PROPAGANDIS ZAMAN adalah Memoir Kewartawanan-2; lanjutan daripada Memoir Kewartawanan-1: ANAK APAK yang menceritakan perjalanan keluarga dan dunia saya dalam hidup di alam pra-pekerjaan; mengenai dunia kanak-kanak musim Jepun, alam persekolahan pasca pemergian Jepun dan sewaktu kedatangan semula ketuanan penjajah Inggeris, usia remaja serta pasca kemerdekaan tanah air, dan kemerdekaan negara yang pertama di dunia yang dicapai melalui rundingan.
Propagandis Zaman adalah siku dan liku memasuki hidup dalam alam pekerjaan. Dengan iradat Allah saya menceburkan diri ke dunia persuratkhabaran dan saya menjadi karyawan media akhbar. Dunia karyawan awal yang saya lalui ialah dunia kewartawanan Melayu yang pernah dilalui oleh Munsyi Abdullah dan Abdul Rahim Kajai. Mereka bukan sekadar pemberita yang mencatatkan kejadian di zamannya tetapi wartawan dan penulis yang berstatus propagandis zaman masing-masing.
Warna-warni bergelumang dalam dunia surat khabar dan kewartawanan adalah satu kehidupan manis yang mencorakkan kehidupan saya sebagai seorang manusia selepas meninggalkan sekolah. Di situlah sekolah kehidupan saya. Moga-moga diperkenan Allah agar memoir ini ada sumbangannya kepada pembaca.
Subky Abdul Latif, dalam kad pengenalan dicatit sebagai Ahmad Subki bin Haji Abdul Latif. Lahir pada 28 Julai 1940 di Sungai Parit, Pasir Panjang Laut, Sitiawan. Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, Lekir, Sitiawan dan sekolah swasta Mathodist Afternoon School, Sitiawan dan Mathodist Afternoon School, Pulau Pinang.
Mendapat Diploma Kewartawanan di Projek Latihan Kewartawanan di Kuala Lumpur dan Institute Fur Journalismus, Berlin Barat. Penulis terkenal dengan rencana dan penulis pojok Kumpulan Akbar Utusan Melayu; Pengasas akhbar Suara Rakyat, Suara Merdeka, Watan dan Harakah. Pernah menjadi AJK PAS Pusat 1983 hingga 2006.
Propagandis Zaman adalah buku kedua dari siri trilogi memoir kewartawanan Pak Subky Latif selepas Anak Apak. Kalau dalam Anak Apak dulu Pak Subky menceritakan kisah kanak-kanak dan remajanya, Propagandis Zaman pula mengisahkan pengalaman beliau di alam pekerjaan sebagai wartawan dari tahun 1960-an sehingga 1980-an. Saya menjangka Pak Subky mempunyai rekod catatan yang lengkap tentang perjalanan kehidupannya dari kecil hingga dewasa, atau beliau mempunyai daya ingatan yang sangat kuat. Bukan satu kerja mudah untuk mengingat semula kisah zaman kecil kita hingga dewasa sebelum dinukilkan dalam satu memoir sebanyak tiga jilid tetapi Pak Subky mampu melakukannya. Terlalu banyak yang boleh diceritakan semula dari rentetan kisah dan pengalaman Pak Subky lewat buku setebal 629 halaman ini. Antara yang menarik ialah melihat sikap Pak Subky pada zaman mudanya yang agak gila-gila dan berani seperti yang berlaku apabila beliau dihantar Utusan Melayu berkursus di Jerman selama tiga bulan sahaja tetapi memlilih untuk kekal menetap di sana sehingga setahun. Dalam tempoh itu, selain berkursus beliau sempat melawat Jerman Timur yang masih dalam penguasaan komunis, belajar bahasa Jerman secara intensif selama enam bulan untuk dua tahap, bekerja sebagai pencuci pinggan di restoran di Berlin, mengembara ke Amerika Syarikat, mengembara ke Switzerland, England, dan Mesir, menjadi tetamu keluarga Yahudi dan pelbagai lagi pengalaman menarik. Saya tertarik apabila beliau menulis kepada Jabatan Negara Amerika meminta dijadikan tetamu negara tersebut selama sebulan dan mendapat kemudahan elaun harian USD30, tiket penerbangan pergi-balik, meminta menaiki pesawat besar Jumbo yang baru diperkenalkan, melawat negeri-negerinya, melihat perjalanan Sidang Senat dan lain-lain. Saya percaya beliau menggunakan kemahiran menulis dan berbahasanya sepanjang urusan tersebut.
