Welma La'anda's Reviews > 31 Koleksi Kisah Tokoh : Glob Dunia untuk Raja Sicily

31 Koleksi Kisah Tokoh  by Luqman Ghazzi
Rate this book
Clear rating

by
1510293
's review
Jun 29, 09

Read in June, 2009

Buku ini mungkin ditulis khusus untuk remaja. Dari segi cara penulisan dan persembahan, memang nampak ia disasarkan untuk pembaca remaja. Walaupun begitu, bagi saya ia boleh saja dibaca oleh pelbagai peringkat umur. Pengetahuan tentang para ilmuwan Islam bukan sahaja patut diketahui oleh golongan remaja tetapi orang dewasa seperti kita ini juga seharusnya alert tentang sejarah mereka. Bukan semata-mata untuk diketahui apakah sumbangan-sumbangan mereka sahaja tetapi paling penting ialah sejauh mana kita mampu menggarap iktibar terutama tentang sistem pendidikan dan semangat keilmuwan yang mereka miliki. Bukankah 2 isu utama inilah yang kita sudah lama gagal terapkan dalam diri dan masyarakat beratus-ratus tahun sehingga lahirlah majoriti generasi penuntut ilmu alaf baru yang belajar semata-mata untuk kepentingan material.

Saya membaca 31 Koleksi Kisah Tokoh : Glob Dunia untuk Raja Sicily hampir seminggu. Baca satu dua kisah tokoh, tertidur. Mujur dizinkan Allah selesai juga pada hari Sabtu (20 Jun) sebelum waktu Zohor.

Buku ini mengisahkan kisah-kisah para ilmuwan Islam dari segi riwayat hidup dan sumbangan mereka kepada dunia Islam. Ringkas sahaja ditulis tetapi entah kenapa saya suka membacanya. Jikalau dibaca berulang-ulang pun, memang tidak menjemukan saya kira. Mungkin kerana ia sudah difiksyenkan, membuatkan ia lebih cepat bermesra dengan para pembaca. Sudah perkara biasa, penyampaian secara bercerita dan diselitkan sedikit dialog akan lebih membawa kemudahan kepada pembaca menghayati sesebuah buku tersebut.

Seringkali bermain di fikiran saya sepanjang pembacaan buku ini. Adakah mereka tidak pernah berfikir langsung tentang pekerjaan selepas habis belajar?. Adakah meraka menuntut ilmu semata-mata kerana suka kepadanya dan tidak mengharap imbalan langsung?. Malah mereka juga berjaya mencipta pekerjaan sendiri. Bukan mengharapkan pekerjaan daripada majikan setelah memiliki ilmu. Ilmu ialah sumber untuk memberi pembangunan bukannya alat untuk memenuhi keperluan material. Saya rasa sungguh kagum sekali.

Bukan perkara senang ya apabila anda belajar di mana-mana universiti pengajian tinggi tanpa terlebih dahulu memikirkan pekerjaan selepas habis belajar. Justeru itu banyak berlaku diskriminasi kursus seperti kursus bahasa dan sastera yang dikatakan tidak ada value pekerjaan dan material berbanding dengan kursus-kursus glamour seperti kejuruteraan atau kedoktoran. Pada ketika ini antara sedar atau tidak, kita sudah mendefinisikan , belajar = ilmu = pekerjaan = duit. Tetapi, saya tidak nampak situasi itu pada diri para ahli ilmuwan di dalam buku ini. Bila agaknya saya akan mempunyai jiwa yang tulus seperti itu?

Mereka menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan sehingga mampu mencipta penemuan-penemuan baru. Kita boleh lihat senario pada hari ini, kita mungkin cukup pandai memahami sesuatu subjek dengan A atau CGPA : 3.5 ke atas sebagai ukurannya tetapi belum tentu kita mampu memberi sumbangan di dalam mencipta penemuan baru. Saya berfikir juga, agaknya apakah yang membezakan kita dengan mereka. Bijak adalah subjektif. Belum tentu mereka lebih bijak daripada kita. Kita juga boleh lebih bijak daripada mereka. Tetapi itulah hakikatnya. Mereka lebih berjaya menghidupkan sesuatu ilmu itu berbanding kita yang lebih banyak menjadi kaku. Habis belajar, lupa semua apa yang dipelajari. Ingat semasa peperiksaan sahaja. Senario ini berlaku kepada hampir semua para penuntut ilmu kita, tidak kiralah CGPA yang tinggi melangit atau yang rendah mencecah bumi. Sama sahaja.

