sms Pertikaian demi pertikaian yang diutarakan oleh Fitrah cuba dijawabnya walaupun dia terbatas dalam perdebatan 160 aksara. Dia sendiri terdorong untuk berlaku cermat dengan bahasa yang menjadi perantara supaya makna yang terpampang dalam bentuk tulisan kaku itu sampai kepada Fitrah seperti sepatutnya. Sesungguhnya perdebatan di medan sms amat menduganya.
Dapatkah Fitri menjawab pertikaian Fitrah dalam medan sms yang amat terbatas itu?
______________________________ Novel ini telah memenangi tempat KETIGA Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (ExxonMobil) 2010 Pertama Bimasakti MenariSri Rahayu Mohd Yusop Kedua Bumi LestariRebecca Ilham Ketiga SMSMuhammad Teja
SMS - daripada sebuah pesanan ringkas yang terdapat dalam telefon bimbit kita, maka berlangsunglah satu pertarungan ilmiah, mengenai kebebasan dan keadilan. Walaupun permulaan sedikit memeningkan, namun perakhirannya cukup mengesankan.
Kisah Fitri dan Fitrah,kisah mencari kebahagiaan, dengan cinta adalah tujuannya.
Sejujurnya, begitu berat sekali untuk saya menghabiskan novel ini. Setiap helaian dipaksakan untuk diselak dengan gagah. Seharusnya, novel ini lahir dalam bentuk karangan bukan cereka. Penulis benar-benar sedang berkhutbah kepada pembacanya! Begitu keras sekali tempelan-tempelan idea falsafah yang penulis ingin bawakan. Saya pecahkan kelemahan-kelemahan yang saya dapati dalam novel ini kepada beberapa perenggan.
Pertama, jangkaan saya kepada kandungan novel jauh meleset sama sekali. Benar, saya pernah dinasihati bahawa usah meletakkan tanggapan atau harapan pada sesuatu, kerana kekecewaan itu lahir bukan kerana hakikat sesuatu itu sendiri, tetapi kerana tanggapan/harapan kita. Sayang sekali, saya tidak mengambil nasihat ini dengan sungguh-sungguh.
Awalnya sebelum menyelak novel, saya membaca sinopsis di bahagian kulit buku belakang. Sungguh menarik! Perdebatan dalam keterhadan 160 aksara. Itulah yang saya fahami usai membaca sinopsis yang ditulis. Bahkan, sinopsisnya juga selari dengan tajuk novel. Sayangnya, kandungan novel bukanlah seperti apa yang saya jangka. Perdebatan berlaku di luar SMS dan sedikit sekali babak berkenaan SMS.
Kedua, pada muka surat pertama (bab pertama) lagi, telah jelas terpancar apa yang penulis ingin bawakan melalui novel ini iaitu gagasan-gagasan Prof al-Attas. Perkataan ‘persuratan’, ‘pengarang’, ‘adab’ serta dialog-dialog yang dituturkan oleh Cikgu Haitsam, kesemuanya menjurus kepada idea Prof. Penulis seolah-olah tidak bersembunyi dengan pemikiran yang dikandungnya. Walau bagaimanapun, saya sendiri tidaklah merasakan ia suatu hal yang bermasalah, tapi… ia akan dihuraikan pada perenggan seterusnya.
Ketiga, falsafah yang ingin dikandung melalui novel ini begitu keras; tidak cair langsung. Terlalu didaktik; bahkan penulis berkhutbah dengan keras! Bingit telinga saya dibuatnya. Semua dialog di antara Fitri-Fitrah, Fitri-Cikgu Haitsam dan Fitri-Abang Sufi dipaksakan dan kaku. Entahlah bagaimana saya ingin gambarkannya, biarlah kalian sendiri yang membaca sendiri ‘kekerasan’ dan ‘kekakuan’ ini.
Keempat, mengambil latar pelajar sekolah menengah untuk disumbatkan dengan bermacam-macam falsafah penulis. sangatlah tidak cermat. Benar, tidak dinafikan bahawa mungkin ada, sebahagian pelajar yang ‘esktrem’ dan ‘melawan’ seperti Fitrah, tetapi untuk ia dilakukan oleh seorang pelajar sekolah menengah, ditambah pula sekolah berasrama penuh yang rata-ratanya biah Islamiahnya terlalu subur (atau ketat), sangat tidak diterima akal. Sehingga ada perdebatan terbuka dengan kelompok ‘gereja Islam’, ia adalah satu perkara luar biasa yang terlalu jelas direka-reka.
Kelima, banyak kelompongan dalam penceritaan. Misalnya, ibu Fitri yang menceritakan asbab kematian suaminya selepas beberapa tahun arwah meninggal dan Fitrah yang tiba-tiba hilang. Konflik-konflik yang berlaku pula tidak ditonjolkan dengan sungguh-sungguh seperti keretakan yang berpunca daripada Faruk dan Ustaz Zaki, penindasan kelompok beragama dan kematian ayah Fitri.
Perbahasan berhubung manusia seperti konsep kebebasan, kebahagiaan dan tujuan dunia dalam novel ini yang cuba dibawakan oleh penulis sangat menarik, lebih-lebih lagi berkenaan mitos Yunani, dewa Sisyphus, cuma, andailah penulis boleh ‘cair’kan lagi perbahasan ini, mungkin lebih baik. Namun, sekiranya perlu bersikap adil, dengan mengetahui bahawa barangkali novel ini disasarkan kepada kumpulan remaja, saya merasakan novel ini ialah karya yang baik.
Tiga bintang untuk bahasanya yang baik dan percubaan mengetengahkan isu-isu berat seperti makna kebahagiaan. Namun, buku ini bukan cita rasaku. Kurasakan hampir separuh isi daripada buku ini adalah perdebatan falsafah. Terasa seolah-seolah sedang membaca jurnal akademik yang hanya boleh dihadam ahli akademik sahaja. Plotnya juga agak lemah padaku. Ia berkisar tentang seorang mahasiwa yang tiba-tiba mendapat sms dari seorang rakan (kekasih) lama yang telah terputus hubungan dengannya. Perpisahan mereka terjadi secara mendadak dan atas salah faham yang pada hematku tidak masuk akal. Persoalan-persoalan falsafah yang dibualkan antara watak utama dan kekasih lamanya terlalu memeningkan untukku fahami. Rasa lega apabila sudah selesai membaca buku ini.