Nazmi Yaakub's Reviews > Karya Kita Hak Kita

Karya Kita Hak Kita by Nisah Haji Haron
Rate this book
Clear rating

by
3449784
's review
Jul 28, 2010

really liked it
bookshelves: sastera, malaysia
Recommended to Nazmi by: Nisah Haron
I own a copy

Karya Kita Hak Kita, panduan hak cipta karya Nisah Haron ini, memperkatakan hak cipta yang perlu disedari dan dipertahankan penulis serta menggariskan langkah mahupun peruntukan undang-undang yang melindungi harta intelek pengarang daripada diceroboh.

Buku yang menyenaraikan 27 panduan asas hak cipta ini, mengambil kira semua aspek yang bakal dihadapi pengarang bermula seawal selesai proses penulisan dalam bentuk manuskrip, penerbitannya dan isu berbangkit selepas buku mereka berada di pasaran.

Pengarang menggariskan syarat untuk memastikan hak cipta dilindungi dari segi keaslian, kewujudan dalam bentuk tulisan, kedudukan karya dan keadaan yang memenuhi syarat bagi memastikan hak cipta, sekali gus mengesampingkan idea serta ilham daripada perlindungan hak terbabit.

Meskipun kes pelanggaran hak cipta kurang kedengaran di negara ini, ada beberapa kes yang dimasukkan pengarang ke dalam buku ini seperti kes Mokhtar Jamaludin lawan Pustaka Sistem Pelajaran dan kes Syed Alwi lawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sekali gus menyarankan kalangan penulis untuk membawa kes mereka ke mahkamah.

Hak cipta yang dihuraikan Nisah tidak hanya terhad kepada penulis, sebaliknya ia turut membabitkan hak cipta kepada penterjemah, pengarang bersama, penulis kertas kerja dan pelukis ilustrasi sehingga pembaca dapat melihat betapa luasnya konsep hak cipta.

Pengarang buku ini yang berpengalaman dalam bidang guaman, turut membincangkan isu pewarisan harta intelektual dan pemilikan hak cipta kepada pewaris dengan memberi contoh mudah difahami pembaca terutama kelompok tanpa latar belakang guaman.

Buku yang dilengkapi dengan kartun ilustrasi yang menarik untuk memancing minat pembaca ini, bukan hanya memberi pembelaan kepada penulis, bahkan turut mengingatkan pengarang untuk tidak melanggar hak cipta dan hak penerbitan dalam penghantaran manuskrip serta penerbitan buku mereka.

Pengarang turut membincangkan isu judul, nama watak dan tempat serta penggunaan nama pena yang turut mempunyai kaitan erat dengan hak cipta serta implikasi yang terhasil daripada isu terbabit.

Buku ini juga mengulas penerbitan sendiri daripada aspek pro dan kontra serta menerangkan secara sepintas lalu mengenai proses yang perlu ditangani penulis untuk menerbitkan karya sendiri dan teknologi print-on-demand (POD) yang boleh membantu penulis menerbitkan karya mereka dengan cepat.

Petua sepintas lalu yang menggariskan keperluan penulis mengambil sikap berhati-hati sebelum menandatangani kontrak dengan memastikan sama ada ia membabitkan penjualan hak cipta atau pemberian lesen untuk menerbitkan karya, selain tidak terikat dengan satu penerbit selama-lamanya atau tidak ada tempoh masa perjanjian.

Buku setebal 376 halaman terbitan Al-Ameen Serve Holdings berharga RM29 senaskhah ini, wajar menjadi bacaan wajib kepada pengarang dan bakal penulis untuk memastikan hak mereka tidak diceroboh sewenang-wenangnya serta tidak terjerumus dalam isu yang boleh menjejaskan kredibiliti sendiri.
6 likes · flag

Sign into Goodreads to see if any of your friends have read Karya Kita Hak Kita.
Sign In »

No comments have been added yet.