Rebecca Ilham's Blog, page 14
March 24, 2013
Melbourne: Sebuah Kota Buku II
Selain buku baru (something new) dan buku bekas (something old), semasa di Melbourne, saya turut berkesempatan menyinggahi beberapa perpustakaan (something borrowed) penting di sana.
State Library of Victoria di persimpangan Swanston Street dan La Trobe Street, kira-kira lima minit berjalan kaki dari tempat penginapan. Lamannya yang hijau sentiasa menjadi hamparan tempat pengunjung duduk-duduk berbual, membaca dan bersantai.
Saya masuk ke dalam perpustakaan tanpa ditahan sesiapa, tanpa sesiapa meminta kad keahlian atau mempersoalkan kehadiran saya. Terdapat pameran tentang perkembangan buku di aras 3 jika tidak salah. Di ruang galeri, pameran tetap potret dan lukisan berkaitan sejarah kota Melbourne dipamerkan untuk dinikmati pengunjung, tempatan atau dari luar kawasan. Saya naik ke aras lima dan enam untuk menikmati panorama La Trobe Reading Room dari atas. Mengagumkan sekali bilik bacaan berkubah ini.
The Wheeler Centre merupakan nadi Melbourne sebagai kota sastera. Kompleks pejabat kecil ini terletak di belakang perpustakaan. Di aras tiga, terdapat perpustakaan kecil yang dikendalikan oleh Writers' Victoria, sebuah persatuan penulis. Di situ, buku-buku sastera penting Australian, karya-karya ahli persatuan dan buku serta terbitan berkala persatuan dikumpul untuk bacaan dan rujukan. Terdapat sebuah meja panjang dengan bangku beraneka di ruang itu. Saya duduk mencatat beberapa lama dan tiada seorang pun mempersoalkan kehadiran saya. Saya kemudiannya ditegur oleh seorang wanita separuh umur bernama Margaret dan kami berbual tentang sastera, tentang buku dan bermacam-macam lagi.
Melbourne Athenaeum Library di Collins Street. Saya tidak tahu bahawa perpustakaan ini adalah perpustakaan persendirian; saya masuk, mengelilingi rak-rak buku (rak kayu rekaan lama) lalu duduk dan membuka buku catatan. Wanita petugas perpustakaan datang menegur, bertanya apakah saya ahli perpustakaan. Saya mengatakan tidak dan memohon maaf kerana menyangka perpustakaan berkenaan adalah perpustakaan awam. Beliau mencadangkan agar saya memohon keahlian namun saya mengatakan bahawa saya hanya mengembara dan akan pulang malam nanti. Saya sudah bersedia untuk beredar ketika itu namun beliau berkata, "you can sit here today."
Di Collins Street, Melbourne Athenaeum Library berjiran dengan Reader's Feast Bookstore dan Kay Craddock Antiquarian and Rare Books. Semenjak akhir tahun 2012, ketiga-tiga institusi ini telah bergabung menawarkan pengalaman budaya buku dan membaca yang luar biasa di Melbourne. Ia dikenali sebagai Reader's Walk.
Published on March 24, 2013 00:38
March 23, 2013
Melbourne: Sebuah Kota Buku
Menjadi kelaziman, salah satu tujuan utama kembara ke mana-mana, saya akan mencari buku. Kedai, perpustakaan, gerai atau apa sahaja berkaitan buku, tentunya!
Di Melbourne, sebuah kota sastera yang terkenal dengan budaya membaca, tidak boleh tidak, saya membawa senarai beberapa buah kedai buku yang harus dijejak dan dikunjungi. Selainnya, saya menyerahkan kepada takdir dan kudrat kaki menjelajah kota untuk dipertemukan dengan toko-toko unik yang tidak popular dalam carian di search engine.
