Welma La'anda's Reviews > Cinta di Rumah Hassan Al Banna

Cinta di Rumah Hassan Al Banna by Muhammad Lili Nur Aulia
Rate this book
Clear rating

by
1510293
's review
Jan 20, 09

Read in December, 2008, read count: 2

Ulasan penuh di Cinta di Rumah Hassan Al Banna

Hassan Al Banna merupakan pengasas Ikhwanul Muslimin (IM) yang ditubuhkan di Kaherah,Mesir. Beliau telah berjaya membentuk IM setelah 6 bulan menetap di Ismailiyah, sebuah daerah di dalam Kaherah sendiri. Dalam tempoh 15 tahun, cabang IM sudah terdapat di 20 buah negara dan di Kaherah sendiri, ada 2000 cabang IM.

Beliau memang sangat terkenal dengan kesibukan dakwahnya dan kerja-kerja mendidik umat. Antara kata-katanya yang cukup terkenal ialah kewajipan lebih banyak berbanding masa yang ada. Buku-buku perihal Hassan Al Banna juga banyak berkisar tentang perjalanan dakwah beliau atau lebih umunya tentang IM sendiri. Dikatakan tidak banyak cerita-cerita yang dikaitkan dengan ahli keluarga beliau, tentang peranan beliau sebagai seorang ayah, masa beliau bersama keluarga dan bagaimana pola pendidikan beliau dengan anak-anak.

Penulis mengingatkan para pembaca bahawa Cinta di Rumah Hassan Al Banna adalah bukan sebuah buku yang mengandungi kaedah yang paling ideal dalam mendidik anak kerana contoh yang paling ideal itu ialah Rasulullah saw. Tetapi walaupun begitu, buku ini mungkin boleh menjadi pencetus inspirasi seorang ayah dalam memimpin keluarganya!

Hassan Al Banna merupakan anak seorang alumni Universiti Al Azhar. Ayahnya mempelajari Hadits dan Ilmu Fiqh. Diceritakan oleh adiknya Abdurrahman Al Banna, pada zaman mudanya Hassan Al Banna, setiap hari selepas solat, Hassan Al Banna akan membaca jadual harian, "Pukul 6 pagi adalah waktu mengaji al-quran, pukul 7 waktu belajar tafsir dan hadis, pukul 8 belajar fiqh dan usul fiqh" . Sesudah itu, baru beliau dan adiknya akan ke sekolah. Wah! Saya terkesima. Saya, sebelum ke sekolah, apa yang saya buat ya?

Ya, ini adalah sebahagian kisah-kisah Hassan Al Banna bersama anak-anaknya. Saya cadangkan anda perlu membacanya secara langsung daripada buku Cinta di Rumah Hassan Al Banna sendiri. Lebih ada aura. Sebak juga saya sepanjang proses pembacaan. Bukan sebak apa, tetapi lebih kepada kagum, "Ya Allah caring nya lelaki ini".

Hassan Al Banna akan cuba sedaya upaya makan bersama dengan keluarganya. Jikalau ada tetamu (mungkin tetamu di pejabat IM maksudnya) , dia akan mengajak tetamu itu makan di rumah agar boleh sempat bersarapan bersama keluarganya. Begitu juga dengan soal bercuti. Beliau akan merancang perjalanan dakwahnya agar seiring dengan waktu bercuti. Contohnya, apabila musim panas, dia akan merancang perjalanan dakwah ke bahagian utara agar mereka boleh melalui satu daerah ke satu daerah sambil bercuti. Apabila musim dingin pula, beliau akan merancang perjalanan dakwahnya ke bahagian selatan agar beliau boleh balik hari.

Hassan Al Banna seorang yang berperwatakan lembut terhadap anak-anak. Tiada suara keras di dalam rumahnya jikalau anak-anaknya melakukan kesalahan. Dia juga bukan seorang yang cepat memberi respon negatif apabila anaknya melakukan kesalahan. Saiful islam mengatakan hukuman yang paling berat diterimanya ialah telinganya dipusing. Ketika itu, ada kesalahan yang dilakukannya. Kemudian pada kira-kira pukul 11 pagi, Hassan Al Banna menefonnya dan cuba mengeratkan semula perhubungan mereka.

Begitu juga, apabila dia membaca buku-buku komik yang mengandungi cerita cinta, ayahnya tidak memarahinya dan mengatakan buku itu tidak bagus. Tetapi, ayahnya menunggu dia menghabiskan dahulu buku komik itu dan pada keesokan harinya, Hassan Al Banna baru memberinya beberapa buah buku pahlawan-pahlawan Islam seperti Salahuddin Al Ayubi. Lama kelamaan Saiful Islam sendiri meninggalkan pembacaan buku-buku komik itu secara rela hati dan bukan kerana desakan daripada ayahnya.

