Sebagai anak yang patuh dan menurut kata, Inas menerima pernikahannya dengan Ikhmal, lelaki pilihan ayah dan emak. Lelaki yang dilobi sebagai lelaki yang baik, kaya dan banyak menolong ayahnya ketika berdepan dengan masalah hampir bankrap. Namun begitu, Inas tidak mampu bertahan apabila segala rahsia dan perangai Ikhmal terbongkar seminggu selepas perkahwinan mereka. Kehadiran wanita yang memperkenalkan diri sebagai Kalsom telah menjadi pemangkin untuk Inas meninggalkan Ikhmal. Dia rasa tertipu ditambah lagi dengan sikap Ikhmal yang ego dan sungguh angkuh,tidak meminta maaf malah telah mengeluarkan kata-kata yang pedih.
Keputusan Inas telah menyebabkan ayahnya, Cikgu Dali menuduh Inas anak yang tidak bersyukur dan mengenang budi sehingga sanggup menghalau Inas dari rumah. Ternyata kerana ingkar untuk terus meneruskan perkahwinan itu, Inas hilang segalanya, keyakinan diri, kasih sayang ayah emak serta raa percaya kepada cinta lelaki.
Walaupun dia pernah menyatakan kepada kawan baiknya, Niza yang dia tidak mungkin lagi kembali ke bumi Norway selepas dua tahun selama belajar untuk ijazah sarjananya, ternyata takdir hidup telah membawa dia ke sana lagi. Bukan senang untuk dia meneruskan hidup di bumi itu ditambah lagi dengan cuaca sejuk yang tidak mahu bekerjasama dengan dirinya. Dia bekerja kuat demi mahu ayah tahu walaupun tanpa bantuan Ikhmal dia masih mampu untuk bahagia dengan caranya sendiri.
Kerana desakan hidup yang agak tinggi kos hidup di Norway, memaksa Inas menerima cadangan Zakry demi menghalalkan cara untuk mereka tinggal serumah selepas Inas tiada tempat tinggal. Walaupun begitu perjanjian Zakry memberi kebebasan untuk mereka menjalani kehidupan masing-masing tanpa batasan. Zakry seorang lelaki yang baik, tidak memaksa dan amat toleransi. Dia tidak pernah memaksa Inas menerima dirinya atau memaksa Inas untuk bercerita tentang kisah silam isteri yang dicintai dalam diam itu. Baginya dia memberi sepenuh masa untuk Inas bersedia. Kehadiran Dayang Amy yang agak rapat dengan Zakry sedikit sebanyak buat rasa cemburu Inas hadir. Kedudukannya dirasa sedikit tergugat namun untuk mendapatkan kepastian Zakry dia rasa dia tidak layak. Dia hanya seorang janda yang tidak mempunyai apa-apa jika mahu digandingkan dengan Zakry yang mempunyai segalanya.
Pertemuan kembali Inas dan Niza telah banyak mempengaruhi perhubungan Inas dan Zakry. Niza yang sentiasa riang dan ceria telah mampu membuka hati Inas untuk melepaskan kisah silamnya dan menerima kasih Zakry yang memang jelas sudah lama menantinya. Kepulangan Inas ke Malaysia selepas bekerja dengan syarikat Zakry bersama modal yang diberikan telah memberi impak yang bukan sedikit kepada kaitan kisah silamnya.
Niza yang beria-ia menyuruh Inas untuk mengambil alih Syarikat Megah yang diambang keruntuhan tanpa Inas tahu bahawa syarikat itu milik bekas suaminya, Ikhmal. Di sini bermulanya konflik di mana Ikhmal tidak tahu bahawa dia bakal kehilangan syarikat kepada bekas isterinya. Ditambah lagi dengan pelantikan Cikgu Dali sebagai pengarah di syarikat tersebut menjadi tamparam kepada Ikhmal,namun lelaki itu tidak pernah mahu sedar akan perangai buruknya.
Secara dasarnya plot yang nampak ringkas tanpa konflik yang rumit. KakChik suka sikap Inas dan Zakry yang tidak cepat melatah dalam perhubungan mereka. Selain itu perhubungan Inas, Kalsom dan Niza yang rapat walaupun mereka tiada pertalian darah. Watak Kalsom adalah watak biasa bagi isteri yang teraniaya, yang masih mahu melindungi suami walaupun sudah berkali terluka.
Satu kisah yang manis bagi yang niatnya suci dan balasan Allah bagi cash bagi anak yang derhaka.
Terima kasih Kak CT bagi pinjam buku ni. ;)