Buku ini berkisah tentang pandangan, resensi dan perjalanan pencinta buku yang juga mahasiswa Sarjana Muda Undang-Undang di UIAM. Sejak kecil, penulis tidak pernah berenggang dengan buku sehingga sering ditanya, "Ada apa dengan buku?" Bagi penulis, buku ialah magis luar biasa. Buku mampu menggerakkan fikiran dan jiwa serta mengilhamkan gagasan baru. Buku membuatkan banyak orang ketawa, menangis, bahagia, bahkan melangkah dengan penuh yakin.
Keterujaan beliau dalam memburu buku diterjemahkan dalam catatan pengembaraan ke Indonesia yang bercampur rasa kecewa dengan gembira demi mendapatkan buku-buku terbaik. Naskhah ini turut memuatkan resensi beberapa buah buku besar dalam sastera kontemporari yang wajar dibaca oleh masyarakat.
Wujudkah manusia yang mahu membaca 1000 tahun lagi? Barangkali manusia itu ialah kita selepas membaca naskhah penuh inspirasi ini. Mustahil? Membaca ialah keabadian.
Kertasnya kurang berbau, rasanya kali pertama mempunyai buku yang tidak kuat baunya. Kebanyakan buku amat harum baunya. Buku ini kurang berbau. (Cetakan ke-3). Aku menghidap bibliosmia ke?
Bagus ada generasi baru macam penulis yang menulis buku tentang buku, sebelum ni hanya Shaharom T.M. Sulaiman sahaja yang selalunya menulis dalam genre ini. Jadi pengisian penulis kelihatan segar dari sudut pandang orang muda berbanding Shaharom T.M. Sulaiman. Walaubagaimana pun, buku tulisan Shaharom T.M. Sulaiman tidaklah boleh dibandingkan kerana beliau berada dalam kelasnya tersendiri.
Dimuka surat 128. Saja nak cadangkan artikel2 untuk dibaca yang membalas buku tulisan arwahyarham Kassim Ahmad seperti dihuraikan penulis, banyak kertas kajian boleh didapati di researchgate. Sejujurnya saya tidak pernah membaca buku arwahyarham Kassim Ahmad, cuma pernah membaca artikel2 berkaitan di internet yang kebanyakannya anti-arwahyarham Kassim Ahmad. Beruntunglah penulis kerana pernah membaca karya kontroversi ini, jadi penulis boleh menghuraikan tanpa bias.
Rasanya seluruh bibliofil di Malaysia harus membaca buku ini, selain buku tuan Shaharom T.M. Sulaiman.
Berbolak balik mahu berikan buku ini tiga atau empat bintang? Akhirnya saya putuskan, 3.5 bintang. Resensi yang dikongsikan Iman sangat baik, namun setelah beberapa banyak, sedikit membosankan pula kerana saya mengharapkan akan ada lebih banyak kandungan yang berkait dengan tajuknya “Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi”. Mungkin saya lebih suka membaca tentang kembara beliau berkaitan buku. Ke kedai buku tempatan pun tak apa, ia tetap bacaan yang menyejuk jiwa.
Melalui pembacaan buku ini saya baru tahu tentang Cabara 32 Buku anjuran Buku Jalanan Titi. Ia adalah inisiatif yang baik bagi menyemarak semangat membaca dan bahkan penggalak bagi golongan bukan pembaca tegar untuk mula membaca dengan lebih banyak lagi.
Siapa yang belum mencintai aktiviti membaca, ini buku permulaan yang tepat bagi anda. Penulis mengarang tentang kecintaannya pada buku, pembacaan, dan juga sastera dengan baik sekali.
Pada awalnya, saya menyangka buku ini akan berkongsi tips untuk membaca buku sehingga 1000 tahun lagi, tetapi jangkaan saya meleset.
Rupanya terdapat beberapa cara penyampaian. Pelbagai cara penyampaian ini menyebabkan pembacaan lebih menyeronokkan.
Kesungguhan penulis dalam mengangkat puisi dengan berpuisi di UIAM merupakan satu perbuatan murni. Di universiti saya kurangnya anak muda yang meminati puisi.
Jujurnya saya suka membaca warkah penulis kepada Hamka. Saya juga mengagumi tokoh ini, tetapi tidak terfikir untuk menulis surat kepada beliau. Isi kandungan surat itu saya baca berulang kali kerana pemilihan perkataan yang sedap dibaca.
