Buku ini memberi fokus terhadap perbincangan berkaitan prinsip dan kaedah universal dalam Shari'ah. Prinsip dan kaedah universal merupakan antara aspek terpenting dalam memahami Shari'ah serta merupakan antara topik penting dalam ilmu Maqasid al-Shari'ah. Hal tersebut kerana kefahaman terhadap Shari'ah akan bermasalah sekiranya tidak dirujuk kepada prinsip dan kaedah utamanya yang bersifat universal merentas masa dan tempat. Prinsip dan kaedah yang terkandung dalam buku ini membentuk kaedah berfikir yang lebih bersistem, holistik, terbuka, multidimensi dan berstruktur. Pendekatan penulis yang menulis dan menyusun perbincangan dengan baik menjadikan buku ini lebih mudah difahami oleh para pembaca.
Tulisan yang menarik dan ringkas tentang topik-topik besar dalam Shari’ah seperti kaedah fiqh dan maqasid. Kupasan yang menarik tentang prinsip universal (kulliyāt) dalam Shari’ah dan agama secara umumnya yang menjadi asas atau ibu kepada perkara-perkara cabang yang lain. Prinsip-prinsip universal ini amat konsisten dalam Shari’ah.
Buku ini amat ringkas dalam menyentuh hal-hal seputar perbahasan Shari’ah dan penulis pun tidaklah berhajat untuk membahas panjang lebar tentangnya. Pada saya, penulis berjaya memberikan gambaran umum/suthi tentang Shari’ah. Saya kira buku ini wajar dibaca untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan perbahasan fiqh wa usuluh seperti saya. Inilah antara pintu-pintu awal untuk memahami Shari’ah.