Roslan Hamid's Blog, page 15

August 29, 2022

2 Safar 1444: Cabaran Muslim yang taat di Eropah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah engkau berdoa selain daripada Allah, iaitu sesuatu yang tidak dapat memberikan manfaat kepadamu, dan tidak pula mendatangkan mudarat. Maka jika engkau perbuat juga, sesungguhnya engkau pada waktu itu, termasuk orang-orang yang menganiaya diri sendiri." – Maksud Ayat 106 Surah Yunus


MELIHAT jadual waktu solat di Eropah, pengunjung baharu boleh terkesima dibuatnya. Ketika penulis berada di sini, Eropah berada pada penghujung musim bunga...masuk solat subuh adalah jam 3.00 pagi, zuhur 1.30 petang, asar 6.00 petang, maghrib 10.00 malam dan isyak 12.00 tengah malam. 

Ada tempatnya masuk subuh 1.00 pagi. Subhanallah, jika waktu solatnya begitu, bagaimana tempoh waktu berpuasa pula...? Mungkin hanya ada beberapa jam sahaja untuk berbuka, bertarawih seterusnya bersahur!

Ketika baharu sampai...saya teruskan 'aksen' cara 'orang kita'. Di sebuah masjid, saya tak ragu-ragu ambil wuduk ala orang Malaysia. Bukak kepala paip, terus sampaikan air ke anggota wuduk. 

Waduh...Masya-Allah, menggelupur saya seketika. Airnya panas, panas, panas. Rupa-rupanya 'depa' guna 'heater' - air paip panas untuk 'melawan' kedinginan.

Patutlah, ketika mula-mula masuk ke ruang wuduk saya nampak banyak bekas seperti kendi. Jemaah saya lihat, menadah air paip dalam kendi, membiarkannya seketika, kemudian baharu ambil wuduk menggunakan air dari kendi itu. Tetapi saya tak digerakkan hati untuk berfikir dan mengambil 'pot' hal itu.

Ya saya 'gelojoh' - maka terjadilah hal itu. Bukan saya tak pernah dengar peribahasa Melayu seperti 'masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak atau ungkapan 'When in Rome, do as the Romans do', tetapi dah terbiasa dengan amalan di tanah air. 

Jadi wahai LanH, when in Europe, do as the Europeans do'! Ya, ya, boleh difikir-fikirkannya.



 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 29, 2022 17:10

August 28, 2022

1 Safar 1444: Belanda 'syurga' berbasikal

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesiapa yang membaca 'Astaghfirullah al Lazi La Ilaha' illa Hual Hayyul Qayyum Wa Atubu Ilahi' (Aku meminta keampunan daripada Allah Taala yang tiada Tuhan melainkan-Nya, yang hidup lagi berdiri dengan sendiri-Nya, dan aku meminta taubat kepada-Nya), diampunkan dosanya walaupun dianya lari dari medan perang." (HR. Imam Abu Daud, Tarmizi dan Al-Hakim)


Pelik tetapi benar. Orang Eropah yang kita fikir kebanyakannya kaya raya itu, menjadikan basikal sebagai 'mode' pengangkutan utama mereka. Penunggang basikal dan basikal seolah-olah 'berada di mana-mana sahaja', terutama di negara Belanda hatta di  kota terbesar Amsterdam.


Pengembara asing seperti saya tercengang melihat penunggang basikal diberi keutamaan di jalan-jalan raya. Ya, sistem pengangkutan dan jalan raya menekankan kepentingan penunggang basikal. Di persimpangan jalan atau tempat lintasan, penunggang basikal mendapat keutamaan...pengguna kenderaan bermotor perlu memberi laluan kepada mereka!


Di Belanda ada ribuan kilometer laluan basikal menghubungkan sebahagian besar negara terbabit dan mutakhir ini sebuah garaj tempat letak basikal  terbesar di dunia (boleh menempatkan 8,000 buah basikal) dibina di ibu kota pentadbiran The Hague.


Dilaporkan bagi menggalakkan lagi penggunaan basikal, kerajaan Belanda mengumumkan saguhati 0.42 guilder Dutch (kira-kira RM0.88) sekilometer kepada mana-mana pekerja yang berbasikal untuk ke tempat kerja.


Perancis juga menggalakkan rakyatnya berbasikal, kerajaan akan membayar 25 sen Euro sekilometer kepada mana-mana pekerja yang menaiki basikal ke tempat kerja.


Di peringkat global, selain Belanda dan Perancis, negara maju lain seperti Jepun, Kanada dan Denmark juga mempromosikan amalan berbasikal demi kelestarian alam sekitar selain mampu meningkatkan kecergasan fizikal penduduknya. 


Kita (negara Malaysia) pula bagaimana...apakah kita mahu menganjurkan kempen berbasikal? Orang Malaysia mungkin mengomel...negara 'depa' suasananya dingin, tak berpeluh;;;kita ni kalau ke pejabat menunggang basikal, habis lencun pakaian kita...kena mandi sebelum masuk pejabat...aii kalau begitu untuk perjalanan dekat seperti ke kedai runcit di taman atau ke masjid atau surau tak bolehkah tunggang basikal?


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 28, 2022 16:53

August 26, 2022

29 Muharam 1444: Hujan emas di negeri orang...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesiapa yang membaca 'Astaghfirullah al Lazi La Ilaha' illa Hual Hayyul Qayyum Wa Atubu Ilahi' (Aku meminta keampunan daripada Allah Taala yang tiada Tuhan melainkan-Nya, yang hidup lagi berdiri dengan sendiri-Nya, dan aku meminta taubat kepada-Nya), diampunkan dosanya walaupun dianya lari dari medan perang." (HR. Imam Abu Daud, Tarmizi dan Al-Hakim)


SEMPENA Hari Kebangsaan atau Kemerdekaan negara ke-65 pada 31 Ogos ini dan Hari Malaysia ke-59 pada 16 September, penulis cuba menghubungkaitkan pengembaraan di Eropah; insya-Allah yang baik mungkin boleh dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan oleh 'orang kita'. 