Selain catatan pengalaman peribadi, buku ini turut memaparkan peristiwa-peristiwa besar sejarah negara yang sempat Pak Subky lalui seperti penubuhan Malaysia, penyingkiran Singapura, konfrontasi Indonesia, peristiwa 13 Mei 1969 dan lain-lain. Sebagai wartawan, Pak Subky mempunyai akses kepada banyak maklumat penting sekitar peristiwa tersebut terutama hubungan rapatnya dengan tokoh-tokoh penting negara dan Umno. Pengkisahan peristiwa-peristiwa tersebut secara tuntas dari sudut pandang Pak Subky memberikan kita perspektif baru yang segar terhadap sejarah negara. Saya tertarik dengan penubuhan Parti Gerakan yang pada asalnya begitu meyakinkan dan berpotensi menggantikan kerajaan Perikatan. Bukan sahaja itu, Gerakan juga berupaya menjadi alternatif kepada pembangkang lain seperti DAP yang terlalu bernuansakan PAP dari Singapura. Ditubuhkan oleh Prof. Dr. Syed Husin Al-Attas dan dianggotai tokoh-tokoh besar politik pelbagai kaum seperti Dr. Lim Chong Eu, V. Veerapan dan lain-lain, Gerakan pada waktu itu bagi saya mirip Pakatan Rakyat pada hari ini. Gerakan malah mampu menawarkan gagasan kesusasteraan nasional yang menurutnya perlulah diungkapkan dalam bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu, idea yang selari dengan ketatapan UNESCO bahawa karya sastera sesuatu bangsa itu adalah dalam bahasa bangsa tersebut. Gagasan yang diangkat oleh Prof. Dr. Syed Naquib Al-Attas ini diterima oleh pemimpin Gerakan lain dari pelbagai bangsa; satu kerja yang tidak mampu dilakukan oleh Perikatan dan Barisan Nasional, malah oleh Pakatan Rakyat pada hari ini yang tidak pun mempunyai satu dasar kebudayaan yang jelas. Polemik ini kemudiannya dibawa ke pentas debat terbuka apabila ia dicabar oleh Lim Kit Siang dari DAP. Menurut Lim Kit Siang, kesusasteraan kebangsaan perlulah memasukkan sama karya-karya yang ditulis dalam bahasa orang Cina dan India yang turut merupakan penduduk negara ini. Hujah Dr. Syed Naquib lebih berwibawa dan universal, diterima sebagai saranan akademik para pengkaji seluruh dunia, tetapi hujah Kit Siang lebih digemari orang Cina dan India kebanyakan. Maka diterangkan oleh Pak Subky bahawa Dr. Syed Naquib dan Gerakan berhasil memenangi debat tersebut dari segi hujah, tetapi Lim Kit Siang dan DAP menang dari segi politik.
Peletakan jawatan Pak Subky dari Utusan adalah satu turning point yang penting apabila beliau kemudiannya mempunyai kebebasan yang lebih dalam menulis. Beliau menjadi Pengarang akhbar Suara Rakyat (yang kemudiannya digantung dan ditukar nama kepada Suara Merdeka) dan Watan, akhbar-akhbar bebas yang tidak terikat kepada kepentingan politik kepartian. Namun, beliau tetap mengekalkan hubungan baik dengan para tokoh Umno yang sering dijadikan tempat beliau mengumpul berita dan rencana sepanjang berkhidmat dengan Utusan dulu. Sewaktu mengarang Watan, pemodalnya adalah Khir Johari, bekas Menteri Pelajaran dan Setiausaha Agung Umno. Tetapi Watan adalah akhbar bebas dan mampu mengkritik mana-mana tokoh baik dari Umno-BN mahupun pembangkang. Pak Subky tidak teragak-agak untuk mengkritik keras parti pemilik akhbarnya sendiri dan Khir Johari tidak keberatan mengizinkannya disiarkan. Sewaktu Pak Subky diarahkan oleh PAS untuk bertanding Pilihan Raya Kecil Pelabuhan Kelang, beliau meminta cuti sebulan dari Khir Johari dan diizinkan. Selepas kalah dan kembali bertugas, Pak Subky disambut seperti biasa oleh Khir malah digelakkan oleh beliau. Atas pertimbangan seterusnya, Pak Subky kemudian meminta dilepaskan dari Watan kerana berasa tidak manis beliau terus berada di sana mengkritik Umno secara begitu berterus-terang sehingga mungkin menjejaskan karier politik Khir Johari sendiri, sementelahan Pak Subky telah terlibat jauh dalam PAS. Khir Johari setuju dengan pandangan Pak Subky itu dan melepaskannya keluar dari pimpinan Watan namun perlu berjanji untuk terus menyumbang tulisan untuk Watan. Bagi saya, ini adalah satu hubungan terpuji antara majikan-pekerja melangkaui batasan politik kepartian yang sukar ditemui pada masa sekarang.
Bahagian yang terbaik dalam buku ni adalah pada bahagian penutupnya:
"Islam akan dilihat kaya dan medianya menjadi medan ibadat apabila semua fungsinya iaitu maklumat, pelajaran, atau tarbiah, kritikan dan hiburan berperanan sebagai saluran dakwah. Dan kalau sudah wartawan itu dimahkotakan sebagai propagandis zaman, maka bagi seorang Islam yang ada pegangan akan jadi lebih indah apabila ia berperanan sebagai propagandis Islam sezaman."
Penulisan dalam buku ini kadang kala membosankan, terutamanya apabila berkaitan isu perebutan kuasa politik dalam parti sesama ahli. Tapi lain-lainnya, okay saja.