Al-Dinawari ialah seorang pakar Botani yang aktif berasal dari Kurdis. Beliau memiliki makmal untuk mengkaji dan menghasilkan penemuan di dalam bidang botani. Antara buku popular yang dihasilkannya ialah Buku Flora yang mengandungi 930 jenis tumbuh-tumbuhan. Beliau juga menulis sebuah buku yang menceritakan tentang sejarah asal-usul kaum Kurdis. Satu perkara lagi, beliau adalah pencetus kepada kegemilangan ilmu botani pada zaman berikutnya. Pada pendapat saya melalui kenyataan ini, ia bermaksud, pada ketika mula-mula beliau mempelajari ilmu botani, ilmu tersebut masih asing lagi pada zamannya. Beliau perlu pandai marketize ilmu yang dipelajarinya serta harus mencipta pekerjaan sendiri. Belajar dan mengusahakan sesuatu yang asing adalah satu perkara yang mencabar dan berisiko jikalau mahu dilihat dari sudut material. "Mahu makan apa nanti?" Pertanyaan retorik yang biasa. Cuba tanyakan diri kita pula pada hari ini, sanggupkah kita mengambil risiko seperti itu?

Lain pula kisah Al-Biruni. Al-Biruni dibesarkan oleh emaknya dengan memungut kayu api sebagai sumber pendapatan. Beliau memang suka berjalan di dalam hutan untuk memerhatikan keadaan sekeliling. Suatu hari beliau terjumpa dengan seorang ahli botani terkenal di tempatnya. Beliau diambil bekerja dengan ahli botani tersebut dan mula belajar tentang ilmu botani pada usia 11 tahun. Pada usia 14 tahun, beliau sudah mahir dan boleh berbahasa 4 bahasa ( arab, parsi, suryani, yunani). Lalu, beliau belajar pula ilmu matematik dan astronomi. Akibat pergolakan politik, beliau berpindah ke Jaipur dan di sana beliau ditugaskan pula untuk menulis sebuah buku tentang India yang lengkap dengan huraian tentang geografi, sejarah, agama dan adat resam. Di situ juga beliau telah mempelajari bahasa Sanskrit. Mungkin sudah perkara biasa ilmuwan pada masa dahulu mengetahui pelbagai bahasa. Ini memudahkan mereka mencedok ilmu. Tulisan ilmu dahulu kala ditulis dalam pelbagai bahasa. Jikalau kita mahu ilmu di dalamnya, kita harus belajar bahasa tersebut dan selepas itu disusuli pula dengan kerja-kerja penterjemahan. Ilmu dan terjemahan memang tidak boleh dipisahkan dalam sejarah keilmuan.

Kisah perjalanan para ilmuwan ini hampir sama. Di dalam buku ini sendiri mengandungi 31 orang tokoh. Cuma mungkin bidang yang dikuasai sahaja yang berbeza. Tetapi dari segi semangat dan kecintaan mereka terhadap ilmu hampir sama. Mungkin itulah yang kita tidak miliki pada hari ini. Buku ini sesuai menjadi bahan bacaan kanak-kanak atau remaja sebelum tidur sebagai contoh. Sangat sesuai dijadikan sebagai sebuah hadiah juga. Moga-moga setelah habis membaca, lahir satu semangat di dalam diri mahu belajar bersungguh-sungguh dan memberi makna di dalam setiap yang dipelajari agar ilmu itu tidak menjadi kaku lagi di dada kita.
likeflag

Sign into Goodreads to see if any of your friends have read 31 Koleksi Kisah Tokoh .
sign in »

No comments have been added yet.