Ada satu peribahasa Melayu berbunyi 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri'...ya, memang lebih baik kita hidup atau berada di negeri sendiri tetapi kalau negeri kita sendiri 'berhujankan emas' itu lagi baik . 


Sekarang ini kita perhatikan negara kita sendiri pun macam berhujankan emas kerana jutaan warga asing seperti dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Pakistan, India dan Filipina sudah menjadikan Malaysia 'tempat cari makan'!  Ya, negara kita bagaikan gula yang menarik ribuan semut..


Kebanyakan negara-negara Eropah memang benar sudah maju dengan segala infrastrukturnya (kemudahan hidup) - mereka menduduki kedudukan teratas 'ranking' dunia seperti negara paling kaya, negara paling bersih, negara paling telus (kurang korupsi), negara paling aman dan pelbagai paling lagi...


Namun perlu diingat mereka juga menduduki 'ranking' tertinggi juga dalam banyak segi seperti sebagai negara paling ramai penduduknya meninggalkan agama (menjadi ateis) dan sekarang ini pula dilanda kes dan kematian Covid-19 antara tertinggi di dunia. Namun orang Eropah tetap dengan 'stail' mereka, Hampir semua 'tak hairan pun' nak pakai pelitup muka (mask).


Sekarang ini Eropah membahang pada musim panas, ada kalanya berlaku kebakaran hutan besar-besaran dan mencatatkan kematian.


Di Malaysia kita boleh 'berlengin' (misalnya pakai kain rombang sahaja) hampir sepanjang masa, tetapi di Eropah soal pakaian amat penting. Pakaian musim panas lain, musim sejuk lain. Banyak duit habis nak beli pakaian. 


Demikian juga soal rumah. Kediaman perlu ada 'heater'. Kalau tak pada musim sejuk kakulah kita. Semua ini perlukan kos. Tak ada duit susahlah kita nak hidup di Eropah ini. Tetapi di Malaysia, kita boleh 'hidup dengan santainya' sepanjang tahun!


Eropah bersikap terbuka - penduduknya boleh berbuat apa sahaja mereka suka, yalah kerana itu hak asasi kononnya...saya dapat saksikan ada wanitanya dalam keadaan hampir berbogel merakam gambar (atau membuat video) di masjid.  Yalah, ini adalah antara wajah buruk Eropah!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 26, 2022 16:39

August 25, 2022

28 Muharam 1444: Dilema 'pass' U tak ada kerja...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


BEBERAPA tahun lalu, termenung tatkala menatap ‘book list’ (senarai keperluan) sekolah diserahkan seorang anak saya yang tahun depan akan memasuki tingkatan tiga. Pada bahagian bawah ada ditulis ‘jumlah besar’ iaitu sebanyak RM548.00. Ya, banyak sungguh bayaran untuk membolehkan anak-anak ‘back to school’ (kembali ke sekolah).


Saya menyemak senarai keperluan itu, ia tidak menyenaraikan yuran PIBG yang biasa mencecah ratusan ringgit dan bayaran makanan asrama yang boleh mencecah RM1,000 setahun. Jadi bersedialah ibu bapa untuk ‘menyerahkan’ ratusan atau ribuan ringgit bagi seorang anak; persoalannya bagaimana ibu bapa mahu ‘cekau’ (dapatkan) duit sebanyak itu?


Demikianlah sungguh tak keruan ibu bapa dalam menghadapi tahun baharu. Jika perbelanjaan seorang anak boleh mencecah RM1,000 bagaimana bagi pasangan yang mempunyai lima anak di bangku sekolah? Nampaknya macam tak logik bagi sebuah keluarga untuk menyediakan RM5,000 sedangkan pendapatan ayah + ibu tak sampai sebanyak itu. Namun itulah realiti…kehidupan perlu diteruskan walau bagaimana sukarnya cabaran mendatang.


Pada ketika saya ‘terhenyak’ menatap ‘book-list’ itu, terlihat saya sebuah laporan di media sosial yang menyebut seorang perwakilan parti politik secara bersahaja mengajak pemimpin turut sama beratur membeli minyak masak dalam paket satu kilogram bagi memahami suasana dihadapi rakyat.


Pemimpin turut dicadangkan supaya menaiki bas henti-henti yang disediakan kerajaan.  Cadangan itu disuarakan perwakilan itu bagi menyatakan kos sara hidup yang dihadapi rakyat sejak kebelakangan ini.

,

Perwakilan juga berapi-rapi membahaskan tanah orang Melayu yang semakin ‘terhakis’ tetapi bak kata ‘orang Utara’ wal hasil balik asal.


Berbalik kita kepada ‘cerita sekolah’ tadi, nampaknya  ibu bapa pada ‘zaman ICT’ sekarang ini perlu bergolok gadai (macam zaman dulu-dulu pula), melakukan pelbagai pekerjaan halal (menteri suruh melakukan dua kerja atau lebih) dan mengikat perut masing-masing bagi menyediakan anak-anak agar berjaya dalam persekolahan.


Mereka juga menebalkan muka berhutang kepada majikan dan saudara-mara jika wang yang disediakan tidak mencukupi kerana perbelanjaan persekolahan dan pengajian tinggi terlalu besar. Anak-anak pula ‘dibiasakan’ atau terpaksa meminjam wang PTPTN yang kerap benar menimbulkan masalah kepada mereka kemudiannya.


Seorang rakan saya mendakwa keluarga paling teruk membiayai perbelanjaan anak-anak adalah daripada golongan pertengahan (sederhana) seperti dirinya dan saya sedangkan golongan kaya tidak terasa apa-apa manakala golongan miskin menerima pelbagai bantuan seperti biasiswa (di IPT) dan diberi pengecualian pembayaran yuran dengan syarat anak-anak cemerlang dalam pelajaran.


