Moving Forward: Malays for the 21st Century tulisan YB Seri Setia ini sedikit sebanyak memberikan pembaca gambaran arah tuju politik pemimpin-pemimpin muda Malaysia yang cuba membebaskan diri dari wacana lama dalam mendepani cabaran masa depan Malaysia.
Buku ini ditujukan kepada orang melayu untuk berfikir dalam kerangka pemikiran baru mencakupi aspek sosio-ekonomi-politik,pendidikan, agama dan impian.
Seperti yang dikatakan pengarang, apa yang terkandung dalam tulisan beliau ialah harapan dan impian terhadap masyarakat Melayu Malaysia yang bagi beliau berada dalam keadaan 'stagnant' akibat kegagalan mengatasi dilema rekaan yang diwujudkan pemerintah sedia ada.Dalam upaya mengatasi masalah-masalah ini, beliau cuba menawarkan beberapa alternatif yang secara langsung kita lihat ialah alternatif-alternatif yang menjadi perjuangan parti yang diwakili beliau, contohnya penghapusan DEB, mewujudkan sistem meritokrasi sejati dalam bidang pendidikan, perbincangan antara agama yang lebih terbuka dan lain-lain.
Seperti yang dinyatakan, buku ini ialah tentang impian pengarang, maka tidak dapat tidak sesetengah pandangan atau idea penulis kelihatan terlalu ideal dan pada kala tertentu mengenyampingkan realiti dan persepsi semasa masyarakat Malaysia. Contohnya dalam bidang pendidikan dan agama.
Apapun, membaca buku ini merupakan pengalaman menarik menghayati impian seorang pemimpin muda Malaysia. Sama ada impian-impian beliau akan menjadi kenyataan adalah suatu perkara yang lain. Paling penting kita harus meraikan penyataan pemikiran orang-orang politik secara ilmiah begini. Harapan kita agar lebih banyak buku-buku buah tangan orang politik yang bukan sekadar bercerita tentang kelemahan orang lain tanpa menawarkan alternatif akan dapat kita baca, bukan saja dari kalangan oposisi tapi juga dari kalangan pemimpin-pemimpin muda parti pemerintah.