Ezzah Mahmud's Blog, page 4
April 26, 2017
Senyum #NationalPoetryMonth #Day26
Rasa ini mulus
Menyelati seantero ruang yang terizin
yang terpasak-dirinya seorang aku,
Terluka, asyik disiat-siat bahagia
Apakah ini Ya Tuhan.
Aku hela nafas panjang
merela rasa ini menelusuri
setiap alur jalin menguncur laju
Pejamkan mata, senyum sahaja
Biar rasa itu merangkul erat
Kau manusia, kau makhluk tepu rasa.
Dicabik-cabik indah, aku syukur sentiasa.
Ramadan #NationalPoetryMonth #Day25
Sebulan lagi,
Kekasih lama bersua bertemu.
Ya Tuhan, moga kau ketemukan aku samanya.
Aku rindu dakap hening dan rangkul tenangnya
Dia yang Kau janji Rahmat dan Rahim
Dia yang Kau seri Barakah dan Indah
Dia yang Kau isi seribu purnama
Dia yang Kau sedia manisnya Percaya
Izinkan aku ketemu samanya lagi tahun ini.
#NationalPoetryMonth #Day25
Jagakan #NationalPoetryMonth #Day24
Aku kirai-kirai renda sejadah
Tunggu Isya’ menyapa masuk
Sambil fikir ku menerbang sunyi
Sama sekeping hati yang terjauh
Apa yang kau fikir rasa agaknya.
Aku tenung-tenung sudut abar
Telusuri garis mencantum jadi satu
Sambil hati ku mengembang rindu
Sama seraut pandang yang teringati
Apa ada kau kenang sayang agaknya.
Aku kelip-kelip kelopak mata
Tertumpahkan sedikit tangis yang terkolam
Sambil segala seasa merintih doa
Sama Tuhan yang Tahu Semua
Apa bisa kau di Jaga sentiasa
Ameen.
#NationalPoetryMonth #Day24
April 24, 2017
Belikat #NationalPoetryMonth #Day23
Ada masa
aku tercomotkan garisan
yang aku jalinkan
kerna aku manusia,
terlalu selalu terlupa.
Maaf, aku masih berjagungan
Ampun, aku masih berhijauan
Jangan kau biar aku sendiri
membakul angkat tak sedar diri.
Ya Tuhan, mohon Kau jaga seluruh ini.
Iya, yang ini, yang tersangkar dek rusuk
terutuh dek belikat dan Asa Perkasa.
Hidup, kita bersama semua sekali
ayuh kejar Jannah hakiki.
Kami Semut Malaysia #NationalPoetryMonth #Day22
Maka kami semut-semut sekaliannya
dengan ini berikrar dan menggadai jati
bagi menumpu dan membagi serah
seluruh asa daya kudrat keringat kami
untuk mencapai cita-cita kamu
berdasarkan atas undang-undang
yang kami wajib ikut seperti berikut;
Kepercayaan kepada tuan kerana tuan
bertuhan kuasa dan mata wang
Kesetiaan kepada apa
yang tuan katakan benar kerana
kami semut-semut semua,
kuat kerja akalnya tertinggal di sarang,
membusung
Keluruhan perlembagaan
yang ada tempangnya tapi
semut-semua yang tak puas hati,
boleh pindah keluar atau kami kan halau,
kalau minyak mahal, naik basikal,
tapi kamu semut, sila meluncur dengan dedaun,
bisa?
Kedaulatan undang-undang
yang menjamin gula-gula semua
selamat dicatu untuk tuan-tuan,
agar negara mampu berdiri sama tinggi,
duduk sama rendah,
sambil yang terpekik di kata gila,
yang meradang di kata tak tertenang.
Ibu-ibu semut dan bapak-bapak semut
sudah tidak terbuih menyata sayu.
Kesopanan dan kesusilaan itu,
kami akur, sebab kami sudah selesa begitu,
tapi, apalah kiranya semua ini,
kalau dipijak mati kami tak sapa hirau.
Nasib baik Tuhan Ada.
Dan semut-semut kuat jiwanya.
April 23, 2017
Kisahkan #NationalPoetryMonth #Day21
Aku kisahkan yang indah-indah
Sama bonda saban hari
Kerna aku yakin tahu
Beliau bosan dipangku rindu
Dan kalah dengan khali di kampung.
Kerana kisah ini berupa
Bait-bait indah yang tak terpuisi
Jalin-jalin seni yang tak terlukis
Rasa-rasa ria yang tak tercakup fikir
Dan bonda orangnya tak banyak cakap
Langsung aku kisahkan yang indah-indah
#NationalPoetryMonth #Day21