Bijak pandai ada berkata di sebalik kesusahan ada kesenangan; ungkapan Melayu menyebut, berakit-rakit dulu berenang-renang kemudian, bersakit-sakit dulu bersenang-senang kemudian.


Yalah, selepas bersusah payah termasuk bergolok gadai untuk melihat anak-anak berjaya dan terus berjaya sehingga ke menara gading, tentulah ibu bapa akan tersenyum panjang melihat mereka meniti kejayaan termasuklah semasa menerima ijazah pada majlis konvokesyen.


Namun sedarlah wahai pembaca sekalian, sejumlah besar anak-anak muda yang bergelar graduan itu termasuk dalam bidang perubatan adalah PENGANGGUR! 


Demikianlah, sekarang ini graduan perubatan dan kejuruteraaan pun sukar dapat kerja, cuba bayangkan nasib graduan dalam bidang lain. Ramai anak-anak muda hatta berkelulusan sarjana pun tiada kerja, tetapi kerajaan tetap mendabik dada “kitalah yang terbaik di seantero dunia!”


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 25, 2022 17:05

August 23, 2022

26 Muharam 1444: Ikan busuk daripada kepalanya...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)


ADA pepatah Cina berbunyi 'ikan busuk biasanya daripada kepalanya'. Jika bahagian lain busuk, hampir pasti kepalanya sudah busuk. Jika pemimpin busuk hampir pasti rakyatnya juga busuk. Namun harap-haraplah tidaklah begitu!


Jika pemimpin bersih, yang di bawahnya insya-Allah akan mengikuti. Jika pemimpin tidak bercakap sesuatu yang buruk mengenai 'kepala', insya-Allah rakyat juga tidak akan bercakap mengenainya.

 

Mengenai memburukkan 'kepala' ini, ada hadis menyebut menghina bapa orang lain termasuk dosa besar. Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Sa’id telah menceritakan kepada kami al-Laits daripada Ibnu al-Had dari Sa’ad bin Ibrahim dari Humaid bin Abdurrahman dari Abdullah bin Amru bin al-Ash bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Antara dosa besar adalah seorang laki-laki mencela kedua-dua orang tuanya. Para sahabat bertanya, 'Wahai Rasulullah, ‘Apakah (mungkin) seorang laki-laki mencela orang tuanya?‘ Baginda menjawab: 'Ya. Dia mencela bapa seseorang lalu orang tersebut (membalas) mencela bapanya, lalu dia mencela ibunya, lalu orang tersebut (membalas) mencela ibunya'. - Hadis diriwayatkan Imam Muslim

Wahai semua, sedarlah bagaimana sikap dan perlakuan pemimpin, begitulah tindak tanduk rakyat terutama generasi muda. Jika pemimpin tergamak bercakap kotor, anak muda akan lebih dahsyat lagi. Pepatah Melayu ada menyatakan 'jika guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari...'

Ya, kita berharapkan pemimpin kencing duduk (hakikatnya kencing bertinggung), maka rakyat pun kencing duduk. Syukur, jika guru kencing duduk, anak murid pun kencing duduk. Baik pemimpin, baiklah rakyat;  jahat pemimpin jahatlah rakyat.

Ada sebuah hadis diriwayatkan oleh Ibnul Abdul Barr dan Abu Naim bermaksud: "Telah bersabda Rasulullah SAW; 'Dua golongan daripada umatku, apabila mereka baik, baiklah manusia dan apabila mereka rosak, rosaklah manusia. Itulah dia pemimpin dan ahli fiqh (ulama)'.”

Anak-anak muda yang rosak akhlaknya, secara tidak langsung menggambarkan perihal pemimpinnya. Mereka cerminan pemimpin. 'Bapa borek anak rintik'; 'bagaimana acuan begitulah kuihnya', 'apa yang disemai itulah yang dituai'. 

Dewasa ini terserlah ramai pemimpin pandai cakap tetapi tak pandai bikin (tak praktikkan apa yang mereka syarahkan). Misalnya, mereka mengesyorkan rakyat hidup secara wasatiyyah (sederhana) tetapi mereka hidup boros, termasuk 'menghanguskan' wang kerajaan bagaikan harta milik sendiri. 

Apabila pemimpin cakap tak serupa bikin, rakyat pun cakap tak serupa bikin; jika pemimpin zalim, rakyat pun zalim kepada orang bawahan; apabila pemimpin berbohong rakyat pun jadi pembohong; dan apabila pemimpin pecah amanah dengan mengamalkan rasuah, rakyat pun terikut sama. 

Jika pemimpin melakukan pembunuhan; pembunuhan pun akan berleluasa dalam negara. Jika pemimpin kaki rasuah, rakyat juga gemarkan rasuah. Jika pemimpin kaki judi, kaki betina, rakyat pun mempunyai kecenderungan sama. 

Jika pemimpin negara dan politik tidak dapat menunjukkan contoh baik, bagaimana golongan muda dapat diharapkan menjadi warga baik pada masa depan. Jika pemimpin 'main kotor', maka anak muda pun belajar 'main kotor'. Jika pemimpin berdusta melalui media massa pengampu, rakyat juga akan berdusta melalui media sosial yang berlambak sekarang ini.

Jadi, ingatlah wahai diri sendiri dan semua terutama pemimpin termasuk bapa sebagai ketua keluarga, jika guru (pemimpin) kencing berdiri, anak murid (rakyat) kencing berlari, jika pemimpin kencing 'duduk' (bertinggung), insya-Allah, rakyat termasuklah generasi muda akan juga kencing duduk.

Kini banyak pihak dan pemimpin gila untuk terus berkuasa atau sekurang-kurangnya menjadi calon pilihan raya. Mereka sanggup berbuat apa saja. Fitnah termasuk dalam hal-hal sangat jelik seperti tuduhan seks menjadi 'basahan' bagi mereka. 