Senarai cadangan buku yang dicadangkan di akhir buku telah masuk ke dalam senarai buku yang ingin dibaca. Proses pencarian buku kini bermula :)
Jika saya berkesempatan untuk bertanya kepada penulis, ada beberapa soalan yang ingin saya ajukan :
1) Jika penulis pernah mengalami fenomena tsundoku, bagaimanakah penulis mengatasi fenomena ini ? 2) Adakah penulis pernah berpuasa dari membeli buku untuk beberapa tempoh ? 3) Adakah penulis menyarankan anak muda sekarang untuk membaca karya Faisal Tehrani? Jujurnya, saya tidak berkesempatan untuk membaca karya beliau, mungkin kerana semakin susah untuk di dapati atau saya yang tidak pandai mencari. 4) Mengapakah toko buku di Indonesia sering menjadi idaman bagi pencinta buku jika tiba di Indonesia? Apakah beza toko buku di sana dengan kedai buku di Malaysia ?
Catatan pengalaman kecintaan terhadap dunia perbukuan berjaya disampaikan dengan gaya bahasa yang tidak berat dan mudah difahami. Pembaca tidak perlu membaca berkali-kali untuk memahami sesuatu kalimat.
Ulasan karya buku-buku pilihannya yang turut dimuat dalam judul ini menunjukkan penulis mula membaca karya-karya besar pada usia awal 20-an yang mungkin meletihkan bagi sebahagian pemuda seusianya.
Misalnya, buku 'Dilema Umat Islam: Antara Hadis dan Quran' (Kassim Ahmad), 'Ibu Melayu Mengelilingi Dunia: Dari Rumah ke London' (Tan Sri Aishah Ghani), 'Hujan Pagi' (A. Samad Said), atau 'Naratif Ogonshoto' (Anwar Ridhwan).
Dalam usia semuda itu, mungkin ada baiknya penulis membaca novel-novel cinta sohor kini yang asyik dan galak didramakan. Malah, saya sendiri pun lelah ketika membaca 'Naratif Ogonshoto'. Kalau bukan kerana perlu menyediakan kertas kerja, barangkali tidak habis dibaca juga.
Selain genre motivasi, saya fikir 'Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi' ini mampu digolongkan dalam koleksi bergenre 'buku bicara buku' memandangkan sebahagian besar kandungan berkisar tentang buku.
Melalui buku-buku yang dibaca dan diulas kritis oleh penulis, tidak ragu-ragu untuk saya katakan bahawa penulis yang masih muda ini punyai pemikiran besar.
"...dalam sesetengah perkara, buku menjadi sahabat yang lebih memahami berbanding dengan manusia."
Petikan di atas adalah antara petikan yang boleh dibaca dalam buku Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi.
Secara peribadi, aku betul-betul tak tahu apa yang aku boleh harapkan dari bacaan. Adakah tips cara nak membaca? Tips untuk memanfaatkan bacaan sepenuhnya?
Tapi setelah aku baca buku ni, aku boleh simpulkan kita dapat a bit of everything.
Gaya penulisan buku ni ibarat satu perkongsian dari seorang rakan yang sangat minat membaca kepada seorang lagi rakan lain yang berkongsi minat yang sama.
Setiap bait perkataan, setiap baris ayat, kita dapat lihat betapa sayangnya penulis dengan buku. Perjalanan penulis dalam mencari karya-karya yang kena dengan jiwa, bagaimana penulis memulakan kehidupan sebagai seorang aktivis buku dan orang-orang yang penulis temui. Sedikit sebanyak aku agak cemburu sebab dalam usia yang muda dari aku, penulis sudah capai banyak benda.
Ada sebahagian besar (kurang lebih suku dari buku) adalah kompilasi-kompilasi resensi buku yang pernah dibaca oleh penulis. Diakui aku banyak langkau saja resensi-resensi tersebut sebab aku tak suka baca resensi untuk buku-buku yang aku belum baca. Mungkin sebab aku tak mahu terpengaruh dengan pandangan orang lain sampai lah aku dah baca sendiri. Tapi melalui resensi-resensi yang ditulis, mungkin ada pembaca-pembaca yang ingin belajar macam mana nak mengulas buku boleh mengambil sedikit sebanyak teknik dari saudara Iman ni.
