An important new history of the relentless growth of South Asia's jihadist violence, and a careful analysis of how it can be countered
This hard-hitting and timely book explores the roots of militant Islam in South Asia and how it has grown to become a source of profound global alarm. By meticulously tracking the rise of the jihadist movement from its initial violence in Afghanistan in 1980 to the present day, Dilip Hiro challenges conventional narratives of the roles of Afghanistan, Pakistan, the Soviet Union, the United States, and India. He warns that the Line of Control in Kashmir, where jihadists seek to incite war between nuclear-armed Pakistan and India, is today the most dangerous border in the world.Drawing on evidence from a wide variety of sources including newly released Kremlin archives and classified U.S. Embassy documents published by WikiLeaks, the author compiles the first complete and accurate history of Islamist terrorism in South Asia. He chronicles historic links between Pakistan, Afghanistan, and India and their varying degrees of destabilization at the hands of the jihadists. He also sheds unprecedented light on the close military and intelligence links that have developed between India and Israel. Finally, he outlines the ambitions of Pakistani, Afghan, and Al Qaeda jihadists to establish an "apocalyptic realm" covering South, Central, and Western Asia. Compact, comprehensive, and fast paced, this book lays bare the causes of today's escalating terrorist threat, sets the historical record straight, and offers fresh strategies for defeating jihadist extremism.
Ketika remaja dulu, pencerobohan Russia ke atas Afghanistan dan isu Kashmir ditanggap secara hitam putih, Islam lwn musuh Islam, baik lwn jahat dan sebagainya. Realitinya, geopolitik Asia Selatan merangkumi Pakistan, India, Bangladesh dan Afghanistan serta negara serantau seperti Iran, Asia Tengah dan tidak lupa Arab Saudi serta kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), Russia dan China sangat kompleks, sekali gus tidak boleh dilihat dalam kotak-kotak yang sangat polos atau naif.
Sememangnya seperti disebut rakan, Fadli Al-Akiti, bab pertama The Sufi Connection dalam buku ini mungkin ‘meremangkan roma’ kerana konsep sufi yang sebenarnya dalam bidang tasawuf dalam tradisi keilmuan Islam sangat kompleks sifatnya, bahkan kontroversi kerana ia berkait dengan banyak faktor termasuk pengaruh budaya dan psikik sesuatu bangsa hingga sempadannya dengan mitos, agama lain serta kebudayaan sering menjadi samar hingga memungkinkan sebahagian masyarakat melintasinya.
Bagaimanapun, pembacaan buku ini bukan untuk menilai kedudukan tasawuf dalam Islam atau menghakimi amalan sesuatu kumpulan, sebaliknya adalah untuk melihat bagaimana konsep jihad yang mempunyai disiplin sangat luas (dengan melihat kepada makna sebenarnya) tetapi ketat (sekiranya merujuk jihad qital atau peperangan) dalam sirah Rasulullah SAW dan sahabat serta tradisi fiqh serta usaha merealisasikannya andai diterjemahkan secara holistik dan bukannya literal itu, menjadi satu elemen penting dalam sejarah moden umat Islam di Asia Selatan yang kemudiannya diangkat sebagai ranah sangat vital bukan sahaja ketika berdepan dengan kuasa penjajah atau kuasa besar, bahkan mencapai agenda pihak berkepentingan dalam penguasaan geopolitik serantau.
Oleh itu, sorotan pengarang terhadap konsep sufi dan juga Islam dalam konteks pengamalannya bolehlah dimaafkan sekiranya ia tidak bertepatan dengan defisini sebenar yang sudah tetap dalam tradisi ilmu, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada bagaimana realiti sebenar di Afghanistan, Pakistan, India dan juga Bangladesh perlu dilihat dengan teliti dan terperinci tanpa terperangkap dalam dikotomi antara Islam lwn bukan Islam atau baik lwn jahat.
Secara kronologinya, buku ini membawa kita melihat kepada hubungan antara Afghanistan dengan Pakistan dalam konteks etnik Pashtun yang berada di kedua-dua negara moden itu tetapi hakikatnya adalah satu bangsa yang tidak dapat dipisahkan oleh ‘Durand Line’ atau Garis Durand yang memecahkan satu etnik yang memiliki kesatuan kepada dua negara, sekali gus menjadi faktor penting mengapa isu yang melingkari pada waktu ini tidak dapat diselesaikan, selain usaha negara serantau mencaturi politik di Afghanistan untuk kepentingan geopolitik masing-masing termasuk dengan negara jiran yang lain.
Perangkap Afghanistan inilah yang akhirnya menyebabkan mengapa selepas Russia berundur, golongan Mujahidin tidak dapat bersatu untuk membina negara ‘baharu’, apatah lagi dengan campur tangan kuasa besar seperti AS dan negara Islam seperti Arab Saudi yang bukan sahaja sangat penting dalam penyaluran dana dan senjata ketika berdepan dengan Russia dulu, bahkan turut mengeksport faham literal Wahabisme sebagai satu pakej bersama.