Berdasarkan perkembangan politik semasa, kita berasa sedih dan jijik dengan perlakuan sesetengah pemimpin politik. Mereka seolah-olah mengesahkan tanggapan bahawa politik itu kotor; untuk berkuasa seseorang itu perlu bijak mencuri peluang sekalipun haram kerana matlamat menghalalkan cara (Machiavelli). Matlamat tidak menghalalkan cara. Buatlah apa sekalipun, yang hak tetap hak dan yang batil tetap batil. Yang haram tetap haram, yang halal tetap halal. 

Jika pemimpin 'main kotor', maka anak muda pun mula 'main kotor'. Jadi anak muda bercakap kotor termasuk membabitkan 'hal kepala' jangan hanya salahkan mereka. Mereka adalah cerminan pemimpin - jika guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 23, 2022 16:47

August 22, 2022

25 Muharam 1444: Henti bazir makanan

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)


SESEKALI saya sekeluarga bertukar selera - makan di restoran Arab. Biasanya makanan Arab disediakan dalam 'portion' (hidangan) besar. Kerap benar kami tidak mampu menghabiskannya. 


Apa yang menggembirakan di restoran Arab kita boleh meminta pelayan 'mentapau' (membungkus) lebihan makanan untuk dibawa pulang. Mereka selalunya gembira melakukannya - buktinya selain senyum mereka memasukkan makanan itu bungkusan baru yang kemas dan cantik. Mereka tidak merungut sikit pun.


Namun ketika makan di gerai atau restoran Melayu saya jarang meminta pelayan membungkus makanan yang tak habis di makan. Sebab apa? Ini kerana muka pekerja atau pemilik kedai dilihat kerap masam mencuka menakutkan pelanggan. Saya pun hampir tidak pernah menyaksikan pelanggan yang meminta makanan yang tak dihabiskan, dibungkus untuk dibawa pulang.


Yalah, kerap benar di gerai atau restoran, saya lihat makanan yang masih berbaki separuh atau suku pinggan dibuang begitu saja. Di majlis orang kahwin pun sama. Ada tetamu mengambil nasi dan lauk bertimbun. Ramai tetamu  makan tak habis, dan paling menyedihkan mereka membasuh tangan di atas lebihan makanan itu. Malah ada yang menggunakan ketulan nanas dan potongan buah limau untuk mencuci (meramas) tangan - kononnya bagi menghilangkan kesan minyak.


Demikianlah, sayang seribu kali sayang, ramai orang melakukan pembaziran makanan; mungkin sesetengahnya tidak pedulikan langsung sebuah hadis yang menyebut bahawa pembaziran itu adalah kawan syaitan.


Berdasarkan senario ini dan di pelbagai tempat lagi, statistik menunjukkan  jumlah sisa makanan yang dibuang di Malaysia amatlah mengejutkan: setiap hari, kira-kira 3,000 tan metrik sisa makanan yang pada asasnya tidak disentuh dan masih boleh dimakan telah dibuang oleh isi rumah dan jumlah itu adalah mencukupi untuk memberi makan dua juta orang yang kelaparan.


Secara keseluruhannya, semua jenis sisa makanan terbuang yang membentuk kira-kira 40 peratus atau 15,000 tan metrik, adalah sisa harian isi rumah di Malaysia. Angka-angka ini adalah berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2015.


Berdasarkan ini, kita berpendapat kerajaan kita dan rakyatnya perlu mengubah orientasi dalam bab mengenai makanan ini. Kita dilihat terlalu 'menekankan' mengenai 'bab makan' ini - sebagai contoh pada ketika pegawai bermesyuarat atau berkhusus 'makanan adalah mewah' sehingga ada mendakwa 'mereka makan lima kali sehari'. Demikian juga majlis perjumpaan politik atau hari terbuka perayaan...rakyat 'diajar' untuk makan dan makan! Di sini banyak berlaku pembaziran makanan...jika bapa (pemimpin) borek, anak (rakyat) rintek.


Baru-baru ini Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan satu laporan yang menyatakan Perancis sebagai negara paling kurang membazir makanan. Pengguna di negara ini membuang kira-kira 67.2 kilogram makanan setiap orang setahun berbanding 95.1kg di Amerika Syarikat, 87.1kg di Belgium dan 78.2kg di Kanada.


Di Perancis sudah diperkenal peraturan semua pasar raya wajib 'menyedekah' produk makanan lama kepada rumah kebajikan demi elak pembaziran. Ya kenapa agaknya di negara maju Barat boleh dikurangkan pembaziran makanan sedangkan di  negara kita malah di negara Arab/Islam yang kaya raya seperti  Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berlaku pembaziran makanan yang melampau? Dilaporkan di UAE, 500 tan makanan dibuang setiap hari pada bulan Ramadan.


Ada cendekiawan mengesyorkan Akta Pembaziran Makanan di­wujudkan di negara ini bagi me­ngatasi budaya pembaziran dalam kalangan rakyat terutamanya yang dilihat banyak berlaku sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.


Akta ini perlu diperkenalkan segera dan pelbagai jenis tindakan undang-undang berbentuk pe­nalti boleh diwujudkan untuk diambil terhadap individu atau organisasi yang melakukan atau terlibat dalam aktiviti pembaziran tanpa me­ngira waktu dalam negara ini. Yalah, adalah baik untuk kita memikirkan hal ini walau sejenak cuma!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 22, 2022 16:46

August 21, 2022

24 Muharam 1444: Betulkan kebiasaan salah yang dianggap kebajikan (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah Yunus 62)


Pada salah satu pengajian seorang ustaz yang saya ikuti, dia memberitahu kaedah fiqh mendahulukan yang utama daripada yang kurang utama. Tidak ingat saya apa istilah bahasa Arab yang disebutnya. Misalnya apabila bertembung amalan wajib dan sunat pada suatu-suatu masa, perlu mengutamakan yang wajib daripada sunat.