Akhirnya, inilah sebahagian kedai-kedai buku yang ditemui. Kebanyakannya dikunjungi dan buku/majalah/tanda mata dibeli untuk menanda kunjungan. Namun ada juga kedai-kedai yang tidak sempat dimasuki kerana kekangan masa dek premis perniagaan di Melbourne dibuka hanya sehingga jam lima petang (after that I guess Melburnians go out and have a life).
The Book Grocer cawangan Elizabeth Street yang terletak betul-betul bertentangan dengan tempat penginapan. Konsepnya seperti Book Xcess di Kuala Lumpur. Namun, semua buku berharga $10 atau kurang. Belian: 2010 Best Australian Essay.
Pasar Buku di Federation Square. Diadakan setiap Sabtu jam 9 pagi hingga 5 petang. Saya fikir konsep pasar buku ini berjaya kerana diadakan di tempat teduh, dengan kemudahan kafe, tandas awam serta dekat pula dengan jaringan pengangkutan awam.
Belian di Pasar Buku Federation Square.
Dymocks (for Booklovers) di Collins Place. Belian: Australian Book Review.
Readings cawangan State Library of Victoria. Belian: Monkey Grip (Helen Garner) & The Monthly
Turn the Page di Cowes, Phillip Island. Sudah ditutup ketika kunjungan.
Embiggen Books di Lt. Lonsdale Street, benar-benar bertentangan The Wheeler Centre.
Metropolis Books di Tingkat 3, Curtin House (sangka saya tersalah masuk bangunan kerana pencahayaan sangat malap di tangga menuju ke aras tiga dan premis-premis lain yang seperti, erm...). Kedai buku ini mengkhusus dalam seni dan arkitektur, tetapi masih ada pilihan buku sastera yang baik. Belian: Books vs. Cigarettes (George Orwell)
The Paperback Bookshop di Bourke Street. Mereka juga menjual buku kulit keras. Kedainya kecil tetapi susunan buku berkonsepkan lingkaran memastikan koleksi yang padat dapat dipamerkan. Belian: Meanjin Quarterly.
Horton Books di Smith Street, Fitzroy. Fitzroy is an interesting neighborhood.
The Searchers di Smith Street, Fitzroy. Kedai buku bekas dan rekod vinyl. Belian: Descartes Philosophical Works Vol. 1&2
Beberapa buah lagi toko yang dikunjungi termasuklah:
1. Readings di Lygon Street
2. Readings Bargain di Lygon Court, Lygon St.
3. Reader's Feast di Georges, Collins Street
4. Kay Craddock's Antiquarian and Rare Books
5. Books for Cooks di Gertrude Street
6. Artisan Books di Gertrude Street
7. Hill of Content di Bourke Street
Kebanyakan kedai buku di Melbourne adalah toko-toko indie. Oleh itu, kesemuanya mempunyai karektor tersendiri. Mengunjungi sebuah toko tidak sama dengan mengunjungi toko yang lain. Koleksi buku yang dijual mungkin tidak jauh berbeza, tetapi ada niche pada setiap toko, yang dipamerkan dalam pelbagai cara seperti pengkhususan, cara susun atur buku dan sebagainya. Suatu pengalaman mengujakan untuk penggemar buku pastinya!
Di Melbourne, sebuah kota sastera yang terkenal dengan budaya membaca, tidak boleh tidak, saya membawa senarai beberapa buah kedai buku yang harus dijejak dan dikunjungi. Selainnya, saya menyerahkan kepada takdir dan kudrat kaki menjelajah kota untuk dipertemukan dengan toko-toko unik yang tidak popular dalam carian di search engine.
Akhirnya, inilah sebahagian kedai-kedai buku yang ditemui. Kebanyakannya dikunjungi dan buku/majalah/tanda mata dibeli untuk menanda kunjungan. Namun ada juga kedai-kedai yang tidak sempat dimasuki kerana kekangan masa dek premis perniagaan di Melbourne dibuka hanya sehingga jam lima petang (after that I guess Melburnians go out and have a life).
