Buku ini nipis sahaja (295 m/s), jika dibaca bersungguh-sungguh pasti boleh dihabiskan dalam masa beberapa jam sahaja. Tapi saya mengambil masa 2 hari juga untuk menghabiskannya, aduh, teruk sungguh prestasi membaca saya sekarang ini!
Buku ini menceritakan kronologi penaklukan Andalusia oleh tentera Islam di bawah pimpinan Panglima Tariq bin Ziyad, bermula daripada kekecewaan Panglima Julian, Gabenor Ceuta apabila anak gadisnya, Florinda membunuh diri selepas diperkosa oleh Raja Roderiga, pemerintah Andalusia yang berbangsa Gotik pada masa itu. Rasa marah dan dendam Panglima Julian terhadap Raja Roderiga telah membawa beliau ke Afrika menemui Musa bin Nusair, wakil Khalifah al-Walid bin Abdul Malik untuk meminta bantuan memerangi Raja Roderiga yang kejam, zalim dan bernafsu buas.
Kedatangan Panglima Julian memohon bantuan bagaikan pucuk dicita ulam mendatang kepada kerajaan Islam, kerana sememangnya kerajaan Islam memang bercita-cita untuk memperluaskan empayarnya ke benua Eropah. Musa bin Nusair telah melantik Panglima Tariq bin Ziyad untuk mengetuai angkatan tentera seramai 12 ribu orang untuk meninjau dan merisik keadaan di Andalusia dan mereka telah berjaya sampai ke sana dengan bantuan Panglima Julian.
Bermula dari bab pertama sehingga bab terakhir menceritakan rentetan peristiwa dan detik-detik penaklukan Andalusia oleh tentera Islam di bawah pimpinan Panglima Tariq bin Ziyad. Saya sedkit kecewa kerana pada sangkaan saya buku ini menceritakan biografi Tariq bin Ziyad; bermula daripada detik kelahiran beliau sehingga beliau meninggal dunia. Namun rasa kecewa itu terubat dengan cara pesembahan cerita sejarah yang tidak membosankan, penyampaian bukan secara fakta semata-mata. Tidak mengapalah, mungkin saya boleh membaca biografi tokoh ini melalui sumber-sumber yang lain pada masa akan datang.
Apa yang penting, sekurang-kurangnya saya dapat mengetahui sedikit sebanyak mengenai sejarah penaklukan Andalusia, serta sedikit tentang keperibadian dan ketokohan Panglima Tariq bin Ziyad melalui buku ini. InsyaAllah, saya akan dapatkan buku-buku lain daripada penulis ini pada masa akan datang, dan semoga Allah memberi ganjaran terbaik buat beliau dan juga pihak-pihak yang terlibat dalam usaha menerbitkan karya yang bermanfaat begini, insyaAllah.