Contoh diberikan, jika kita sampai ke masjid dalam keadaan bilal bersedia mengiqamatkan sembahyang, adalah tidak wajar untuk kita sembahyang sunat. Sembahyang jemaah itulah yang perlu diutamakan.


Semasa berada di Masjidilharam pula, kita disunatkan untuk mengucup Hajar Aswad. Namun orang terlalu sesak dan untuk mendekati Hajar Aswad kita perlu berasak-asak. Mungkin ada orang kita sakiti.


Menyakiti orang lain hukumnya haram dan wajib dijauhi. Jadi dalam kes ini, tidak perlulah kita mendapatkan sunat mengucup Hajar Aswad tetapi mendapat dosa dengan menyakiti orang lain. Ertinya wajib menjauhi menyakiti orang perlu diutamakan daripada mendapatkan sunat mengucup Hajar Aswad.


Apabila ustaz membuka ruang kepada soalan, saya pun lantas bertanya: "Ustaz ada menerangkan kaedah fiqh, mendahulukan yang utama; jadi saya mahu bertanya berkenaan dengan situasi ketika solat Jumaat. 


"Saya perhatikan di kebanyakan masjid ketika imam (khatib) sedang membaca khutbah, jemaah menolak tong-tong duit yang beroda. Malah ada di sesetengah masjid, seorang petugas berjalan dari saf ke saf menghulurkan karung kepada jemaah bagi mengutip derma. Banyak jemaah menderma, mungkin ada yang malu dengan orang sebelah.


"Apakah hukumnya itu sedangkan kita tahu hukum mendengar khutbah Jumaat adalah wajib sedangkan menderma itu sunat saja. Bagaimana kedudukan kaedah fiqh tadi, mendahulukan yang utama daripada yang kurang utama?"


Ustaz menyatakan memang benar hukum mendengar dan menghayati khutbah Jumaat adalah wajib, ada di sesetengah masjid sebelum khatib menyampaikan khutbah, bilal membacakan sebuah hadis yang menyatakan, "akan sia-sialah Jumaat seseorang itu jika dia bercakap-cakap hatta menyuruh sahabatnya diam."


Jadi, menurut ustaz perbuatan mengeluarkan duit dan memasukkannya dalam tong-tong yang diedarkan sewajarnya tidak dilakukan pada waktu khatib sedang berkhutbah. Ini kerana apa yang perlu dilakukan ketika itu adalah menumpukan sepenuh perhatian kepada khutbah.


Itulah yang wajibnya sedangkan menderma itu hanya sunat. Mengikut kaedah fiqh, yang wajib (mendengar khutbah) perlu diutamakan, dikhuatiri dengan melakukan sesuatu (termasuk menderma) akan melanggar hak wajib yang dikhuatiri boleh membuatkan seseorang yang melakukannya berdosa.


Ustaz mengesyorkan kepada pentadbiran masjid melakukan kegiatan mengutip derma sebelum khutbah Jumaat ataupun sesudah selesai solat Jumaat. Jemaah perlu difahamkan untuk menderma di luar waktu khatib sedang berkhutbah.


Tetapi persoalannya, bolehkah kebiasaan salah yang dianggap sebagai satu kebajikan ini boleh dihentikan dalam masyarakat? Tentunya tidak mudah, tetapi pihak yang bertanggungjawab termasuklah petugas masjid yang sendiri sibuk mengedarkan tong derma beroda itu perlu difahamkan akan kehalusan hukum hakam agama.


Ustaz menjelaskan ada beberapa lagi kebiasaan salah yang dianggap betul dalam masyarakat Melayu-Islam. Misalnya dalam bab solat berjemaah, biasanya jemaah akan bertolak-tolakkan antara satu sama lain supaya mengisi saf paling depan. Kononnya sifat merendah diri orang Melayu yang mengutamakan orang tua atau orang berpangkat.


"Ini tidak betul," kata ustaz. Menurut beliau sewajarnya setiap orang berebut-rebut untuk mendapatkan kedudukan pada saf pertama, apatah lagi yang paling hampir dengan imam. Bagi jemaah lelaki, yang terbaik adalah berada di saf paling depan, sebaliknya bagi jemaah perempuan, yang terbaik adalah yang di belakang sekali.


Ustaz memberitahu, dalam soal-soal ibadat, seseorang itu perlu mengutamakan dirinya dulu daripada orang lain. Namun dalam soal membabitkan keduniaan, seseorang itu perlu mengutamakan orang lain daripada dirinya sendiri.


Tetapi malangnya orang Melayu sudah terbalik cara penerimaan dan kebiasaannya. Misalnya, apabila seseorang itu mengajak rakannya pergi sembayang di masjid dia akan berkata: "Awak pergilah dulu." Sepatutnya dia perlu segera menyahut seruan itu kerana mengutamakan ibadat untuk dirinya sendiri.


Namun dalam hal dunia, kebanyakan orang mengutama dan membiasakan dirinya dulu. Misalnya dalam bab makan, tuan rumah makan dulu, tetamu kemudian. 


Sedangkan ada kisah Nabi s.a.w. dan seorang sahabatnya pernah menjemput sejumlah orang miskin ke rumah; orang miskin didahulukan minum susu daripada satu bekas sehingga sahabat itu bimbang adakah baki susu untuk dia dan Rasul kerana susunya sedikit; hakikatnya tetap ada kerana berlaku mujizat Nabi dan kebarakahan rezeki yang diutamakan kepada diri orang lain sebelum diri sendiri!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 21, 2022 16:34

August 20, 2022

23 Muharam 1444: Pertahan kemerdekaan, perpecahan bawa padah...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Muhasabah diri

Umar r.a. berkata: "Cukuplah bagi seseorang jika dia melakukan tiga macam;

1. Mencela perbuatan orang padahal dia berbuat seperti itu.

2. Melihat kesalahan orang lain dan tidak melihat kesalahan diri sendiri.

3. Dan mengganggu kawannya dengan perbuatan yang tidak penting baginya.


ALHAMDULILLAH, ketika dalam penerbangan ke Eropah, saya berkenalan dengan seorang warga Indonesia,  Afriadi Ali dari Jakarta yang dalam perjalanan ke Amsterdam untuk menghadiri satu mesyuarat bisnesnya.