Hassan Al Banna mempunyai 8 orang anak. Dalam hayatnya, 7 orang sempat dilihat oleh Hassan Al Banna. Seorang lagi lahir pada hari dia syahid. 2 orang anaknya lagi meninggal pada usia masih kecil. Setiap orang anak-anaknya itu ada map ( map ini , mungin di sama maknakan dengan fail) sendiri yang berada dalam simpanannya. Setiap map itu mengandungi maklumat-maklumat pelajaran dan kesihatan. Contohnya seperti, haribulan dan sejarah kelahiran, jadual pemberian ubat dan makanan, berapa lama anak makan ubat itu, berapa banyak dos yang diminum, adakah semua ubat sudah dihabiskan, anak-anal lemah dalam subjek apa, anak-anak perlu dibantu dengan material apa, surat keterangan doktor, ijazah, prestasi anak-anak dan sebagainya lagi.

Beliau akan cuba membantu meningkatkan pemahaman anak-anaknya dalam pelajaran dan mempunyai hubungan yang baik terhadap guru anak-anaknya . Saiful Islam lemah dalam matapelajaran Bahasa Arab. Dia menceritakan, pada suatu hari guru bahasa arabnya, Ustaz Ali menyuruh mereka membeli buku tulis dan menulis syair-syair pilihannya pada buku itu. Sesiapa yang menulis paling banyak syair arab, akan mendapat hadiah. Saifu Islam pun berlumba-lumba menulis syair arab untuk mendapatkan hadiah itu. Pada hujung tahun, baru dia tahu, rupanya idea menulis syair itu dicadangkan oleh ayahnya kepada guru bahasa arab sebagai satu kaedah untuk membantunya menguasai mata pelajaran itu.

Roja' menceritakan ayahnya sering membawakannya bekal makanan ke sekolah. Roja pada ketika itu berusia 5 tahun. Roja selalu lupa membawa bekalan makanan ke sekolahnya dan kekadang makanannya juga akan diambil oleh orang lain. Oleh itu, Hassan Al Banna risau anaknya tidak akan makan pagi. Lalu setiap hari dia akan membawa makanan itu ke sekolah.

Hassan Al Banna juga sangat prihatin terhadap keperluan rumah. Walaupun isterinya seorang suri rumah, tetapi dalam kesibukannya, dia juga turut terlibat di dalam menyediakan keperluan keluarga. Dia sendiri akan menuliskan keperluan keluarga dan memberi wang kepada pemilik kedai pada setiap bulan di atas barang-barang keperluan rumahnya. Punyalah teliti Hassan Al Banna, dia boleh tahu sesetengah makanan yang cuma ada pada musim tertentu, dan siap memantau bila bahan-bahan itu akan dijual di pasar. Kemudian, jikalau ada, Hassan Al Banna akan membelinya. Dia tidak mahu menyusahkan isterinya kerana dia tahu isterinya sibuk mengurus rumah. Wah!

Saya kagum lagi dalam satu perkara ini. Hassan Al Banna memberi jumlah wang yang banyak juga kepada anak-anaknya. Perbelanjaan anak-anaknya dikategorikan kepada 3 bahagian iaitu wang harian untuk makanan sebanyak 3 qirsy, wang mingguan sebanyak 10 maadin dan wang bulanan sebanyak 50 qirsy.

Hassan Al Banna tidak menyimpan wang. Apabila ditanya, dia mengatakan, semua wangnya diinfakkan. Anak-anaknya juga dilatih untuk berinfak. Wang mingguan sebanyak 10 maadin itu adalah untuk diinfakkan pada setiap hari Jumaat. Saiful Islam mengatakan, ayahnya akan menghantar seorang mata-mata untuk melihat adakah betul anaknya menginfakkan duit itu.

Duit sebanyak 50 qirsy itu pula adalah duit untuk membeli buku. Di rumah mereka ada perpustakaan khusus untuk setiap anak-anak dan mengandungi buku-buku kesukaan mereka. Apabila ditanya kepada Saiful Islam adakah tidak melampau ayahnya memberikan jumlah duit yang banyak kepada anak-anaknya, lalu dijawab Saiful Islam dengan mengatakan bahawa bukan masalah sikit atau banyak, tetapi lebih kepada bagaiman pola pendidikan dan pembinaan anak-anak dilakukan di rumah. Jikalau anda baca betul-betul kaedah pendidikan yang diterapkan oleh Hassan Al Banna kepada anak-anaknya, anda akan perasan Hassan Al Banna banyak memberi kepercayaan kepada anak-anaknya.

