*Dibaca sekilas dalam perjalanan pulang berhari raya. Buku ini telah lama dibeli bersama buku-buku yang diniatkan untuk program dengan pelajar satu masa dulu.
————————————
Bagi yang ingin menjadikan Facebook sebagai tempat membina pengikut dan melakukan pemasaran dalam talian, buku ini memberi panduan yang mudah diikuti.
Pendek kata, kalau kita ikut satu-persatu langkah yang beliau lakukan, kemungkinan besar kita pun akan dapat mencapai kejayaan seperti beliau – sifirnya begitulah. Di samping mengambil kira faktor bakat dan rezeki yang menyebelahi seseorang, tentunya.
Menarik diperhatikan, kemunculan pengarang ini sebagai tenaga viral bukanlah sesuatu yang tercipta sehari dua.
Lihat awal hidupnya. Beliau pembaca. Bukan pembaca biasa-biasa juga. Beliau baca karya berat dan bermutu karangan Sasterawan Negara. Kemudian beliau terus membaca setelah dewasa, malah semakin banyak. Satu buku setiap minggu. Ini tegar.
Beliau juga memiliki strategi yang tersusun dan disiplin yang baik. Ada jadual khas dan membaca trend pengikut. Sebelum beliau membentuk strategi dan membina disiplin, beliau menuntut ilmu pemasaran dalam talian bukan saja di dalam negara, malah sampai ke luar.
Beliau juga suka mengembara. Pernah bertemu kata pujangga dalam buku yang lain, kalau ingin pandai berkisah, pergilah mengembara kerana semasa mengembara kau akan menemui hal-hal luar biasa yang tidak akan ditemui di tempat asalmu. Akan banyak cerita menarik boleh kaunukilkan.
Pada akhirnya, sesuatu yang kita capai berbalik kepada niat yang baik juga. Bagi pengarang buku ini, beliau ingin menabur manfaat kepada semua dan ini termanifestasi melalui pencapaian viralnya.