Bahkan dengan keinginan Inter-Services Intelligence (ISI) Pakistan dalam memastikan arah politik di Afghanistan menguntungkan Pakistan dan juga mengelakkan India mendapat manfaat serta korupsi warlord di Afghanistan yang menyebabkan rakyat tertindas itulah, maka Taliban tumbuh meskipun atas hasrat asalnya untuk membela masyarakat daripada tersepit dalam konflik tidak berkesudahan.
Bagaimanapun, Taliban sendiri tidak menjadi penyelesaian, sebaliknya berubah kepada sebahagian masalah yang melanda Afghanistan itu sendiri kerana bukan sahaja pengaruh daripada kuasa serantau dan kuasa besar, bahkan atas realiti entiti itu sendiri yang didukung sebahagian besar oleh pelarian Afghanistan yang mengungsi di Pakistan, sekali gus terputus akar budaya dan kehilangan ‘teladan kebapaan’ hingga pandangan alamnya dibentuk daripada suasana yang terhasil akibat perang dan sistem madrasah yang walaupun menggunakan model Deobandi tetapi bergantung kepada guru yang memiliki keterbatasan daripada penguasaan tradisi ilmu khususnya berdasarkan faham Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang sebenar.
Masalah keganasan yang melingkari Asia Selatan semakin diburukkan dengan isu yang berlaku di Kashmir yang tentunya turut berpunca daripada tindakan India sendiri termasuk dengan kekerasan dan keganasan yang dilakukan tenteranya dalam menghadapi sebarang ketidakpuasan hati terhadap ketidakadilan yang dialami rakyat Kashmir. Pada masa sama, Kashmir juga menduduki tempat penting dalam kerangka politik Pakistan apatah lagi selepas negara itu kehilangan ‘Pakistan Timur’ yang kemudiannya menjadi Bangladesh yang ia turut membabitkan campur tangan India.
Umat Islam Kashmir hakikatnya adalah seperti umat Islam lain yang kehidupan mereka mempunyai kaitan dengan elemen kerohanian dan tasawuf tetapi kesan modenisasi sama ada daripada Barat atau pengaruh faham literal yang timbul kesan daripada usaha ummah untuk menjawab imperialisme dan orientalisme Barat menyebabkan nilai itu terganggu dan pudar serta cuba diganti dengan ideologi baharu sama ada berbentuk Marxisme atau kemudiannya Islamisme yang turut bercampur dengan faham Wahabisme. Hal ini menyebabkan perjuangan asal rakyat Kashmir untuk mendapatkan hak bernegara yang bebas daripada India dan juga Pakistan, akhirnya dikelabui dengan campur tangan kedua-dua negara itu serta diburukkan lagi dengan faham Wahabisme.
Dalam melihat apa yang berlaku di Asia Tengah ini juga, sudah tentu ia memerlukan kita memahami peranan dan kesan yang timbul daripada pemerintahan Zia ul Haq terhadap pemahaman Islam dalam kalangan generasi hari ini dan juga politik India yang menyaksikan kebangkitan Hindu yang pada hari ini diwakili Parti Bharatiya Janata (BJP) dan Narendra Modi tetapi mempunyai sejarah lebih awal lagi hingga mengusutkan lagi nasib umat Islam minoriti di India.
Dalam bab-bab terakhir, buku ini turut menyorot kepada realiti yang berlaku akibat korupsi kerajaan pimpinan Hamid Karzai yang turut mendapat sokongan Barat seperti AS dan NATO untuk kepentingan politik masing-masing tetapi tidak memahami budaya setempat, yang akhirnya membuka ruang kepada kebangkitan semula Taliban. Khususnya kepada AS, Afghanistan menjadi Vietnam Kedua kepada kuasa itu hingga bekas Presiden AS, Barrack Obama yang walaupun ketika berkempen menegaskan keperluan untuk berundur dari Afghanistan, akhirnya bukan sahaja menangguhkan tarikh pengunduran itu, bahkan menambah jumlah tentera dan sokongan ketenteraan, sekali gus mengulangi apa yang berlaku pada Lyndon Johnson ketika perang di Vietnam dahulu.
Walaupun buku ini ditulis sebelum Taliban berjaya menguasai kembali Afghanistan, apa yang dinyatakan sebenarnya sudah menunjukkan laluan kepada Taliban 2.0 adalah sudah tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun, kuasa besar seperti AS umpamanya seolah-olah hanya ‘membeli masa’ untuk mengelakkan hal itu berlaku ketika di bawah kehadiran tenteranya dengan kembalinya Taliban itu turut memberikan keuntungan kepada negara jiran dalam konteks geopolitik.