Faizah Roslaini's Reviews > Rahsia Agenda Alam Hitam : Kelahiran Mufrad

Rahsia Agenda Alam Hitam  by Zehann Ur Rakhie
Rate this book
Clear rating

by
1260846
's review
Apr 27, 09

bookshelves: read-2009, supernatural, fiksyen-melayu
Read in April, 2009

Saya kira pada waktu ini penerbitan buku-buku Melayu sedang berkembang dengan baik namun lambakan karya-karya novel cinta yang tipikal, melemaskan pembaca seperti saya. Justeru, terbitnya karya-karya yang unik dan berbeza adalah ditunggu-tunggu.

Selain dari kulit buku yang menarik, RAAH mungkin menarik perhatian kerana menyentuh tentang asal-usul manusia peminum darah yang bersusur-galur dari Raja Bersiung lagi. Untuk kesekian kalinya, latarbelakang zaman Kesultanan Melayu kurun ke-15 masih lagi menjadi tarikan.

Namun yang paling saya gemar adalah mesej-mesej tentang akidah yang disebutkan. Contohnya apabila penulis bercerita tentang pemesongan akidah penduduk kampung yang menyembahkan korban, penulis menyebutkan bahawa ianya cuma suatu kebetulan. Penduduk kampung sebenarnya telah ditipu oleh pawang yang cuma mahu mengaut keuntungan. Sesungguhnya, hanya kepada Allah sahajalah yang layak disembah dan layak untuk kita berserah. Amat menarik bagi saya untuk menyelami mentaliti Melayu zaman ini yang masih rapuh akidah dan mudah dipesongkan.

Buku ini turut mengingatkan kita bahawa kematian itu adalah 'hadiah' bagi orang mukmin. Hidup dan mati adalah ketentuan Tuhan dan apalah gunanya sesal meninggalkan dunia yang penuh kepalsuan sekiranya kita tahu bahawa di sebelah sana adalah taman-taman indah yang menanti?

Namun saya sedikit terganggu dengan cara kaum wanita diperincikan dalam karya ini. Mungkin, tuan dan puan semua boleh gelar saya feminis, tapi saya sedikit terganggu dengan kerapuhan akidah dan ilmu kaum wanita dalam RAAH. Sari misalnya, sekadar 'menyerah' kepada Mas Gurana padahal kalau dia bertahan, dia tentu saja akan diselamatkan. OK, kita faham dia mengorbankan diri demi kampungnya tapi qada'dan qadar sudah tertulis, kenapa perlu mengorbankan diri dengan melanggar hukum Tuhan?

Mungkin saya mengharapkan seseorang seperti Nyemah untuk muncul di sini namun itu sudah semestinya tidak adil. RAAH dan 1515 adalah dua karya yang berbeza.

Perincian tentang peristiwa dan adegan-adegan dalam kain dan kelambu juga turut mengganggu saya. Ya, anda boleh gelar saya 'skema'. Namun saya percaya sebagai penulis Melayu Islam kita harus punya batas-batas tertentu. Penulis boleh saja memilih untuk tidak berbatas tetapi pada saya ianya seakan menyongsang apabila adegan erotik dicampuradukkan dalam novel yang menyebut mesej-mesej Islam dan akidah serta alam Melayu Nusantara yang penuh santun dan senonoh.

Kerapkali saja Barat mengaitkan manusia penghisap darah sebagai simbol seks tapi kalau karya kita saya rasa itu semua tidak perlulah diperincikan. Tanpa itu pun, saya rasa RAAH sudah cukup menarik dan tidak cacat.

Saya juga ingin menyentuh sedikit tentang faktor value for money. Dengan harga yang sepadan dengan kulit buku yang cantik dan binding yang bermutu, saya sebenarnya mengharapkan yang serupa pada isinya. Pada saya editing novel ini boleh diperbaiki lagi. Untuk menjadikannya lebih fast-paced (sepertinya penghujungnya yang amatlah mengujakan) adalah lebih baik sekiranya detail-detail yang tidak penting dipotong saja dari keseluruhan cerita. Terdapat juga kesalahan-kesalahan ejaan yang terlepas dari mata editor serta cara penyusunan perenggan sedikit mengelirukan. Adalah lebih molek sekiranya perenggan-peranggan yang menceritakan situasi yang berlainan dipisahkan supaya pembaca tidak keliru.

Sebelum akhir, sebuah kata yang saya ingin kongsikan
'Sesungguhnya, kekuatan sebenar adalah sabar'.

Sekian untuk ulasan kali ini. Selamat membaca sendiri RAAH.




likeflag

Sign into Goodreads to see if any of your friends have read Rahsia Agenda Alam Hitam .
sign in »

Reading Progress

04/12/2009 page 10
1.53%
show 1 hidden update…

No comments have been added yet.