Buku yang diterbitkan oleh Pustaka Muda yang berpangkalan di Ipoh ini dikeluarkan awal setahun daripada yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan iaitu pada tahun 2005. Isi kandungannya adalah sama iaitu terbahagi kepada dua simposium yang memuatkan artikel-artikel tentang tasawwuf dan tariqat yang telah ditulis oleh tokoh besar Alam Melayu satu ketika dahulu iaitu almarhum Prof Dr Burhanuddin al-Helmi. Almarhum Prof Dr Burhanuddin menguasai pelbagai bidang ilmu antaranya ialah seperti bidang homeopati, falsafah dan bahasa selain bergiat aktif dalam politik. Diriwayatkan bahawa beliau menguasai bahasa Arab, Perancis, Belanda dan Jerman untuk menguasai bidang-bidang yang disebutkan di atas. Buku yang diterbitkan oleh Pustaka Muda lebih nipis berbanding yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan. Ianya mungkin disebabkan oleh jenis font dan saiz font yang digunakan. Di halaman akhir, terdapat catatan tambahan yang menyatakan bahawa almarhum Prof Dr Burhanuddin telah berguru kepada Tuan Guru Syeikh Haji Mohd Yatim, Guru Tariqat Naqsyabandiyah di Kampung Belanja Kiri, Parit, Perak.
buku yang patut di baca oleh anak muda dan semua orang bagi kita kenal serba sedikit tentang tasawuf dan tariqat.terfikir aku bahawa orang yang menentang golongan ini sebenarnya gagal mendalami sebetul-betulnya apa yang dibawa oleh tasawuf serta tariqat.
buku ini membawa tasawuf dan tariqat dalam bentuk yang mudah difahami,membawa dalil dan hujah yang ringan bagi pemula serta menyelitkan cerita-cerita berkenaan tasawuf dan tariqat bagi tidak menjemukan.
Dr.Burhanuddin menerangkan juga dalam buku ini bagaimana ia menentang tasawuf pada mulanya tapi kembali kepada tasawuf apa sedar akan kepentingan ilmu ini kepada umat.malah diceritakan juga dalam buku ini bagaimana pengakuan ulama kaum muda yang menerima tasawuf ini sebagai pertama dalam islam.
Sebuah lagi buku yang berjaya dihabiskan bulan ini. Buku ini yang berketebalan kurang 100 ms ini pada mulanya dijangka biasa-biasa sahaja, apatah lagi jika pembaca itu mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan Islam. Rupa-rupanya setelah dibaca, kita akan mendapati betapa dalamnya pengetahuan Dr. Burhanuddin al-Helmy seorang politikus revolusioner ulung (juga seorang polymath) tentang selok-belok ilmu tasawuf, pertentangan terhadap ilmu tasawuf, tokoh-tokoh dalam ilmu tasawuf, juga hal-hal yang selalu dikontroversikan dalam ilmu tasawuf. Burhanuddin juga menyentuh tentang pengalamannya dari kecil yang dihantar belajar ke Indonesia (Hindia Belanda waktu itu) dengan guru-guru agamanya yang reformis tetapi setelah meningkat umurnya, beliau menggeluti pula ilmu tasawuf (ayahnya juga seorang ahli tasawuf, menurutnya). Beliau juga memetik Afghani yang menurutnya berfahaman Wehdatul Wujud, maka tentulah juga beliau mengagumi Muhyiddin Ibn 'Arabi dan berkali-kali memetik kata tokoh besar sufi tersebut. Burhanuddin bagaimanapun cuba menjauhi segala pertelingkahan seperti yang berlaku pada mazhab-mazhab Feqah dan Kalam. Beliau turut memetik syair adik Imam Ghazali yang mengkritik Imam Ghazali (dengan teks Arab). Tidak syak lagi, Burhanuddin seorang tokoh ulung yang sayang sekali tidak dapat memimpin bangsa kita.