Segala puji bagi Allah yang telah memberikan saya kekuatan untuk mengkhatamkan sebuah lagi buku. Alhamdulillah dapat juga meluangkan membaca buku walaupun semakin sibuk, moga-moga Allah buka lagi ruang masa untuk saya membaca.
Kalau orang tanya saya, apakah buku yang TERBAIK untuk para pemula untuk mereka memulakan perjalanan mereka menyelami lautan ilmu hadis yang ditulis dalam bahasa Inggeris? Jawapannya ialah buku ini. Buku yang dikarang oleh al-Muhaddith Shaykh Muhammad Mustafa al-A'zami - rahimahullah.
Buku ini semenangnya ditulis dalam bahasa Inggeris, bukan terjemahan, dan ia ditulis oleh seorang ahli hadis yang hebat. Oleh itu, inshaallah fenomena "lost in translation - adalah minimal.
Buku ini seperti buku-buku asas mustalah hadis yang lain, ia membincangkan tentang istilah-istilah ilmu hadis, syarat hadis sahih, hasan dan lain-lain. Cuma yang paling menarik minat saya ialah penulis membincangkan tentang kitab-kitab hadis yang ditulis pada zaman sahabat dan tabi'in.
Penulis membincangkan sebenarnya ada banyak tulisan hadis yang ditulis oleh sahabat dan tabi'in. Tapi kenapa tak ada sekarang? Sebenarnya ada je sampai kepada kita, tapi kita tak perasan. Sila baca buku ini untuk penjelasan selanjutnya.
Dan perbincangan terhadap penulisan hadis pada zaman awal Islam ini sememangnya kepakaran Shaykh Muhammad Mustafa al-A'zami. Perbahasan inilah merupakan tajuk tesis PhD beliau di Universiti Cambridge dulu. Beliau menulis tesis ini untuk membantah syubhat yang dilontarkan oleh golongan orientalis, terutamanya yang dilontarkan oleh penyelia beliau sendiri: AJ Arberry dan guru kepada Arberry, iaitu Joseph Schacht.
Apa yang saya boleh katakan, jika mana-mana sekolah agama yang menggunakan medium bahasa Inggeris sebagai medium pengajian, saya boleh katakan bahawa buku ini adalah matan teks pengajian terbaik dalam ilmu hadis untuk sekolah anda!
Semoga review ini bermanfaat.