Pembaca/Penulis: Anda Naif atau Sentimental?


Saya baru menyudahkan sebuah buku esei Orhan Pamuk yang dikembangkan daripada Syarahan Norton-nya di University Harvard. Judul buku berkenaan adalah The Naive and Sentimental Novelist: Understanding What Happens When We Read and Write Novels; meminjam definisi naif dan sentimental daripada esei sarjana Jerman, Schiller, yang ditelaah Pamuk berkali-kali semenjak 30 tahun yang lalu.

Secara ringkasnya, Schiller menakrifkan pembaca/penulis novel yang naif adalah sebagai pembaca/penulis yang menikmati proses membaca/menulis tanpa mempedulikan teori, struktur atau apa-apa sahaja bentuk "azali" karya berkenaan. Sementara pembaca/penulis yang sentimentalis pula mengambil peduli, malah menganalisa perkara yang dikesampingkan itu.

Pamuk tidak melihat pembaca/penulis yang naif sebagai lebih baik daripada yang sentimentalis, dan sebaliknya. Beliau menekankan bahawa pentingnya seseorang pembaca/penulis mencapai keseimbangan antara kedua-dua sifat/sikap ini dalam pembacaan dan pengkaryaan. Menurut Pamuk, selepas lebih 30 tahun membaca dan menulis novel sastera secara serius, beliau telah menemui keseimbangan yang diperlukan itu.

Seperkara yang menarik tentang buku ini ialah kemahiran Pamuk menzahirkan proses dalaman (baca: pemikiran) yang berlaku ketika seseorang membaca/menulis novel dalam bentuk kata-kata. Dengan menggunakan bahasa yang mudah tetapi masih mengekalkan trademark-nya (baca: buku ini seperti juga novel Pamuk, perlahan temponya), Pamuk membedah, melapah bagaimana sesebuah novel ditanggapi/ditulis. Perkara ini sememangnya berlaku kepada semua pembaca/penulis, namun tidak semua di antara kita yang barangkali mampu meakamkannya dalam bentuk teks seperti yang dilakukan Pamuk.

Selain itu, Pamuk turut menerangkan faktor mengapa novel-novel sastera menjadi karya malar segar, berbanding novel-novel pop. Menurut Pamuk, novel-novel sastera dibina/dikarang secara berlapis. Apabila dibaca, pembaca sebenarnya sedang mengopek lapis-lapis itu untuk mencari teras cerita. Oleh itu, pembaca akan menjadi peka, setiap perlakuan watak, penglihatan watak, perubahan cuaca dan lain-lain diteliti dengan harapan setiap satunya akan menghantar pembaca lebih dekat dengan teras yang dicari-cari. Tetapi novel-novel pop, kata Pamuk lagi, dibina berdasarkan formula yang jelas. Pembaca tidak perlu mencari teras, kerana ia sudah jelas sedari awal. Pembaca juga tidak dapat merasai perih-jerih penulis "menyembunyikan" teras di balik lapis-lapis yang tebal dan berselirat seperti dalam novel-novel sastera.

Pamuk juga dengan berani melabel novel-novel fiksyen sejarah sebagai "palsu." Menurut Pamuk, sesebuah novel digerakkan oleh watak. Watak ini pula mewakili dan merakam zamannya. Cerita, atau teras cerita sesebuah novel secara idealnya mestilah disampaikan oleh watak berkenaan. Keperibadian watak ini dan kisah yang ingin disampaikannya harus dikuasai oleh penulis. Oleh itu, Pamuk berpendapat, penulis kontemporari tidak akan berjaya "merakam" aspek-aspek peristiwa lampau dengan tepat, kerana beliau tidak melalui zaman itu sendiri. Pamuk mengaku beliau menulis My Name Is Red, sebuah novel fiksyen sejarah yang mengambil latar zaman Khalifah Uthmaniyyah dengan kesedaran itu.

Di samping itu juga, Pamuk memperkenalkan istilah "verbal literature" dan "visual literature." Dalam sesuatu pemerian, ada pembaca/penulis yang menggemari lenggok teks yang digunakan, sedangkan sebahagian yang lain pula senang dengan pelukisan imejnya. Perkara ini membuatkan saya terfikir seketika, tentang aktiviti melukis komik yang ditinggalkan sewaktu di sekolah rendah - kerana merasakan penglahiran cerita lebih pantas dengan hanya menulis (dan lebih menjimatkan kertas!).

The Naive and The Sentimental Novelist barangkali boleh juga dianggap sebagai buku panduan penulisan (oleh pembaca/penulis yang sentimentalis) atau sebuah introspeksi menarik tentang proses pembacaan/pengarangan (oleh pembaca/penulis yang naif?). Namun, seperti karya-karya kreatif Pamuk, ia harus dinikmati dengan rentak sewajarnya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 03, 2011 03:27
No comments have been added yet.