Secara keseluruhan, aku sangat berpuas hati dengan bacaan ni. Aku sekarang tengah dilanda reading slump jadi untuk aku mampu menghabiskan bacaan buku ni dalam satu sesi saja (kurang lebih dua jam setengah), aku kira dah sangat baik.
Aku harap saudara Iman akan terus menulis lagi anekdot-anekdot dia dan pengalamannya dalam dunia buku di Malaysia.
Mula baca naskhah ini pada 30 December 2019, baru sekejap 2 Januari 2020 @ jam 1.30pm berjaya menamatkannya. Apa komen saya? Buku ini adalah candu yang menjadikan saya ketagih. Si anak muda bernama Iman Danial Hakim, pelajar jurusan Undang-Undang UIAM ini memang wajar dicontohi semua anak muda di luar sana. Buku terbitan Jejak Tarbiah ini cuma 169 muka surat, namun isinya jauh menjangkau jumlah muka suratnya. Kenapa? Tidak lain kerana penulis memberi ulasan berbagai buku yang beliau baca. Banyak sekali maklumat yang saya perolehi daripada buku ini seperti istilah “DOSA KEPADA BUKU, CABARAN 32 BUKU, KISAH AISHAH GHANI MENEMPELAK WARGA IRISH DI PELABUHAN ADEN, DUNIA HALUNISASI PENULIS NOVEL, REALISM MAGIS, ASAL LAGU NEGARA-KU BERNAMA TERANG BULAN DAN SEKUEL NOVEL SUPER HERO HILAL ASYRAF.
Ketika membaca buku Iman Danial Hakim ini terasa benar diri ini kerdil kerana jumlah buku yang pernah saya baca jauh lebih sedikit berbanding dengan beliau.
Antara isi buku ini yang sangat saya suka dan kagumi adalah permintaan Hilal Asyraf kepada Iman agar mengkritik buku sekuel Adiwira beliau. Ini sikap yang matang dan terhormat kerana makanan sebenar seorang penulis buku bukan hanya pujian, tetapi kritikan membina daripada penulis lain yang lebih menjiwai dunia penulisan dan pembacaan. Kritik membina akan melonjakkan mutu dan kualiti bahan si penulis.
Habis sahaja buku ini, saya sangat teruja untuk bertemu muka dan bersahabat dengan Iman Danial Hakim. Banyak yang mahu dibicara dan dibincang. Saya sarankan anda semua membaca buku ini. Tajuknya benar dan tepat, Aku Mahu Membaca 1000 tahun lagi! Kenapa 1000 tahun?
Buku adalah hasil kajian, pengalaman dan garapan idea penulis yang dihimpun dalam satu tempoh masa yang panjang. Membaca sebuah buku seumpama menelan sebuah pengalaman penulisnya. Percayalah! apa yang ditelan itu akan memanjangkan akal serta pengetahuan anda.
Pertama, tajuknya "catchy". Mungkin kerana sedikit minat tentang buku tentang buku membuatkan saya mencapai buku ini.
Kedua, tertarik dengan tajuk di setiap bab. Malah, apabila dibelek sekali lalu, ada pengalaman beliau, catatan menyertai pertandingan membaca anjuran Buku Jalanan Titi, ada puisi dan ada reviu buku. Wah. Lumayan sekali.
Sejujurnya, saya tidak pandai berpuisi sejak di sekolah rendah lagi. Menjejak ke sekolah menengah, saya usahakan untuk baca puisi yang tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia meskipun tidak faham 🙈
Kerana bagi saya, pasti ada sesuatu yang mahu disampaikan oleh pemuisi kepada pembaca.
Di dalam buku ini, penulis dahului dengan pengalaman peribadi, mengapa kita membaca, membina perpustakaan peribadi, Cabaran 32 Buku sehingga ke bab akhir yang mengandungi banyak lagi warna-warni beliau akrab dengan buku.
Ada bab menerangkan tentang puisi secara menyeluruh dan ringkas untuk pembaca.
Kelainannya apabila beliau berkongsi tip membedah buku yang baik dan berkongsi beberapa reviu buku beliau.
Pilihan bukunya yang hebat. Jauh benar dengan pembacaan saya. Dah oh ya, umur penulis ini baru 22 tahun!
Dapatkan buku ini segera kerana ia mampu menjadi pemangkin kepada minat membaca anda. Selamat membaca.
