Buku “Travelog Wartawan Islam” ini sungguh mengasyikkan. Ia sesuatu yang mesti dibaca dan dihayati dengan naluri hati oleh semua yang mengaku dirinya manusia. Tidak kira samada anda seorang pembaca yang bukan beragama Islam atau yang mengaku sebagai seorang Muslim. Buku ini mempunyai nilai moral yang tinggi, estetika yang berkualiti dan prinsip hidup yang sungguh jitu. Juga membuktikan setiap manusia ciptaan Allah yang berniat baik walau hanya sekelumit di hati yang suci murni, maka Allah akan memberi panduan jalan kehidupan yang terbaik. Maha Suci Allah yang memberi pertunjuk kepada sesiapa jua yang Dia kehendaki tanpa batas, dan juga boleh tersasar dalam kehidupan dunia jika tersalah. Sebab itu ramai juga yang mengajar Ilmu Syariah tetapi longgar amalannya syariatnya, dan ada yang mengajar Ilmu Tauhid tetapi tidak langsung mentauhidkan(taat sepenunhya) kepada Allah SWT dalam kehidupan sehariannya. Renungilah..
Perkongsian kisah benar wartawan ini teramat baik buat tauladan semua pengamal media samada yang baru atau lama serta sesiapa yang luas pergaulan sosial dalam kerjaya seharian. Mudah-mudahan hati anda merasa keabadian diri sebagai manusia dan mendapat sebutir sinar mutiara hidayah apabila membaca kisah benar ini yang digarap dari lubuk hati penulis dengan sejujur-jujurnya.
Buku ini menceritakan pengalaman Roslan Hamid sebagai wartawan di akhbar Berita Harian dan Harian Metro kira-kira 12 tahun. Berkhidmat di meja luar negara, beliau terkenal dengan beberapa ruangan pojok yang sering menjadi kesukaan saya ketika di bangku sekolah. Malah, tulisan beliau yang kemas dan tersusun amat mudah saya fahami meskipun beliau bercerita mengenai isu-isu yang berkaitan negara luar. Tidak saya nafikan, tulisan beliau sering memudahkan saya memahami apa yang berlaku di luar negara menjadikan saya dapat menghadam dengan santai apa yang cuba beliau sampaikan.
Walau pun begitu, saya merasa sedikit hampa kerana buku ini tidaklah seratus peratus menceritakan pengalaman beliau sebaai wartawan yang pada pertengahan tahun-tahun perkhidmatan sudah berkonflik dengan diri dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas. Buku ini boleh dikatakan terbahagi kepada dua - satunya seputar pengalaman beliau sebagai wartawan dan sebahagian lagi adalah koleksi tulisan beliau di akhbar menerusi ruangan 'Kisah Atara Dua Kota'. Pada pandangan saya, biarlah pengalaman sewaktu membuat liputan di luar negeri diceritakan dalam satu buku dan koleksi tulisan di terbitkan dalam buku berbeza. Saya pasti, sebagai wartawan pada era 90-an, banyak yang boleh beliau ceritakan memandangkan ada pelbagai peristiwa dunia berlaku dalam waktu tersebut menjadikan beliau orang utama dan pertama menjadi saksi. Antara yang dapat saya sebut ialah pembubaran kesatuan Soviet, pilihan raya pelbagai kaum yang pertama di Afrika Selatan, runtuhnya tembok Berlin di Jerman, pembakaran Masjid Babri di Bombay, Perang Teluk di Iraq-Kuwait, perang Balkan yang melibatkan pembersihan etnik di Bosnia dan pelbagai lagi peristiwa yang menjadi tajuk utama akhbar dunia ketika itu.
Meskipun dunia kewartawanan di Malayis akini sudah pun menjadi ruang yang diragui oleh pelbagai pihak akan ketelusan berita dan pelanggaran etika kewartawanan, Roslan Hamid yang terkenal dengan nama pena LanH sudah melihat perkara ini sejak beliau berkhidmat lagi. Dan konflik diri itulah yang menjadi punca kepada perletakan jawatan beliau pada Januari 1998. Rupa-rupanya, konflik yang sama turut dirasai beberapa bulan kemudian apabila beberapa editor dan wartawan terkemuka tanahair meletakan jawatan berikutan isu pemecatan jawatan (bekas) Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.
Saya berharap agar ada sequel terhadap buku ini yang lebih menjurus kepada pengalaman beliau sebagai wartawan akhbar meja luar negara.
Sukar untuk berjumpa dengan individu yang mahu mengaku kekurangan diri dengan sejujurnya melalui penulisan. Saya dapat merasakan kejujuran dan ketulusan penulis saat beliau mahu mempelajari Islam dengan lebih mendalam, terutama ketika beliau mahu belajar membaca al-Quran. Saya sukakan keperihatinan beliau dalam pelbagai aspek terutama dalam kepekaan terhadap isu-isu umat Islam sehingga beliau sanggup untuk meletakkan jawatan. Saya juga kagum dengan perjalanan jauh ulang-alik dari Melaka ke bandaraya KL untuk mencari rezeki. Semoga Allah memberikan kebaikan berpanjangan buat beliau dan keluarganya..
Realiti suka duka sebagai wartawan. Antara haq dan batil. Antara iman atau nafsu. Tidak boleh memilih kedua-duanya sekali. Hanya satu. Memang benar apa yang diceritakan oleh penulis. Media massa ketika ini gagal menyampaikan maklumat yang benar pada pembaca menyebabkan ramai menjadi buta. Bukan sebarang buta. Sepatutnya mereka ini menjadi pemangkin dalam menyatakan yang haq dan menumbangkan yang batil. Bak kata yang masyhur 'mata pena lebih tajam dari mata pedang'.
Buku ini mengingatkan saya kepada Buku Ulu Yam di Liverpool nukilan Nazali Noor. Sarat dengan kisah pengajaran yang menarik untuk kita fikirkan.
Jarang saya membaca buku hingga terbawa ke tilam empuk sebelum tidur. Selalunya cuma di menjaga kedai ketika masa senggang. Namun untuk buku ini, ianya cukup menarik sehingga saya tertanya-tanya apa yang bakal dikarang oleh penulis pada bab seterusnya. Ya ianya sebegitu menarik
Seorang wartawan yang berfikir tentang pekerjaannya. Tentang kebaikan, tentang bagaimana pekerjaannya itu memberi sumbangan, tentang dengan siapa dan dengan apa dia ditemukan. Tentang pahala dan dosa.