The Book Grocer cawangan Elizabeth Street yang terletak betul-betul bertentangan dengan tempat penginapan. Konsepnya seperti Book Xcess di Kuala Lumpur. Namun, semua buku berharga $10 atau kurang. Belian: 2010 Best Australian Essay.
Pasar Buku di Federation Square. Diadakan setiap Sabtu jam 9 pagi hingga 5 petang. Saya fikir konsep pasar buku ini berjaya kerana diadakan di tempat teduh, dengan kemudahan kafe, tandas awam serta dekat pula dengan jaringan pengangkutan awam.
Belian di Pasar Buku Federation Square.
Dymocks (for Booklovers) di Collins Place. Belian: Australian Book Review.
Readings cawangan State Library of Victoria. Belian: Monkey Grip (Helen Garner) & The Monthly
Turn the Page di Cowes, Phillip Island. Sudah ditutup ketika kunjungan.
Embiggen Books di Lt. Lonsdale Street, benar-benar bertentangan The Wheeler Centre.
Metropolis Books di Tingkat 3, Curtin House (sangka saya tersalah masuk bangunan kerana pencahayaan sangat malap di tangga menuju ke aras tiga dan premis-premis lain yang seperti, erm...). Kedai buku ini mengkhusus dalam seni dan arkitektur, tetapi masih ada pilihan buku sastera yang baik. Belian: Books vs. Cigarettes (George Orwell)
The Paperback Bookshop di Bourke Street. Mereka juga menjual buku kulit keras. Kedainya kecil tetapi susunan buku berkonsepkan lingkaran memastikan koleksi yang padat dapat dipamerkan. Belian: Meanjin Quarterly.
Horton Books di Smith Street, Fitzroy. Fitzroy is an interesting neighborhood.
The Searchers di Smith Street, Fitzroy. Kedai buku bekas dan rekod vinyl. Belian: Descartes Philosophical Works Vol. 1&2Beberapa buah lagi toko yang dikunjungi termasuklah:
1. Readings di Lygon Street
2. Readings Bargain di Lygon Court, Lygon St.
3. Reader's Feast di Georges, Collins Street
4. Kay Craddock's Antiquarian and Rare Books
5. Books for Cooks di Gertrude Street
6. Artisan Books di Gertrude Street
7. Hill of Content di Bourke Street
Kebanyakan kedai buku di Melbourne adalah toko-toko indie. Oleh itu, kesemuanya mempunyai karektor tersendiri. Mengunjungi sebuah toko tidak sama dengan mengunjungi toko yang lain. Koleksi buku yang dijual mungkin tidak jauh berbeza, tetapi ada niche pada setiap toko, yang dipamerkan dalam pelbagai cara seperti pengkhususan, cara susun atur buku dan sebagainya. Suatu pengalaman mengujakan untuk penggemar buku pastinya!
Published on March 23, 2013 21:01
Melbourne: Kota Yang Meraikan Penulis
Melbourne Town Hall pada tengah hari 9 Februari 2013, musim panas nan terik.Pada petang pertama di Melbourne, hajat menghadiri paling kurang satu acara sastera di Kota Sastera kedua dinobatkan UNESCO ini tertunai.
Saya menghadiri Malam Gala The Wheeler Centre untuk tahun 2013, di Melbourne Town Hall yang terleak di persimpangan Swanston Street dan Collins Street. The Wheeler Centre mendedikasikan malam galanya tahun ini kepada Maurice Sendak, dengan mengundang beberapa orang penulis kontemporari Australia untuk menukilkan sesuatu (catatan, puisi, cerpen) bertemakan "Where The Wild Things Are", karya agung Sendak, dan membacakannya.
Mempersembahkan barangkali ungkapan yang lebih tepat, terutamanya apabila merujuk kepada Anthony Morgan. Beliau sedikit teatrikal (and obscene at some erm, appropriate places), namun mempamerkan kreativiti dalam mengenengahkan karya kepada khalayak awam.