Aku suka gaya penulisan dia. dia mcm ada magis tersendiri bila baca dan kau akan bangun dan terus melengkapkan idea idea yang tersimpan dalam kepala otak untuk menulis. Betul lah kata penulis, buku ni boleh jadi kawan, kalau kawan dengan manusia sering disakiti dan tersakiti, ouch,
Hebat anak muda yang banyak membaca. Tidak berniat untuk menyisih mahupun menyindir, saya berpandangan masyarakat Melayu masih boleh diperbaiki pembacaannya, jadi, mengenali penulis yang telah baca sebanyak itu, wajar dijadikan sebagai contoh dan ikutan.
Antara bab yang saya suka dalam buku ini adalah tentang tsundoku dan semangat iqra'. Saya juga suka membaca resensi penulis tentang beberapa buah buku sastera.
Buku yang mudah, boleh dibaca cepat dan boleh dibuat sebagai rujukan. Ada sedikit kesilapan ejaan ditemui. Walau bagaimanapun, semoga saya dapat menarik minat anak saya pula untuk membacanya.
Buku yang baik untuk dibaca bagi mereka yang cuba mencari sebab untuk terus membaca. Bagi pendosa buku 'Tsundoku' maka bertaubatlah. Hahaha. Apa tu pendosa buku ? Haaa, apa lagi dapatkan buku ni dan baca sendiri.
Buku ini mencatat tentang dunia buku, merangkumi persoalan apa, bila, bagaimana, kenapa dan siapa. Orangnya masih muda, tetapi kecintaan beliau pada buku seperti tidak ada penghujung.
Banyak isi-isi buku ini menerangkan tentang bagaimana buku menjadi sebahagian daripada hidup, dan hampir kesemuanya dapat saya kaitkan dengan pengalaman sendiri. Membaca setiap helai buku ini, saya dapat menghimpunkan cerita yang sama yang saya juga lalui dan rupa-rupanya, saya bagaikan ada buku 'Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi'.
Bezanya, saya kekal menjadi pembaca dan membaca hanya untuk kepuasan sendiri. Saya tidak mengulas secara profesional, setakat mencatat ulasan 'syiok sendiri' untuk rujukan sendiri pada masa akan datang.
Pada masa akan datang?
Ya, seperti catatan saudara Iman pada halaman 22, saya adalah seorang tsundoku. Menjadi seorang tsundoku sangat buruk laku, kerana pada satu tahap kau akan membeli buku yang sama kerana sudah hilang jejak tentang buku-buku yang sudah tersimpan di atas rak.
Haih!
Ini buku kedua bacaan saya tahun ini. Harap-harapnya tercapailah sasaran 20 buku.
Pertama sekali kenapa pilih buku ini adalah disebabkan tajuk dia.
Paling menarik minat adalah topik mengenai Tsundoku sebab rasa mcm kena dekat batang hidung sendiri. Terlalu byk buku buku yg berada di rak tidak disentuh. Kebanyakan di borong semasa pesta2 buku yg berlansung 😅😅
Kedua adalah topik mengenai Buya Hamka dan Tere Liye. Minat kepada kedua penulis ini dan telah baca antara tajuk yg disebut dalam buku ini.
Cumanya sedikit bosan part puisi. Mungkin disebabkan saya tiada minat ke arah genre tersebut. Jadi lansung tidak paham dan tidak boleh menghayati setiap bait bait puisi yg dihurai. Tapi mungkin boleh jadi faktor masa memandangkan buku ni di baca pada pukul 3 pagi. Jadi otak tak berapa nak boleh digest apa yg penulis cuba sampaikan mengenai setiap rangkap puisi bg setiap penulis. 😅😅
Overall satisfied memandangkan buku ni hanya di dibaca dalam masa sejam sahaja. Tau tau dh habis 😊
Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi merupakan perkongsian pengalaman, pengembaraan, dan perasaan penulis dalam dunia buku. Sebagai pencinta buku sudah tentu saya dapat mengaitkan apa yang ditulis dengan pengalaman sendiri. Buku ini menunjukkan betapa dunia seorang pencinta buku itu bukanlah dunia yang membosankan.
Jika anda peminat sastera, anda disarankan untuk membaca buku ini kerana penulisnya juga adalah seorang peminat sastera. Beliau turut berkongsi ulasan beberapa buah buku yang menarik untuk dibaca. Juga tip-tip tentang bagaimana membedah buku dengan baik.
