Dilahirkan sebagai Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Setelah lulus Ijazah Sarjana, S. Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ ATMA. Jawatan terakhirnya yang disandang ialah profesor madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai pensyarah kontrak di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999).
S. Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja. Antaranya ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1976), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003). Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian. Selain menulis cerpen dan novel, S. Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa). Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam ujana kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003). (Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka)
Judul: Angin Timur Laut Penulis: S.Othman Kelantan Terbitan: Nusa Centre Jumlah muka surat: 198 Tahun terbit: Cetakan pertama (1969), Cetakan kedua (2021) Tempoh bacaan: 25/10/2021 ~ 30/10/2021
Ulasan: Karya yang baik adalah karya yang membawa suara rakyat. Angin Timur Laut memiliki ciri-ciri tersebut, yang mana ia membawa suara para nelayan. Suara perit yang bergema tidak kedengaran. Derita yang tersorok tidak mendapat perhatian. Cerita ini ditulis menggunakan POV 3 dengan penulis sebagai tok dalang yang memegang peranan serba tahu tentang watak dan suara hati watak.
Saleh, watak utama, seorang bapa anak sepuluh. Berdepan bukan sahaja dengan gelombang dan cuaca yang mencuri rezeki, tetapi juga dengan jeragan yang manis mulut tetapi memiliki hati syaitan. Mengambil peluang dalam keadaan terdesak para nelayan. Menghulur wang sebagai hutang dan memaksa bayar dengan bayaran yang mencekik nyawa!
Malah, dalam kemiskinan, sahabat yang dihormati, dijaga aibnya, menikam belakang. Mencuri rezeki, satu hal. Melempar tuduhan sehingga menambah tekanan juga satu hal.
Watak Saleh ini benar-benar didera oleh penulis. Banyak ujian yang dibebankan ke atas pundaknya. Namun, penulis juga tidak lupa untuk memotretkan watak ini sebagai seorang hamba Tuhan yang sangat baik. Sentiasa bersangka baik dalam apa jua keadaan. Waras dalam kemarahan, dan kekesalan.
Saleh tidak pernah mempersoalkan takdir bila dia dikurniakan Sabut. Anak cacat yang hanya tahu makan, berak. Yang rupanya seperti sabut sehingga namanya diletakkan sebagai sabut. Malah, Saleh sentiasa mengingatkan dirinya bahawa doa anak cacat bernama Sabut itulah yang akan membantu keluarga mereka. Yang akan memelihara keselamatan dirinya ketika ujian melanda.
Cerita ini digarap dengan bahasa perlambangan, metafora dan personifikasi yang cukup indah. Malah, cukup memberi kesan kepada pembacaan. Mampu merasai akan setiap situasi watak melalui perbandingan yang tepat dan metafora yang hebat. Personifikasi membentuk ayat yang sedap diucap sepanjang pembacaan dibuat.
'Nasinya yang bergantung di udara laut.'
Satu metafora yang bukan sahaja hebat, tetapi menyentap rasa. Rezeki yang masih tidak sampai. Rezeki yang sukar untuk digapai. Rezeki yang terpaksa diusahakan walaupun nyawa tergadai. Allahuakbar. Sukarnya hidup keluarga nelayan.
'Dan bulan-bulan Angin Timur Laut bertiup, dia dan para nelayan seluruhnya akan melipat lutut di rumah. Mengunyah angin masin yang ganas.'
Kita boleh membayangkan keadaan 'melipat lutut' itu dengan perasaan para nelayan sekali. Bayangan bagaimana mereka tiada apa yang hendak dibuat melainkan runsing dengan situasi. Gusar hati dengan cuaca dan rezeki. Kelaparan bila hanya 'mengunyah angin'. Kunyahan yang masin. Iaitu perlambangan kepada angin dari laut. Angin yang ganas. Ganas yang membawa kepada kesakitan kepada yang dihentam. Iaitu diri watak dan para nelayan.
'Musim anak-anak mengumpulkan tulang dalam dirinya.'