Saya keluar sebelum penulis terakhir memulakan bacaan. Terserempak dengan Anthony Morgan di luar bilik air dan tanpa berfikir untuk kedua kali, tuntas menegurnya. Even if I made a complete blunder of myself, what are the chances we are meeting again? Haha.
Seusai menjengah gerai jualan buku kelolaan Readings dan mendapatkan "Where The Wild Things Are" dan "In The Night Kitchen" (dulu tak sekolah Inggeris, dah besar-besar barulah mencari), saya meninggalkan Melbourne Town Hall, bangunan agam di jalan komersial yang sibuk.
Tidak salah kita meraikan pemikiran penulis besar dengan seminar pemikiran, tetapi ada kalanya, kita juga perlu meraikan imaginasi serta kreativitinya dengan meneruskan legasi yang mereka tinggalkan kepada kita.
Published on March 23, 2013 20:01
March 18, 2013
Hujan Hujung Januari dilancarkan bersama 10 Buku Penulis Wanita Terbitan Terkini ITBM-PENA
Published on March 18, 2013 05:59
March 16, 2013
Malam Suara Al-Aqsa dan Aku Kalis Peluru
Alhamdulillah, projek baru GKLN dengan kerjasama Aqsa Syarif dan Kolej MARA Seremban.Malan Suara Al-Aqsa yang menampilkan bacaan puisi, persembahan dan soft-launch antologi cerpen dan Puisi "Aku Kalis Peluru."
"Aku Kalis Peluru" akan dilancarkan oleh Aqsa Syarif pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 pada akhir April nanti dan akan berada di kedai-kedai buku tidak berapa lama lagi. Buku ini menghimpunkan cerpen dan puisi karya ahli-ahli Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dan hasil jualan akan disalurkan kepada rakyat Palestin.
Dapatkan buku ini untuk menikmati sastera sambil beramal!
Published on March 16, 2013 07:29
March 15, 2013
Melbourne: Kembara Kopi
Tidak!
Kak Shaliz, teman kepada seorang sahabat, memprotes lewat pesanan teks ringkas. Saya baru memaklumkan bahawa cawan kopi pertama yang direguk di kota Melbourne adalah dari Hudsons Coffee. Hudsons merupakan sebuah kafe berantai, yang memiliki banyak cawangan di serata kota nan sinonim dengan budaya kafe dan kopi ini. Saya diserang kantuk petang pertama di ibu negeri Victoria itu, sedangkan akan duduk dua jam di dalam Melbourne Town Hall untuk mengikuti Malam Gala The Wheeler Center. Tiket ditempah lebih sebulan lalu maka tentunya saya enggan tersengguk pada malam yang bertemakan “Where The Wild Things Are”, satu penghargaan kepada penulis buku kanak-kanak tersohor, mendiang Maurice Sendak.
Kopi dari HudsonsJusteru, sebaik membelok dari Elizabeth Street ke Swanston Street (saya berjalan kaki dari tempat penginapan, beberapa blok ke utara), mata terus mengecam Hudsons. Saya tidak tahu, belum tahu sebetulnya, piawaian kafe di Melbourne, yang saya pasti, kaki diharamkan menjejak Starbucks dan Gloria Jean’s Coffee. Kedua-dua kafe ini berceratuk di Kuala Lumpur, apa gunanya kembara kalau masih mahu duduk dalam zon selesa? Maka, sebaik masuk ke dalam kafe di penjuru Swanston dan Collins Street itu, saya pantas sahaja memesan segelas amerikano panas (ini minuman piawai saya jika betul-betul hendak merasai kopi).
Tidak, tidak, tidak. Kamu harus cuba kafe-kafe ini…
Kak Shaliz mengirim pesanan teks panjang, menyenaraikan tujuh buah kafe yang dakwanya menggambarkan budaya kafe Melbourne yang unik.