Tahniah Iman Danial Hakim atas buku solo pertama tentang buku ini. (Jujur saya cemburu dengan lay out buku yang cantik!). Semoga kita semua dapat terus membaca dan memberi manfaat kepada masyarakat. Insha Allah.
Buku ini berjaya menaikan semula semangat membaca yang ada dalam diriku yang telah lama dilupakan. Sangat menghargai usaha penulis memperkenalkan pembaca dengan penulis2 buku yang ada serta karya-karya mereka. Mendorong aku untuk mencari buku yang sama di kedai buku dan membacanya juga. Terima kasih, Iman!
Saya selalu mencemburui tenaga dan masa anak-anak muda. Mereka punyai kemahuan yang luar biasa demi memastikan mereka upaya menyumbang kepada komuniti.
Kepada mereka, sering saya galakkan agar tidak jemu berbakti walau dalam apa-apa cara sekalipun selagi tidak bertentangan dengan undang-undang negara serta norma masyarakat.
Iman Danial Hakim tak terkecuali. Akademi Berbagi Buku yang diusahakannya bersama-sama peminat buku yang lain mencipta momen tersendiri. Dinamakan sebagai Projek Perpustakaan, pemuda ini bukan sekadar berjaya mengumpulkan berpuluh-puluh kotak buku, tetapi juga membina jaringan sukarelawan dan penggemar buku dari seluruh pelosok negara.
Banyak lagi kisah Iman Danial Hakim dan buku yang dicoretkannya dalam naskhah Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi. Ada catatan perjalanannya menjejaki Buya Hamka, pengalamannya menyertai Cabaran 32 Buku serta ulasan terperinci beberapa naskhah pilihan, termasuklah Hujan Pagi karya SN A. Samad Said dan Membunuh Muhammad karangan Hilal Asyraf.
Syabas Iman Danial Hakim, bibliofil muda yang sentiasa bernafsu akan buku!
Ini sebuah naskhah yang memberikan inspirasi , semangat dan motivasi untuk semua anak muda dalam membudayakan amalan membaca. Mengapa saya katakan 'anak muda' ? Kerana penulis buku ini sendiri berjaya menjadi contoh seorang anak muda yang bergiat aktif serta bersemangat wajar dalam mengisi kehidupannya dengan buku. Banyak pencapaian yang beliau peroleh , banyak juga pengalaman yang beliau kongsikan kepada para pembaca tentang penglibatannya dari kecil sehingga dewasa berkenaan dengan dunia buku. Dalam tempoh tersebut, saya tekankan di sini bahawa 'masa mudanya' itu sangat berharga dan bernilai kerana terisi dengan hobi bermanfaat yang berkait rapat dengan ilmu pengetahuan.
Saya sebagai pembaca sangat kagum dan berbangga dengan adanya anak muda seperti penulis ini. Satu usaha yang sangat murni oleh beliau kerana menghasilkan naskhah yang dapat membantu masyarakat untuk melestarikan amalan membaca dalam kehidupan seharian.
Penulis banyak memberikan recommendations kepada para pembaca tentang buku-buku yang baginya baik dan berkualiti mengikut genre. Saya boleh katakan, naskhah ini sarat dengan ulasan buku yang beliau baca . Kebanyakkannya ber-genre sastera. Secara tidak langsung, membuatkan saya tertarik untuk mendalami pembacaan sastera untuk masa akan datang. Satu 'racun' yang berkesan.
Untuk semua ulat buku, ini ialah naskhah yang wajib kita peroleh untuk menambahkan lagi semangat membaca dan supaya kita lebih menghargai budaya membaca sebagai budaya yang sihat dan bermanfaat.
Buku tentang buku. Ubat untuk reading-slump. Buku ini juga umpama baja yang menyuburkan minat membaca kembali mekar dan bugar.
Saudara Iman Danial Hakim merupakan seorang pempengaruh dalam dunia perbukuan dan juga seorang bibliofil. Di dalam buku ini, kita dapat tahu bagaimana keterujaan seorang pemburu buku yang memburu buku sampai ke negara Indonesia; bagaimana sosok hebat Buya Hamka menjadi inspirasi kepada perjalanan hidup saudara Iman; cabaran 32 buku Goodreads menarik nan mencabar dan boleh dipraktikkan sebagai cabaran peribadi atau berkumpulan.