Beliau mengakui bahawa walaupun sudah lama merdeka (Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945), masih banyak pihak termasuk orang dalam dunia perniagaan seperti dirinya menjalin urus niaga dengan orang Belanda yang berpangkalan di Amsterdam.


Mungkinkah situasi ini sama dengan orang Malaysia yang masih memandang 'gah' kota London dan 'mat salih' di sana? Mungkinkah masih banyak pihak dan ramai rakyat Malaysia 'berkiblat' ke London manakala orang Indonesia ke Amsterdam (Belanda) pula. Dalam kunjungan saya ke Belanda tempoh hari,  ditemui sejumlah syarikat dagang Indonesia di sana.


Berbalik kepada kisah lama Belanda-Kepulauan Melayu (The Malay Archipelago) mungkin ada bertanya apa hebatnya orang Belanda kerana dapat menjajah Nusantara (Indonesia) lebih 350 tahun?  Hakikatnya, soalan ini salah sama sekali. 


Belanda tidak menjajah Kepulauan Melayu atau Nusantara selama itu. Wilayah terakhir ditawan, Aceh hanya dapat dikuasai mulai 1904. Ditolak dengan penguasaan Jepun selama beberapa tahun, wilayah ini tidak sampai 40 tahun dikuasai Belanda.


Jarak tahun di antara kejatuhan tanah pertama di Nusantara iaitu pendudukan haram di Banten di Jawa Barat pada 1596.dan kejatuhan Jayakarta (Jakarta) pada 1619 yang kemudian dinamai Batavia dengan penawanan Aceh (1904) adalah lebih 300 tahun...jadi Belanda memerlukan masa lebih 300 tahun untuk menundukkan semua kerajaan di Nusantara. Sepanjang masa itu ada banyak kerajaan berdaulat di rantau ini dengan Belanda menguasai wilayah yang kecil sahaja.


Kenapa kerajaan-kerajaan di 'Malay Archipelago' ini jatuh satu demi satu kepada Belanda? Yalah, walaupun lewat tetapi tetap jatuh.


Afriadi Ali berkata ini sebahagiannya disebabkan tiada kesatuan dan kesepakatan antara kerajaan-kerajaan terbabit. Kebanyakannya menghadapi kemaraan Belanda secara 'sendiri-sendiri' malah ada yang menolong Belanda menyerang sesama bangsa dan agama pula! Malah ada kerajaan-kerajaan Melayu Sumatera Timur yang menyerang kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu pula, yalah misalnya Siak Indrapura pernah menyerang Selangor!


Hari ini, Indonesia (merdeka, 17 Ogos 1945) dengan wilayah dari Sabang (Aceh) sampai Merauke (Papua) tidak mampu (boleh) berpecah lagi, kata Afriadi.


Perpecahan akan membawa kepada malapetaka; dahulunya kerajaan-kerajaan rantau ini bersaing sesama sendiri menyebabkan sebuah demi sebuah jatuh ke tangan Belanda - si penjajah rakus dari benua Eropah yang bersaing dengan negara seperti Portugal, Sepanyol, Perancis dan Inggeris bagi menguasai dunia.


Selain kemantapan dalam negara, negara-negara serantau apatah lagi serumpun seperti Malaysia dan Indonesia tidak wajar berkonflik dan berpatah arang kerana 'mata-mata asing' sedang memandang tajam bagai sang helang hendak menerkam mangsanya. Sedarlah bahawa radar asing (Big Brother) sedang mengawasi kita, bahkan sebahagian 'jentera perang'nya seperti konten medium komunikasi asing sudah menyerap dalam masyarakat kita. Inilah penjajahan bentuk baharu yang perlu diawasi.


Berbalik kepada penjajahan lama, mungkin tak terfikirkan kita bagaimana Belanda, sebuah negara kecil dengan penduduk yang kecil juga (sekarang penduduk Belanda hanya 17 juta orang) dapat menguasai sebuah rantau luas yang sekarang bernama Indonesia dengan jumlah penduduknya 275 juta?


Namun pembaca perlu ingat mulai abad ke-17, Belanda sudah menjadi kuasa perindustrian dan  perdagangan (ekonomi) termasuk perkapalan yang terkuat di Eropah. Rotterdam menjadi pelabuhan tersibuk Eropah. sebagai pusat entrepot -  barangan dari seluruh Eropah dibawa masuk ke sini dan kemudian diperdagangkan di seantero dunia.


Golongan pedagang dan perbankan Eropah bertumpu ke sini, kemudahan dan industri berkembang maju dengan penciptaan dan pembaharuan peralatan kerja seperti kincir angin dan kincir air. Perlu disedari bahawa 50 peratus tanah Belanda berada di bawah paras laut, menyebabkan penduduknya berinovatif dan berkreatif tinggi dalam menjayakan kelangsungan hidup. Mereka dapat memajukan tanah pertanian dan akhirnya menjadi antara negara pengeksport bahan makanan terbesar dunia. Malah hari ini Belanda muncul antara negara terkaya dunia!


Salah satu cara lain orang Belanda untuk memperkaya diri dan negara adalah 'dengan meluaskan sempadan' negara...pelayar, peneroka dan 'penjarah' mencari 'dunia baharu' apatah lagi mendapatkan galakkan kerajaan termasuk raja dan ratunya.


