Ulasan Buku: Menggapai Bintang — Syaari Ab Rahman
Buku ini menghimpunkan pengajaran daripada kisah-kisah dalam al-Quran. Ia bukan sebuah naratif tunggal, sebaliknya sarat dengan pelbagai kisah yang disaring untuk dijadikan tips dan panduan menghadapi urusan seharian yang penuh cabaran dan dugaan.
Seperti biasa, ustaz bukan sekadar menyampaikan kisah, tetapi mengeluarkan buah-buah penting daripada ayat-ayat al-Quran yang sering kita baca secara lalu. Banyak juicy part yang sebenarnya kita tak nampak jika tidak diamati dengan cara yang betul — iaitu melalui kaedah tadabbur.
Antara perkara yang saya sangat suka ialah apabila terdapat petikan potongan perkataan yang dijelaskan maksudnya dalam bahasa yang lebih dekat dan mudah difahami. Penjelasan ini benar-benar membantu pembaca menghayati makna ayat, bukan sekadar membacanya.
Maaflah, keadaan buku saya sendiri sudah kekuningan. Ini kali kedua saya membacanya, dan baru sekarang hendak masukkan ke Goodreads. Membaca semula buku ini mengingatkan saya bagaimana dahulu saya pernah menggunakan banyak input daripada buku ini untuk pembentangan dalam salah satu kelas Majlis Ilmu ketika zaman Covid. Ingatkan kali kedua baca takkan ada contengan, rupanya makin bertambah pula contengannya — tanda isinya benar-benar “hidup”.
Dari segi pengisian dan mesej, buku ini agak seiring dengan buku Sumpahan Khuldi karangan penulis Prof. Madya Dr. Mohd Azhar Abdullah. Tapi penulisan beliau berfokus hanya pada kisah Nabi Adam A.S. sahaja.
Cuma, untuk penambahbaikan pada masa akan datang, saya rasa penyampaian boleh diperkemas dengan:
Recap ringkas di akhir setiap kisah untuk tujuan refresh.
Mesej-mesej utama diboldkan.
Ayat-ayat al-Quran tidak diulang terlalu kerap; cukup sekali, kemudian diikuti penjelasan.
Apa pun, terima kasih ustaz kerana menyediakan pengisian yang sangat padat dan “mengenyangkan” minda — bukan sahaja untuk difahami, tetapi untuk diamalkan.
Buku ini bukan sekadar membantu kita setting our focus, malah turut menyentuh hal pengurusan kewangan, cara mendidik anak, dan seni berkomunikasi dalam kehidupan seharian.
Alhamdulillah, benar-benar satu bacaan yang menyegarkan kembali setelah lama tidak dibaca.