Tertarik juga dengan idea penubuhan Akademi Berbagi Buku - Membina perpustakaan di kawasan pedalaman untuk memudahkan akses bahan bacaan untuk anak-anak dan masyarakat setempat. Bayangkan berapa ramai yang boleh ditemukan dengan bahan bacaan yang tepat lalu memberi inspirasi kepada mereka.
Buku yang boleh dijadikan bukti bahawa pencandu buku itu sememangnya wujud. Tidak kira dimana jua pada setiap masa yang berkelapangan, apa yang difikirkannya hanyalah untuk meneladani sebuah buku.
Buat bibliofil lain, pasti akan tersenyum simpul sekali-sekala kerana banyak pengalaman penulis boleh dikaitkan dengan diri sendiri. Semuanya tercetus hanya dari sebuah buku. Keghairahannya, keterujaannya. Indah rasanya.
Bab penghargaan serta kembara sejarah ke tempat kelahiran penulis tersohor kesayangan Nusantara iaitu Hamka dan Za'ba membuatkan diri lebih ingin menelusuri karya-karya agung mereka. Timbul juga impian supaya dapat menjejakkan kaki ke rumah asal penulis-penulis tersohor ini satu hari nanti.
Bab lain yang menarik perhatian adalah berkenaan buku yang diharamkan di Malaysia, iaitu Hadis : Satu Penilaian Semula serta Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik oleh penulis Kassim Ahmad. Sebelum ini, saya sememangnya mencari buku-buku ini bagi memahami aliran pemikiran penulis ini selepas membaca kisah penahanannya di penjara di bawah akta ISA tidak lama dahulu, melalui buku Universiti Kedua: Kisah Tahanan di bawah ISAnya. Ternyata selepas membaca ulasan mengenai buku tersebut di dalam buku ini, lebih dari perlu untuk saya mencari buku kontroversi itu nanti.
Kesudahannya, banyak juga buku yang kini termasuk dalam kategori 'ingin dibaca' selepas ini. Lumrah biasa yang terjadi jika membaca buku yang bercerita mengenai buku.
Walaupun genre kegemaran penulis lebih terarah kepada fiksyen dan sastera, sementelah saya lebih kepada bukan fiksyen, namun tidak kurang banyak juga buku yang menarik perhatian untuk dibaca hasil cadangan penulis.
Ini kerana saya amat memahami kenikmatan tenggelam dalam buku bergenre fiksyen ini kerana ada juga buku yang berjaya membuatkan saya berasa serupa sebelum ini. Buku Kunang Pesisir Morten, Terkenal Di Langit dari arena tempatan, serta buku terjemahan Fight Club iaitu Kelab Kelahi dan siri Harry Potter dari arena antarabangsa antara yang berjaya membuatkan saya tidak boleh tidur malam sebelum ini.
Tahniah buat penulis untuk buku pertama ini. Semoga bakal menyusul buku lain yang sama mengujakan seterusnya!
Sebuah penulisan yang dimulai dengan pengalaman penulis dalam dunia pembacaan dari kecil sehingga sekarang serta penglibatan penulis dalam dunia sastera. Buku ini sarat dengan pelbagai cadangan kepada pembaca buku-buku yang menarik untuk dibaca. Tambahan lagi, terdapat travelog penulis ke Indonesia dalam memburu buku-buku di Toko Buku Indonesia.
Buku yang menarik, terdapat kritikan dan huraian berkenaan buku sastera seperti A.Samad Said(Hujan Pagi) dan lain-lain lagi
Sejujurnya, aku tidak tahu bagaimana ingin memulakan perkongsian pendapat aku tentang buku ini kerana aku rasakan genrenya masih lagi baru untuk aku fahami juga terokai. Namun, apa yang boleh aku bicarakan ialah buku ini memberi rasa santai ketika membacanya akan tetapi punya intipati yang memberi pengajaran baru. Satu demi satu bahagian yang aku baca, tiada perasaan bosan malah lebih kepada betapa kagumnya aku terhadap penulis ini. Hebat benar seorang anak muda ini dengan perjalanan bersama buku-bukunya.
Aku merasakan dalam banyak-banyak bab berkaitan pengalaman yang dikongsikan oleh penulis, ada satu bab yang membuatkan aku tertarik dan merasakan bahawa tidak terjangkau akal untuk membayangkan betapa mencabarnya tempoh perjalanan penulis menghabiskan "Cabaran 32 Buku". Namun, pengajaran tersirat yang aku dapat keluarkan di sini ialah tidak kira bagaimana rumitnya untuk menempuh sesuatu cabaran akan tetapi jika dalam diri punya rasa minat yang tinggi, nescaya semuanya mampu ditempuh sehingga ke pengakhiran perjalanan. Aku tabik!
