabila memasak dan menerima tetamu. Sesungguhnya tetamu itu membawa kebaikan dan berkat kepada tuan rumah.
Tidak lupa, ada 56 resipi dilampirkan di dalam buku ini dan sebahagian besarnya dicatat di bahagian akhir setiap kisah yang dikongsikan.
Melalui beliau, saya tersedar bahawa banyak sekali nikmat Allah yang tidak saya sedari melalui makanan! Masya Allah.
"Lidah merupakan salah satu nikmat kurniaan Allah. Ia bukan sahaja sentiasa basah untuk bersedia menikmati makanan yang dihidangkan dari berbagai benua malah menjadi lebih bermanfaat jika digerakkan untuk membaca kalam Allah. Daku memohon keampunan-Mu, ya Allah."
Sesekali tercuit rasa geli hati ketika membaca kisah anaknya. "The bottom is white but not a sky. The top is green colour but not a grass." Boleh jadi teka-teki kuih ini ;)
Saya syorkan untuk bacaan anda juga. Bermanfaat! Insya Allah.
Sememangnya slogan buku ini sangat sesuai dengan isinya - Bukan Sekadar Resepi.
Panjang bercerita.. Sebenarnya buku ini merupakan kompilasi resepi-resepi yang diperoleh oleh penulis ketika berhijrah di negara orang. Dundee, Sarawak, Australia, Madinah dan banyak lagi.
Namun, buku ini bukan sekadar mengumpulkan resepi, tetapi ia seolah travelog tentang bagaimana resepi ini diperoleh. Iktibar dan pengajaran pasti terselit di setiap kisah-kisah tersebut.