Lambang kemiskinan. Anak-anak yang kelaparan. Anak-anak yang tidak cukup makan. Gambaran dengan metafora dan personifikasi ini cukup mengesankan. Terlalu dalam sehingga kita mampu merasai penderitaan mereka. Bukan sekadar kurus, tetapi kurus kering. Tinggal tulang. Miskin di paras paling bawah, mencecah tanah.
Cerita ini juga terselit sindiran bila watak Saleh mempersoal di dalam dirinya mengapa mereka perlu mengundi. Tiada apa yang berubah. Nasib mereka masih begitu pada setiap musim. Yang kelihatan berubah hanyalah orang-orang yang dipangkah. Orang-orang itu yang menambah pangkat dan kekayaan. Nasib rakyat masih sama.
Terselit juga sindiran kepada golongan beragama. Iaitu ketika Imam Ghani meminang anak gadisnya, Leha yang berusia 14 tahun. Sedangkan Imam Ghani itu sudah pun beristeri dua dan memiliki cucu juga.
Sindiran juga kepada orang tengah, pegawai kerajaan yang menguruskan makanan bagi mangsa banjir. Makanan banyak, tetapi hilang dan tidak cukup. Rupa-rupanya dijual. Mangsa terus jadi mangsa. Yang terhimpit dan terdera.
Yang menjadi hero, yang didoakan berjaya oleh Saleh, adalah para tentera. Kata hati Saleh, para tentera yang menyelamatkan mereka lebih baik berbanding pegawai kerajaan. Kata Saleh, tentera berhati malaikat sebab memberi mereka cukup makan selepas diselamatkan daripada banjir. Malah, tentera membantu Saleh, membaiki rumahnya yang dihanyut banjir. Mendirikannya semula, lalu memberi beras dan barangan asas lain.
Banyak lagi yang menekan perasaan kita bila hal kemiskinan itu diangkat menjadi sebuah cerita yang membuka mata kita, mata pemerintah terhadap realiti hidup. Ia bukan hanya cerita yang direka, tetapi ada sesuatu yang ingin dimajukan. Ingin disampaikan agar pihak-pihak tertentu nampak dan bertindak.
Sastera, lidah rakyat. Lukisan hidup untuk dihayati dan diambil pelajaran.
Pak Saleh teguh menyelusuri pengkhianatan alam, sahabat, masyarakat dan kerajaan terhadapnya. Kisah mendung yang menyimpan guruh sindiran untuk pembaca. Apa kau tahu tentang nelayan? Tentang deritanya di musim Angin Timur Laut. _____________________ Ini karya pertama SN S. Othman Kelantan yang saya dapat baca. Tulisannya tegas dan lantang. Tidak berpatah balik. Tulisan orang lama untuk mengajar pembaca tentang empati dan keadilan.
Karakter Pak Saleh yang dicipta sangat bernyawa. Runsing seorang ayah dan suami. Nelayan kampung yang tidak besar akalnya. Namun baik hatinya, cekal jiwanya dan utuh tekadnya. Timbul rasa sayang dan hormat pada Pak Saleh.
Penggunaan terus-menerus metafora dan personafikasi dari angin monsun tidak menjemukan! Terasa sejuk dan hempasan kencang pada tiap helaian. Pun begitu saya tidak dapat elak rasa canggung bila plot perkahwinan Leha timbul. Dari faham saya, mungkin tak lengkap jika tidak menyentuh isu itu. Apatah lagi ia tidak lenyap hingga kini. _____________________ Angin Timur Laut buat saya mengerti apa yang mendukakan hati para pelaut. Sedarilah saya, saat angin kencang dan langit menangis. Saat saya mensyukuri nikmat bumi nyaman. Ada hati yang gelisah mengharap belas Maha Pengasih.
semoga telinga tidak lagi tuli mata tidak lagi buta mendengar dan mengetahui kisah ceritanya
Di zaman moden ini, kalau kau rasa hidup ini susah, kau perlu baca Angin Timor Laut. Hidup ini perjuangan. Perjuangan itu laut. Saleh tahu itu. Tahu betul-betul.