Dalam percubaan membela diri (and to prove that I actually have a good taste :P), saya menyitirkan pengalaman minum kopi dan bersarapan di sebuah kafe di Carlton pagi itu. Di kafe bernama Woodside Green itu, tulis saya lewat pesanan teks juga, baristanya iras Adam Levine. Saya memesan tetapi dia mencenung saya sejenak sebelum tangan ligat di mesin espresso. Entah mengapa mulut saya menjadi ringan, lalu bertanya, “Tak selalu agaknya pelanggan minta amerikano?”
Kopi dan mufin ceri di Woodside Green“Selalunya pelanggan sebut long black. Tak apa, saya tahu apa yang awak maksudkan,” barista itu menjawab ramah. Saya turut memesan homemade muffin, lalu mengambil tempat duduk. Woodside Green tidak besar, dekonya berkonsep rencam namun mengutamakan kayu dan perabot vintage. Buku-buku bekas disusun tidak terlalu kemas di atas rak berlaci, sementara pengunjung di meja hadapan menghirup kopinya sambil membentang akhbar The Age edisi terkini. Sedang enak meneguk kopi hitam panas dan mengunggis mufin ceri, sekumpulan eksekutif lengkap berpakaian pejabat masuk ke ruang kafe lantas menghuni meja besar enam kerusi di sisi meja kecil saya. Mereka masing-masing membawa buku nota dan mula bermesyuarat sebelum salah seorangnya ke kaunter membuat pesanan.
Wah, detik hati saya, orang Melbourne memang serius dengan kopi! Hatta pengalaman di Amerika pun tidak mempersiapkan saya dengan kegilaan Melburnian terhadap minuman berkafeina ini.
Tentu!
Balas Kak Shaliz. Sebab itu kakak mahu awak ke beberapa kafe ini. Kakak mahu awak merasai pengalaman kafe dan minum kopi Melbourne sebenar.
Kafe cadangannya yang pertama disinggahi adalah Market Lane yang terletak di Queen Victoria Market. Saya bersarapan like a king di situ, telur hancur dan dua keping roti bakar bersama secawan kopi hitam. Kafe ini berkonsepkan diner dan dibuka mengikut waktu pasar beroperasi, lazimnya hanya sehingga tengah hari kecuali pada hari Jumaat (5 petang). Kopi yang dibancuh di sini adalah Piazza D’Oro; ia kurang pahit dan kurang berasid berbanding Arabica kebiasaan saya di Kuala Lumpur. Namun, apabila dipadukan dengan telur hancur yang gebu (kalau buat sendiri tak pernah menjadi!) dan roti bakar yang garing, sedap juga!
Kopi di Market Lane CafeMenjelang tengah hari, tatkala merayau di Little Collins Street mencari Brother Baba Budan, kafe yang menurut Kak Shaliz, “kalau tak sempat pergi semua tujuh kafe, paling kurang mesti singgah di Baba Budan”, mata merakam papan tanda Captains of Industry: Gentleman’s Outfitter and Cafe. Menyangka ianya sebuah butik, saya kembali menelusuri Swanston. Kaki sudah melangkah lebih satu blok apabila tergerak untuk membaca semula senarai kafe cadangan. Captains merupakan salah satu daripadanya!
Tengah hari itu panas dan saya sudah berpeluh kerana ke sana-sini sejak pagi. Namun saya tidak menimbang-nimbang lama, langkah segera ditala kembali ke kafe yang dilintasi tadi. Sebaik melangkah masuk ke kafe yang terletak di aras dua bangunan yang telus pandangan ke Swanston Street itu, saya memahami mengapa ia berada dalam senarai Kak Shaliz. Bukan sahaja dekonya yang vintage seperti peti sejuk lama warna putih yang bujur bucunya dan pelantar mesin jahit besi yang dijadikan meja hidangan (sesetengahnya masih punya kepala mesin jahit, pedal dan gelendung benang!) , tetapi para baristanya juga bergaya retro.
Pada mulanya saya hendak minum sesuatu yang dingin namun membatalkan hasrat setelah sukar memutuskan lalu saya meminta, sekali lagi, secawan kopi hitam. Ia dihantar dalam cawan kecil warna merah, di hujung meja disediakan bekas gula perang. Saya meneguk kopi hitam tanpa gula, membiarkan larutan yang lebih pahit dan berasid berbanding kopi semasa bersarapan itu menghilangkan lelah.