Salah seorang yang terkenal antara mereka adalah Ratu Wilhelmina (1890-1948)  yang mahu 'The Malay Archipelago' (Indonesia) terus dijajah Belanda sekalipun Presiden Sukarno sudah mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945. Sekalipun berkeras, Wilhelmina gagal, dan terpaksa menyerahkan takhta pada 1948, dan mati pada 1962.


Selain itu, penubuhan Vereenigde Oost Indische Compagnie iaitu Sarekat (Syarikat) Hindia Timur Belanda (VOC) pada 1682 yang diberikan hak-hak istimewa untuk memonopoli aktiviti-aktiviti perdagangan yang penting pada masa itu di samping diberi kebenaran untuk mengadakan perjanjian dengan pemerintah-pemerintah tempatan, menakluki serta menubuhkan koloni, semuanya merancakkan usaha Belanda untuk menguasai dan menjarah dunia! Ya pada zaman keemasannya, syarikat ini menjadi yang terbesar dan terkaya di dunia...ini membolehkan Belanda dengan raja dan ratunya menguasai dunia!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 20, 2022 17:30

August 18, 2022

21 Muharam 1444: Gila pamer gambar, gila mengampu…(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah." 


ADA parti politik sekarang ini sudah melancarkan 'jentera perang' pilihan raya masing-masing. Sesetengahnya yakin pilihan raya umum ke-15 akan diadakan hujung tahun ini. Mereka dah tak sabar-sabar 'nak berjuang' dan menang!

Dahulu kita lihat tiang-tiang elektrik di tengah dan tepi jalan raya menjadi sasaran sesetengah pihak yang begitu ghairah mempamerkan gambar pemimpin tertentu. Tiang elektrik digantung ‘banner’ (sepanduk) dan 'bunting' memanjang dengan gambar pemimpin utama negara tersengih di depan manakala pemimpin negeri tersengih di belakang. 

Tentunya gambar yang digunakan adalah yang terbaik (mungkin sudah di’touch up’) daripada koleksi pemimpin berkenaan. Kelihatan berseri-seri dan ‘handsome’nya mereka. Latar belakang ‘banner’ itu pula diungkapkan pelbagai kata-kata memancing sokongan atau menunjukkan kehebatan mereka mentadbir negara dan negeri.

Juga kedapatan ‘banner’ serta 'bunting' gambar isteri pemimpin negara dengan ‘wajah ayunya tersenyum’ di tiang-tiang elektrik. Tertera perkataan menyatakan bahawa wanita hebat tersebut adalah penyeri kepada majlis pihak tertentu. Sama seperti gambar si suami yang ‘handsome’, gambar si wanita itu mungkin yang terbaik dimilikinya – berwajah cantik persis primadona. Kemungkinan juga gambar si wanita ini sudah di’touch up’ bagi menampakkan keayuan si pemiliknya.

Demikianlah apabila sudah hampir benar pilihan raya, semakin tak keruan sesetengah pihak yang ada kepentingan. Menyaksikan gambar pemimpin dan isteri di tengah-tengah dan tepi jalan raya mengingatkan saya pengajian mingguan seorang ustaz di sebuah masjid berhampiran rumah saya yang mengupas hadis-hadis diriwayatkan Imam Tirmidzi dan disyarahkan oleh Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi melalui kitabnya Bahrul Mazi.

Tidak lama dahulu, ustaz itu mengupas hadis berkenaan gambar yang antara lain bermaksud: “Dari 'Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah s.a.w. melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu daripada wajah baginda bahawa baginda tidak senang. 

Berkata 'Aisyah: "Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku? Rasulullah s.a.w. kembali bertanya: "Bantal-bantal apakah itu?" Jawab 'Aisyah, "Aku membelinya sebagai tempat duduk tuan atau tempat tuan bersandar." Sabda Rasulullah s.a.w.: "Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: "Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!" Kemudian baginda bersabda: "Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu." 

Apa yang dimaksudkan dengan gambar pada hadis ini adalah sesuatu yang mempunyai roh sekalipun tidak mempunyai bayang dan tidaklah termasuk dengan gambar yang tidak mempunyai roh seperti pohon-pohon kayu. Dan yang dimaksudkan dengan malaikat pada hadis ini ialah malaikat yang membawa rahmat kepada penghuni-penghuni rumah.Adapun malaikat pencatat amal dan malaikat maut tiadalah berpisah mereka daripada seseorang anak Adam. 

Ya, kata ustaz, malaikat maut iaitu Israil tetap akan mencabut nyawa seseorang dalam rumahnya sama ada di dalam rumahnya ada gambar atau tidak. Demikian juga dalam sesebuah rumah ada patung, malaikat maut tidak peduli itu semua. 

Mendengar penerangan ustaz itu, sebaik saja berada di rumah hari itu, segera saya turunkan bingkai gambar saya sekeluarga yang berdiri di depan Kaabah ketika mengerjakan umrah beberapa tahun lalu. Demikian juga beberapa gambar lain termasuk gambar anak-anak menerima sijil dan ijazah mereka. 

Seorang sahabat sekuliah di masjid juga mengakui dia sudah menurunkan gambar-gambar yang digantung di dinding rumahnya. Antaranya gambar dia sekeluarga semasa anaknya menerima ijazah universiti. Katanya apabila si anak itu balik, dia marah-marah, bertanya kenapa diturunkan gambar-gambar kenangan itu. Lantas dia berkata, “Itu tak boleh nak, dulu bapak jahil, kini bapak dah dimaklumkan ustaz mengenai hal itu. Jadi kita ikut dan taatlah!” 

Ya, jika gantung gambar di rumah ada larangannya, bagaimana kesukaan dan kecenderungan sesetengah pihak sekarang yang gemar sekali mencari publisiti murahan dengan menggantung gambar pemimpin di tiang-tiang elektrik malah di mana saja ada kesempatan. 