Selain itu, dalam buku ini juga penulis banyak berkongsi mengenai berpuluh-puluh tajuk buku yang boleh dikatakan hampir keseluruhannya sangat baru bagi aku - kerana aku sejujurnya masih mentah dalam dunia buku walaupun sudah beberapa tahun menyertainya. Setiap buku yang dicadangkan turut disertakan dengan penjelasan tentangnya. Antara genre yang berkaitan ialah novel, cepren, puisi juga memoir. Sebelum terlupa kerana aku sebutkan tentang genre itu, pada permulaan pembacaan aku dengan buku ini, dua perkara utama yang baru aku telah pelajari pada permulaannya adalah bilangan sasterawan dalam Malaysia, juga jenis-jenis sastera. Terima kasih atas maklumatnya.
Kata akhir dalam perkongsian tentang buku ini, aku ingin nyatakan bahawa buku "Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi" benar-benar memberi impak positif baru dan secara tidak langsung telah menyemai benih semangat membaca yang lebih meninggi dalam diri aku terutamanya. Aku ingin cadangkan untuk sesiapa yang mahu berjinak-jinak dalam dunia buku supaya cuba membaca buku ini. Itu sahaja.
Saya tertarik untuk membeli dan membaca buku ini setelah terbaca review bergambar yang dikongsikan oleh Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim di fb beliau pada awal tahun ini.
Saya adalah pembaca yang "memilih" (picky) di mana kebiasaannya saya akan beli buku yang telah di-rekemen orang dengan begitu meyakinkan atau punya rating yang baik di Goodreads.
Saya hanya yakin untuk memilih sesebuah buku setelah mendapat gambaran jelas apa yang saya boleh dapat dari buku tersebut.
Dan posting Ustaz Abdullah pada ketika itu dengan gambar muka surat 'Kandungan' telah berjaya menarik minat saya.
Dan setelah selesai membaca buku ini, ternyata ia sebuah bacaan yang sangat bermanfaat! 😊
Buku ini merupakan sebuah buku perkongsian pengalaman penulis tentang minatnya pada buku dan pelajaran-pelajaran yang dikutipnya lewat buku-buku yang dibacanya.
Apa yang menarik, penulis ada menyediakan senarai buku-buku rekemendasi dari genre yang pelbagai.
Membaca perkongsiannya membuatkan saya ingin mendapatkan novel 'Naratif Ogonshoto' karya Anwar Ridhwan dan 'Mandala Dunia Kedua' karya Azizi Hj Abdullah.
Ia juga membuka hati saya untuk mencuba baca karya Sasterawan Negara, A Samad Said dengan ulasannya tentang 'Hujan Pagi'.
Paling saya hargai, bab 'Cara Membedah Buku' yang saya rasa praktikal dan tersusun untuk diikuti.
Terima kasih @iman_danial_hakim untuk penulisan ini. Semoga terus maju jaya!
Kesimpulan: Sebuah buku yang santai tetapi menginspirasikan untuk memupuk dan meneruskan semangat membaca. Sesuai untuk semua lapisan masyarakat. 😊👍👍👍
Buku ini mengingatkan saya pada buku2 tulisan Shaharom TM Sulaiman. Buku tentang buku. Di Malaysia, kita agak kekurangan buku dalam genre sebegini.
"Menulis ibarat menelanjangkan diri sendiri"
Perkongsian hidup dan pengalaman seorang pembaca buku seperti penulis telah membuka ruang peribadinya sendiri.
Walaupun saya kagum dengan keterbukaam penulis dalam memilih bahan bacaan yang pelbagai, saya rasa banyak juga duitnya yang habis kerana buku. Hahaha.
Sebenarnya saya tak puas bila habis membaca naskah ini. Saya harap ada lagi kisah2 penulis dengan buku-bukunya.
Mungkin patut tulis siri kedua untuk buku ini. Tema tentang kembara buku juga saya kira sangat menarik untuk ditulis.
Menjadi ulat buku ini bukan terperap saja dalam perpustakaan, tapi ia lebih dari itu! Bacalah naskah ini, kelak anda akan tahu betapa hidup ini wajib diisi dengan buku-buku menarik, bukan sekadar menjalani rutin harian sampai ke liang lahad!