Kopi di Captains of Industry.That funny looking bottle contained plain water.
“Just the coffee for you?”
Barista memastikan tatkala saya kembali ke kaunter untuk menjelaskan bayaran sebelum beredar (sebenarnya saya menyangka kafe sudah hendak ditutup – ketika itu jam empat, dan saya baru terbiasa dengan waktu operasi premis perniagaan di sini sehingga jam lima kebanyakannya).
“It’s not just the coffee, Max,” barista yang mula-mula mengambil pesanan membetulkan.
Nah, begitulah kebanggaan kafe di Melbourne. Menurut Kak Shaliz, ada kafe-kafe di kota ini yang mempunyai house blend sendiri. Ini bermakna wakil kafe sendiri pergi ke ladang-ladang kopi, memilih biji kopi mengikut rasa dan piawaian mereka serta mempunyai kaedah pemanggangan biji kopi tersendiri.
Pada hari terakhir di Melbourne, saya memulakan hari dengan mencari Brother Baba Budan. Kafe ini, kata Kak Shaliz setelah kami akhirnya bertemu pada petang sebelumnya, kecil sahaja. Ia terletak di bucu Little Bourke St dengan lorong (lane) yang menuju ke Captains. Kalau sudah pernah sampai ke Captains, jelasnya lagi, maknanya sudah melepasi Baba Budan.
Berbekalkan tunjuk arah yang khusus itu, saya menemui kafe ini. Benar, mudah sekali mata terlepas pandang kerana tiada papan tanda perniagaan di luar premis. Saya memesan minuman ruji lalu duduk di meja panjang membelakangkan kaunter pastri. Di dalam dulang kecil diletakkan sebuah botol kaca lama berisi air kosong dan beberapa gelas kecil. Saya menuang sedikit, membasahkan tekak sambil menunggu kopi hitam sedikit reda habanya. Sambil menggetis roti coklat, saya melihat pengunjung tidak pernah putus beratur memesan minuman. Kebanyakannya berdiri, menganjur panjang ke pintu sementelah kafe tidak punya ruang yang luas. Istimewa sangatkah kopi di kafe yang punya nama unik ini?
Kopi dan roti coklat di Brother Baba Budan
Tanggapan awal saya sebagai penggemar kopi amatur, kopi di Baba Budan barangkali paling dekat rasanya dengan Arabica. Jika dapat diletakkan pada satu skala, takah asid dan kepahitan kopi semenjak saya memulakan kembara kopi di Melbourne meningkat daripada satu kafe ke kafe yang lain, dengan Baba Budan inilah di kedudukan pertama setakat ini.
Tengah hari, selepas menghabiskan masa di dalam kedai buku University of Melbourne, saya menatang secawan kopi hitam dari Professor Court Café lalu duduk berlunjur di atas bangku di South Lawn. South Lawn terbentang, hijau dipadukan langit biru tanpa awan dan matahari musim panas. Saya duduk menghadap The Old Arts Building, bangunan dengan menara jam yang menempatkan Graduate School of Arts and Humanities. Di sekeliling saya, warga University Melbourne duduk-duduk berbual, membaca, menggodek telefon dan komputer serta ada juga yang sedang menikmati makan tengah hari.
Warga University of Melbourne di South Lawn, di bawah bayangan Old Arts Building.Kopi dari kafe di sisi kedai buku universiti itu biasa-biasa sahaja rasanya. Namun, bukan rasa yang saya cari daripada kopi secawan itu. Ketika saya duduk di South Lawn dua hari sebelumnya, hari masih terlalu pagi. Rumput masih berembun dan kampus masih hening. University of Melbourne belum hidup ketika itu. Namun semasa kunjungan kedua ini, dapatlah saya menikmati suasana sebuah pusat pengajian tinggi, meski pada semester pendek musim panas cuma.