Hampir sudah pasti pihak yang terbabit dalam kerja-kerja penggantungan gambar ini, mempunyai kepentingan masing-masing; ada yang mencari peluang untuk membodek pemimpin, 'moga-moga aku dipilih sekali lagi menjadi calon PRU, lebih baik lagi jika ke kedudukan lebih tinggi'. 

Jika dahulu hanya Adun, manalah tahu tuah badan, jadi ahli Parlimen pula; jika dulu timbalan menteri melalui 'pintu senator' apa kata kali ini jadi ahli Parlimen lantas jadi menteri. Jika dahulu ketua menteri atau menteri besar, mana tahu tuah badan akan menjadi menteri. 

Akhir kalam, 'bergantunglah hanya pada Allah SWT (usahlah gantung banyak-banyak gambar di jalan raya tu), insya-Allah akan selamat dunia dan akhirat!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 18, 2022 17:03

August 17, 2022

20 Muharam 1444: Buat kerja, ibadah biar orang nampak? (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)


TIDAK lama dahulu ketika berbual-bual dengan bapa saya yang sudah berusia lebih 80 tahun, terpantul pantun dua kerat ini daripada mulutnya - Tebang buluh pakai kapak, buat kerja biar orang nampak.


Selain kerja, dalam menunaikan ibadah pun orang nak menunjuk-nunjuk. Misalnya, biar orang nampak aku solat, kalau tak, 'depa' asyik mengata aku kaki tak solat.


Demikianlah, sekarang ini hampir semua orang buat kerja biar orang lain terutama 'bos' nampak. Misalnya, selalu saya lihat 'Mat Bangla' yang buat kerja kasar seperti membersih longkang akan 'angkat gambar' untuk dihantar kepada 'bos'.


Demikian juga kontraktor atau mandur, apabila sesuatu kerja sudah dibereskan, mereka juga akan 'angkat gambar'. Ada juga yang mengambil gambar ketika buruh-buruh sedang bekerja.


Mengenai ambil gambar 'ketika bekerja' ini sudah menjadi amalan biasa dalam semua bidang pekerjaan. Cikgu pun ambil gambar ketika menjalankan aktiviti bersama anak murid, malah 'orang masjid' pun dijangkiti amalan sama.


Bukan pekerja saja 'ambil gambar', orang 'beribadat' pun sama. Misalnya, selepas solat tahajud, dia ambil gambar ketika berpakaian solat seperti telekung dan menulis - "done (sudah) bertahajud."


Jika orang awam 'kerap bergambar' untuk membuktikan dia 'buat kerja', orang politik pun sama. Tunggulah, menjelang PRU nanti sibuklah mereka 'melakonkan sesuatu aksi' seperti minum kopi di warung kampung atau sedang 'menoreh getah', kemudian 'bergambar' untuk dihebah-hebahkan kepada semua.


Pemimpin 'cap kangkung' memang ramai, tetapi amat-amatilah bahawa pemimpin yang hidupnya bersandarkan al-Quran dan hadis tetap 'mewangi' sepanjang zaman tanpa perlu menunjukkan dia membuat kerja itu dan ini. Pemimpin jenis ini tidak termasuk dalam golongan disebutkan dalam pantun, tebang buluh guna kapak, buat kerja biar orang nampak.


Ya, hanya pegangan kepada al-Quran dan sunnah saja yang dapat menyelamatkan seseorang. Orang awam jangan mudah terpedaya termasuk menyakini tokoh-tokoh tertentu dengan 'gambar-gambar sedang beraksi' sebagai bukti mereka 'kaki bekerja' atau lebih penting lagi amanah dalam pekerjaan mereka.


Jika seseorang itu mahu dijadikan contoh, hanya insan yang hidupnya berpandukan al-Quran dan sunnah saja boleh diikuti.


Inilah pesan seorang ustaz dalam tazkirah yang diikuti penulis. Kata ustaz itu, selagi kita berpegang kepada al-Quran dan sunnah, kita tidak akan sesat selama-lamanya.


Semua perjuangan berdasarkan isme dan sanjungan kepada tokoh akan punah akhirnya. Lihatlah akan isme komunis yang diamalkan oleh empayar paling hebat dalam era moden, Soviet Union, akhir tumbang menyembah bumi selepas 70 tahun berkuasa.


Tokoh-tokoh pujaan dunia daripada Firaun pada zaman purba kepada Stalin, Churchill, Kennedy, Nixon, Mubarak, Zein el-Ebiden, dan Saddam semuanya hancur. Demikian juga pemimpin dari rantau Asia seperti Marcos, Suharto dan terkini Kim Jong il.


Insan yang bergantung kepada tokoh ternama untuk mencari kepentingan peribadi akan dimalukan sendiri oleh 'masa'.


Dalam perjuangan umat dan pergerakan Islam, kemenangan yang hendak dicapai bukan hanya di peringkat tempatan dan nasional tetapi juga untuk kepentingan ummah secara global dan yang terpenting, di akhirat sana.


Jadi antara cabaran pergerakan Islam ialah tanggungjawabnya terhadap Islam manakala tuntutan ke atasnya bukan setakat melaksanakan tuntutan agama bersifat individu tetapi jemaah dan perjuangannya bersifat global. Musuh bukan bersifat tempatan saja tetapi bersifat global.


Pemimpin akan datang dan pergi tetapi perjuangan untuk menegakkan penghidupan berpandukan al-Quran dan sunnah akan tetap berlangsung.  


Bagi individu Muslim, perjuangan itu sepanjang hayat manakala bagi umat dan jemaah Islam, ia akan berterusan sehingga hari kiamat. 


Muslim sejati termasuk pemimpinnya tidak perlu menunjuk-nunjuk dalam kerja mereka termasuk dalam media sosial baharu; bagi mereka penilaian Allah SWT yang penting, bukan yang dibuat oleh sesama manusia!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 17, 2022 16:57

Roslan Hamid's Blog

Roslan Hamid
Roslan Hamid isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Hamid's blog with rss.