Membaca tajuknya saja sudah tahu sangat mirip dengan ungkapan 'aku mahu hidup seribu tahun lagi'. Tajuk-tajuk yang catchy sebegini membuat saya teringat pada buku-buku Agus Mustofa. Ungkapan 'aku ingin membaca seribu tahun lagi' seolah-olah membayangkan betapa nikmat dan seronoknya membaca buku. Buku-buku sebegini sangat menyegarkan jiwa peminat buku yang barangkali mengalami rasa jenuh. Seperti penulis, saya juga membaca karya 'Aku' yang ada dalam filem Ada apa dengan Cinta. Manakala Hamka, saya bermula dengan Di bawah Lindungan Kaabah. Sedangkan A.Samad Said, saya baru ingin bermula dari novel Salina. Baru saya sedar bahwa saya kurang memperhatikan sastera, lebih-lebih lagi karya sastera Brunei. Pendek kata buku ini membangkitkan semangat untuk terus membaca dan meneroka pelbagai genre buku. Buku ini sangat layak untuk dimiliki. Ucapan tahniah buat penulis.
Jujurnya, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi pada buku ini. Apatah lagi, permulaan buku ini menceritakan biografi penulis dan bagaimana beliau terjebak dalam kecintaannya terhadap bidang sastera. . Tapi rupanya saya tersilap. Tersilap besar! . Kekuatan buku ini ialah penulis berjaya memperkenalkan karya - karya besar dan profilik dalam nuansa yang lebih segar dan ringan melalui "pembedahan buku". . Penulisan ditukangi dengan langgam bahasa yang indah dan tidak terlalu bombastik (untuk mereka yang baru berjinak membaca karya sastera). Penggunaan istilah yang tidak keterlaluan dan digunakan secara tepat. Maksudnya, membaca buku ini anda akan merasa lebih bijak, tanpa berat kepala 😉 . Take home message yang diperoleh daripada buku ini ialah, untuk menjadi penulis yang baik, anda perlu membaca karya yang hebat. . Sekian.
Seronok membaca mengenai pengembaraan penulis mencari buku sampai ke Indonesia. Terasa juga nak menjejakkan kaki ke toko-toko buku di sana, lebih teruja hendak singgah ke tanah kelahiran Buya Hamka.
Saya juga terinspirasi dengan kegigihan dan disiplin penulis dalam membaca banyaknya buku, dan membedah serta mengambil kebaikan dari apa yang dibaca untuk dijadikan nilai tambah dalam kehidupan.
Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi (Iman Danial Hakim) Oleh: @nurfarrahatiqah
Di belakang buku ini ada tertulis, wujudkah manusia yang mahu membaca 1000 tahun lagi? Barangkali manusia itu ialah kita selepas membaca naskhah penuh inspirasi ini.
Saya merasai kebenaran kata-kata itu usai membaca buku ini. Penulis hanya berusia setahun lebih muda daripada saya namun bahan bacaan yang telah dibacanya jauh lebih banyak dan pelbagai. Perkongsian pengalamannya ketika menyertai 'Cabaran 32 Buku' anjuran Buku Jalanan Titi pada tahun 2017 benar-benar membuat saya kagum dan cemburu dengan pencapaiannya.
Buku ini terbahagi kepada empat bahagian utam iaitu Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi, Wacana dan Kembara Buku, Membaca Indonesia dan Apa Apa Dengan Buku?
Jujur saya katakan, perkongsian saudara Iman dalam buah tangannya ini berjaya membuat saya rasa membaca itu adalah satu keseronokan. Bertepatan dengan kata pengantar daripada Hilal Asyraf, beliau mengatakan Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi berjaya memecahkan stereotaop kebanyakan berkenaan pencinta buku.
Membaca buku ini membuat kita asyik, terutamanya di bahagian Ada Apa Dengan Buku? kerana saudara Iman telah berkongsi dengan pembaca resensi beberapa buah buku berlainan genre seperti Ibu Melayu Mengelilingi Dunia: Dari Rumah ke London, Dilema Umat Islam: Antara Hadis dan al-Quran dan Terang Bulan yang dilakukannya membuat saya teringin untuk membaca karya-karya tersebut. Resensi beliau mudah, padat dan sangat menarik.
Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada saudara Iman kerana berjaya membuat pembaca (saya) juga ingin membaca 1000 tahun lagi.