Menghampiri jam lima petang, saya berkejar ke Manchester Press, satu lagi kafe dalam senarai Kak Shaliz. Dalam hati, saya sudah memasang niat bahawa inilah kafe terakhir yang dikunjungi di Melbourne. Kafe ini sedikit suram pencahayaannya. Perabot yang memenuhi ruang besar-besar dan lebih rustik buatannya. Saya tidak memesan kopi kali ini, sebaliknya hanya secawan teh chai. Terbiasa dengan teh chai latte di Amerika dan Kuala Lumpur, saya terkejut apabila teh yang dihantar ke meja empat kerusi di penjuru kafe masih di dalam teko, bersama susu dan penapis teh.
Teh chai dan sekeping poskad di Manchester PressSementelah kafe hampir tamat beroperasi, saya tidak sempat menghabiskan minuman di situ, lantas meminta disalin ke dalam gelas kertas. Dari Rankine Lane, saya berili ke laman State Library of Victoria. Kasut dibuka dan duduk dilabuh. Daripada bersila saya berlunjur. Bertemankan sebuah buku, saya menghirup saki-baki teh berseduh rempah sambil mata sesekali ralit memetia kelibat seorang anak kecil berlari-lari mengejar burung merpati, kaki kecilnya laju melangkah tanpa meningkah orang ramai bersantai-santai di serata ceruk laman.
Pengakhiran sempurna untuk sebuah kembara!
Published on March 15, 2013 09:03
February 18, 2013
Kumpulan Cerpen "Hujan Hujung Januari" (2013)
'Anak' ketiga yang sempurna di mata saya, seperti saudara-saudaranya. Alhamdulillah.
Petikan-petikan yang menjadi pilihan editor sebagai blurb di kulit belakang buku. Kedua-duanya daripada cerpen yang menjuduli buku.Setakat ini, kumpulan cerpen ini boleh didapati di sini.
Published on February 18, 2013 05:19
December 29, 2012
Yang Terakhir 2012
Ulasan novel "Kaing-Kaing" karya Siti Jasmina Ibrahim, Mingguan Malaysia 30 Disember 2012 adalah penututp tulisan yang tersiar pada tahun ini. Alhamdulillah, it has been a good writing year. Juga tahun yang memperkenalkan saya dengan banyak perkara - termasuklah dunia realisme magis yang mengasyikkan rupa-rupanya :)
Published on December 29, 2012 19:09
December 28, 2012
Yang Pertama 2012
Alhamdulillah - persidangan dan pembentangan makalah akademik yang pertama. Tidak pernah menyangka bahawa jalan kesarjanaan akan ditelusuri, dan secepat ini. Alhamdulillah.
Terima kasih buat pensyarah saya, Dr. Mawar Shafei.
Published on December 28, 2012 23:22
December 8, 2012
Salon Kata KL 2
Salon Kata KL 2
Tarikh: 12 Disember 2012 (Rabu)
Tempat: Rumi and Kohl, M-1-20 Plaza Damas, 60 Jalan Sri Hartamas 1, Sri Hartamas, KL
Masa: 8 malam
Tajuk: "Muslim di AS: Harapan dan Cabaran"
Tetamu: Amir Sulaiman (penyajak Def Jam, aktivis, penyanyi hip hop dari Amerika Syarikat)
Moderator: Rebecca Ilham
Semua dijemput hadir!
Tarikh: 12 Disember 2012 (Rabu)
Tempat: Rumi and Kohl, M-1-20 Plaza Damas, 60 Jalan Sri Hartamas 1, Sri Hartamas, KL
Masa: 8 malam
Tajuk: "Muslim di AS: Harapan dan Cabaran"
Tetamu: Amir Sulaiman (penyajak Def Jam, aktivis, penyanyi hip hop dari Amerika Syarikat)
Moderator: Rebecca Ilham
Semua dijemput hadir!
Published on December 08, 2012 22:37


