Alang Rebus Tak Empuk sangat manis! Comel. Tak terlalu sarat dengan emosi, konflik. Saya boleh ketawa keseorangan dengan telatah Aiman yang menceriakan suasana dan menitis air mata bila, Shifa mengambil keputusan untuk melupakan ikatan persahabatan dengan Ziyad, gara-gara Zara.
ZIYAD SAYA SUKA AWAK.
Ia bermula dengan ayat ini. Kalau bukan kerana Mikail-adik Shifa tersalah hantar msg yang ditaip suka-suka oleh Shifa kepada Ziyad, mana mungkin hubungan mereka akan lebih jauh? Sewaktu Ziyad tanya; 'Shifa, awak suka saya?' lantas Shifa menjawab 'Saya memang suka awak', itu satu tindakan yang sangat-sangat berani.Tambah-tambah bila dia tetiba cakap saya nak jadi kekasih awak. Mahunya si Ziyad tak terkejut! Walhal sebelum ini tak pernah berhubung! Nombor Shifa juga Ziyad tak simpan. Dah la Shifa bukannya sentiasa buka mulut dengan dia. Asyik tundukkan kepala saja. Terus, Ziyad tampil dengan idea bernas semata-mata untuk tidak memalukan Shifa iaitu menjadi kawan atau Teman Tapi Mesra saja.
Bagi Ziyad, mana mungkin dia bersama dengan gadis 'sederhana', yang ada jerawat bernanah di muka, yang kulitnya gelap-gelap manis bak Cheryl Samad, yang kecil molek orangnya. Pilihan dia, perempuan cantik-cantik dan putih sahaja.
Lama-lama, mereka berhubungan sentiasa. Melalui telefon bimbit. Namun, manakan bisa Ziyad dapat menyimpan rahsia itu dengan Fairuz. Naluri hati Fairuz berkata, ada sesuatu di antara mereka. Ditangkap 'basah' ketika bermain mata.
Bagi Ziyad, Shifa itu hanyalah seorang kawan. Berbeza pula dengan Shifa. Ziyad itu, orangnya istimewa. Ye lah, dah tiga tahun pendam perasaan. Ziyad itu, secret admire. Bila Ziyad hantar msg lebih-lebih sikit, selalu je salah anggap. Ah, itulah lelaki. Bermulut manis. Hinggakan perempuan mudah terjatuh hati.
Awalnya, semuanya baik-baik belaka. Hinggalah munculnya Zara, kekasih baru Ziyad, yang mana boleh dianggap sebagai manusia bertalam dua muka. Cantik di luar tapi di hati kelam. Berpura-pura baik di depan tapi di belakang dialah 'raja'. Ada lelaki sebaik Ziyad masih lagi berfoya-foya dengan lelaki lain. Yang paling penting, rupa-rupanya tunangan orang! Ah, manusia seperti itu, tak akan bisa dapat lari dari balasan Tuhan. Di akhir cerita, ditinggalkan kekasih, diputuskan tali pertulangan. Itulah. Bila cantik sikit, bongkak. Hipokrit. Bangga tak bertempat. Sesuka hati saja menyerang Shifa. Alasannya kerana mengacau teman lelaki dia. Bukan setakat itu, dikutuknya Shifa. Katanya, Shifa itu bukannya lawa sangat.
Hidup Shifa penuh terisi dengan kehadiran teman sekepala. Sarah, Suraya, Syakila. 4s. Walaupun Suraya berubah perangai seketika kerana lelaki namun, badai itu tidak menghalang persahabatan mereka untuk terus utuh, sampaikan, teman-teman baik Shifa sanggup menjadi orang tengah. Supaya cinta Shifa kesampaian.
Di pihak Ziyad, bertemankan Aiman dan Fairuz, mereka sentiasa bersama. Paling tidak disangka-sangka, Aiman yang gila-gila, manja itu rupa-rupanya serius jugak bila melibatkan soal pasangan. Tiga tahun sudah beristikharah dalam diam.
Di akhir cerita terlalu indah. Indah kerana penantian tiga tahun Shifa berbaloi. Alangkah bahagianya bila orang yang kita suka akhirnya turut sama mengakui sukakan kita.
Saya sukakan kisah ini kerana kisahnya seolah-olah 'dekat' dengan orang di sekeliling saya. Shifa suka Ziyad. Tiga tahun memendam rasa. Ziyad ada Zara. Lama-lama perasaan Ziyad terhadap kawannya, Shifa, berubah. Akhirnya Ziyad bersama Shifa.
Bacalah. Tak akan rugi :)