Sebuah buku yang menceritakan pengalaman seorang wartawan veteran yang terlibat dalam dunia kewartawanan politik. Pak Subky menulis pengalaman dalam kehidupan bersama orang politik, sesetengah pengalamannya juga menceritakan sisi gelap ataupun sisi rahsia pemimpin politik kita yang tidak kita ketahui. Kebebasan bersuara dalam pengeluarkan pendapat dalam sesuatu perkara yang diperjuangkan oleh Pak Subky harus kita mengambil iktibar, ini kerana kebebasan bersuara adalah tanda keadilan sesebuah negara demokrasi. Semoga tulisan Pak Subky ini memberi pengalaman baru tentang dunia kewartawanan politik yang tidak terdapat daripada tulisan surat khabar harian yang biasa dibaca oleh masyarakat kita.
Penceritaan detik-detik kehidupan Pak Subky yang dapat melihat rakaman sejarah secara terus dari kaca mata sendiri sangat mengesankan buat anak-anak muda.
Penulisan memoir dan biografi adalah sangat penting dalam merakamkan sejarah dan perjuangan seseorang.
Namun sayang ramai yang menolaknya di atas pelbagai alasan seperti
"Saya bukan orang penting untuk ditulis biografi atau memoir"
"Tiada siapa rasanya hendak membaca tentang diri saya"
"Saya tidak mahu menulis untuk angkat diri sendiri"
"Saya tidak mahu memburuk-burukkan orang lain"
"Saya tak punya masa untuk menulis"
Dan perbagai-bagai alasan lagi apabila dipujuk untuk menulis memoir atau biografi.
- petikan posting Ilham Books pada 2 Disember 2014.
Sambungan memoir kewartawanan Anak Apak ini membawa pembaca menghayati liku-liku karier kewartawanan Pak Subky dari mula sehingga akhir. Pelbagai peristiwa-peristiwa bersejarah dimuatkan dan diolah mengikut pandang sisi Pak Subky sendiri.
Setelah selesai membaca buku ini, apa yang dapat saya simpulkan ialah:
a)Perlunya melatih akal supaya memandang sesuatu isu itu daripada pelbagai sudut. Ini yang saya dapat semasa membaca tentang debat Prof Syed Naquib al Attas dengan Lim Kit Siang, yang mana secara akademiknya Prof al Attas menang debat itu, tetapi dari segi politik Lim (DAP) yang menang.
b)Melazimi bacaan sejarah. Sebab sejarah akan berulang dan terus berulang. Sirah Nabawiyah kena pandai, sejarah kontemporari pun semestinya. Andai gagal memahami sejarah, maka kita akan gagal menghadapi situasi semasa.
c)Sesuatu penulisan mampu menghidupkan atau mematikan jiwa seorang pejuang. Pak Subky seorang penulis yang meletakkan kebenaran di hadapan berbanding kepentingan seseorang. Ketika dia menulis rencana yang menentang pendapat Albar rakan baiknya sendiri, Albar tidak dapat menerimanya kerana selama ini tulisan-tulisan Pak Subky selalu menyebelahinya.
d)Dunia politik adalah dunia yang penuh licik. Perlu jujur dan sentiasa berwaspada dengan anasir-anasir yang boleh memanipulasi kita.
e)Perlu teliti dalam mengenalpasti sumber sesuatu berita. Kalau silap sebar berita salah, naya. Pak Subky pernah menulis mengenai Soviet Union yang ingin menjalankan hukum-hukum Islam, tetapi ditarik balik kerana ia hanyalah propaganda yang cuba menipu umat Islam.
f)Berani berprinsip. Tulis Pak Subky, "Propagandis Islam tidak boleh berkecuali dalam semua isu. Ia hanya boleh berkecuali ketika dia tidak tahu. Tetapi penulis Islam tidak boleh selama-lamanya menjadi orang yang tidak tahu tentang isu yang dia belum tahu. Dia mesti berusaha menjadi orang yang tahu, sesudah tahu dia tidak boleh berkecuali lagi. Dia tidak lagi bebas memilih yang lain tetapi mesti memihak kepada kebenaran dan keadilan Islam. Jadilah propagandis yang ada pegangan."
Buku ini patut dibaca oleh para wartawan dan juga mereka yang meminati dunia penerbitan akhbara dan kewartawanan. Subky Latif adalah nama besar dalam dunia kewartawanan. Mengenali ramai tokoh-tokoh pemimpin negara. Rapat dengan Syed Jaafar Albar. Orang penting Utusan yang mendapat latihan, pendedahan dan pengalaman dari awal di Utusan.
Banyak cerita-cerita menarik yang beliau ceritakan seputar pemimpin negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Ismail dan lain-lain. Menyusuri kisah hidup beliau sebagai wartawan seakan dibawa menyusuri sejarah negara. Dari zaman pasca merdeka, zaman pemebentukan Malaysia juga zaman Konfrontasi.
Buku ini antara khazanah berharga sejarah negara dari sudut mata seorang wartawan.