Perjuangan melipat laut, menentang lintah darat, fitnah orang kampung, korupsi orang kerajaan, orang 'agama' dan si iblis Angin Timor Laut.
Untungnya novel ini diterbitkan kembali oleh Nusa Centre memandangkan cetakan pertamanya ialah pada tahun 1969.
Membaca Angin Timur Laut seolah-olah mengembalikan ingatan kepada Ranjau Sepanjang Jalan, bezanya Saleh, watak utama dalam novel ini bertarung hidup dengan laut.
Novel ini mengisahkan Saleh dan keluarganya, serta seluruh kampung yang meneruskan kehidupan mencari rezeki di laut. Ancaman ombak besar, cuasa yang tidak menentu serta angin timur laut menjadi duri juga rezeki buat mereka.
Novel yang membawa kita menelusuti kepayahan hidup nelayan-nelayan pantai timur meneruskan kehidupan, bukan sahaja menerima tantangan cuaca tetapi juga kerenah masyarakat yang banyak ragamnya.
Saat aku membaca Angin Timur Laut, segenap Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang sedang mengalami musibah alam; banjir dan tanah runtuh. Gelombang kedua, ketiga mengancam malah melebarkan taklukannya ke negeri-negeri lain. Banjir di Kelantan sudah bermula hari ini, 30 Disember 2021. Semua ini terjadi di musim tengkujuh, sinonim dengan kejadian banjir di negeri Pantai Timur.
Aku merasa sesak kehidupan Saleh yang hidupnya berjuang bersama gelombang laut. Aku dapat merasa kepayahan Saleh, walaupun tidak dapat menyelami sepenuhnya. Aku mendapat perasaan bahawa dunia termasuk mereka yang membuat onar sangatlah kejam.
Aku juga bersyukur berada dalam kehidupan yang kukira baik...berganda lebih baik dari Saleh tentunya. Bukan sahaja memberi kesedaran akan realiti manusia di dunia ini, tetapi novel ini juga buat aku bermuhasabah.
Walaupun pernah membaca naskhah tentang seorang nelayan, tetapi naskhah ini, di waktu begini...kukira sangat cocok dalam memberi sentuhan perasaan dalam hati.
Naskah ini membawa pembaca menelusuri, bahkan ‘hidup’ sebagai Nalayan di Kampung Sabak. Nelayan yang dihimpit keperitan hidup, yang tatkala tiba Angin Timur Laut, datang membawa kemiskinan dan penderitaan. Ujian demi ujian dilalui Saleh, isteri dan anak-anaknya. Anaknya ramai, bongsu cacat, yang menjadi sumber doa dan rezeki, bagi Saleh.
Pabila tiba musim Angin Timur Laut yang dikatakan ‘setan’ oleh para nelayan, kerana musim itu mereka tidak boleh turun ke laut, jika turun, menempa maut, maka hasil tidak seberapa, terpaksa pula berhutang dengan Juragan kapitalis demi mengubati anak sakit, difitnah hidup-hidup. Tidak habis dengan penderitaan batin itu, datang pula bala besar yakni bah besar yang hampir meragut nyawa saleh & keluarga.
Di akhir cerita, pembaca akan sedikit berdebar, malahan ‘sayang’ untuk menghabiskan bacaan, mungkin takut untuk berpisah dengan buku ini.
Satu naskah yang benar-benar membawa kita memahami erti hidup, yang serba susah.
angin timur laut menonjolkan sisi kehidupan para nelayan pesisir pantai yang berjuang dan bertarung hidup dalam mencari sesuap rezeki untuk anak bini. dugaan demi dugaan yang menimpa disusun dengan seni oleh penulis bagi menampakkan hidupnya jalinan cerita. paduan kata dari penulis melalui angin timur laut pula sangat menjentik minda, terutamanya bagi aku yang kekurangan kosa kata. menjadikan kamus sentiasa berada di sisi sebagai rakan yang memberi erti.