Hassan Al Banna sering saja cuba mengajar anaknya secara tidak langsung. Contohnya, dia mahu mengajar anaknya cara membaca quran dengan cara yang betul. Pada suatu hari, ayahnya memanggil Wafa dan Tsana. Katanya, "Aku mulai membaca dari ayat ini, perhatikan mana yang salah".

Pernah satu ketika Saiful Islam bertanya kepada ayahnya, "Apa yang akan kita lakukan menghadapi Inggeris apabila mereka tidak mahu meninggalkan Mesir?. Lalu dijawab Hassan Al Banna, "Kami akan mengirimmu bersama pasukan untuk mengusir mereka dengan kekuatan". Sejurus selepas itu, Hassan Al Banna memeluk Saif.

Sebenarnya, Hassan Al Banna melakukan perkara yang biasa-biasa sahaja dalam soal melayan anak-anaknya, tetapi kesan biasa-biasa itu begitu mendalam tinggal pada anak-anaknya. Contohnya pelukan kepada Saiful Islam sebentar tadi. Saiful Islam mengatakan kehangatan pelukan itu masih tetap terasa walapun ayahnya sudah lama meninggalkan mereka. Berkali-kali anak-anak Hassan Al Banna di dalam Cinta di Rumah Hassan Al Banna menegaskan bahawa mereka mematuhi ayah mereka bukan kerana takut, tetapi kerana sangat sayang pada ayah mereka. Walaupun ayah mereka sangat sibuk dan jarang berada di rumah, tetapi, masanya yang sedikit di rumah itu sudah cukup membuatkan mereka sangat dihargai dan bermakna.

Satu lagi kisah yang membuatkan saya gelak dalam kekaguman. 2 orang anak Hassan Al Banna telah meninggal pada usia masih kecil kecil lagi. Muhammad Hisamuddin menderita penyakit tipus. Sebelum kematiannya, isteri Hassan Al Banna pernah didatangi oleh seorang yang berjubah putih dan berserban hijau. Orang itu mengatakan akan membawa pergi Hisamuddin dalam tempoh 15 hari. Tepat 15 hari seperti yang dikatakan orang itu, Hisammuddin pun meninggal.

Perkara yang sama berlaku kepada anaknya Shofa. Orang itu mendatangi isteri Hassan Al Banna lagi dan mengatakan akan membawa pergi Shofa dalam tempoh 4 hari. Isterinya menceritakan perkara itu kepada Hassan Al Banna. Mahu tahu apa yang dikata dan dilakukan oleh Hassan Al Banna? "Kita dikunjungi malaikat yang mulia". Hassan Al Banna sujud syukur selepas itu dan memanggil Ustaz Sa'duddin untuk mengambil gambarnya bersama Shofa. Subhannallah. Begitu hebat tahap pergantungan kepada Allah!
7 likes · likeflag

Sign into Goodreads to see if any of your friends have read Cinta di Rumah Hassan Al Banna.
sign in »

Comments (showing 1-5 of 5) (5 new)

dateDown_arrow    newest »

Aina Dayana Hilmi Nanti tulis resensinya ya.
Buku ni sedang dicari ;)


Welma La'anda OK Bos!

Aina beli di Fajarilmu. Pustaka Indonesia = Fajarilmu. Aina tahu tak yang kat LRT perhentian Masjid Jamek, kan ada deretan bazar berpayung biru. Masuk kat situ cari Wisma Yakin. Cepat-cepat cari, nanti buku tu habis :)


Aina Dayana Hilmi ok Insya Allah! :D


Welma La'anda Aina, satu perkara saya mahu kongsi tentang buku ini. Sentiasa segar di ingatan saya. Kalau terpandang Cinta di Rumah Hassan Al Banna, mesti ingat perkara ini.

Begini, isteri Hassan Al Banna pernah dikunjungi oleh seorang lelaki yang mengatakan anak dia akan diambil sekian-sekian waktu. Dia pun menjelaskan perkara ini kepada Hassan Al Banna dan menceritakan rupa orang itu. Kemudian, nak tahu apa kata Hassan Al Banna, ha lebih kurang beginilah, "kita dikunjungi oleh malaikat". Selepas itu, Hassan Al Banna pun sujud syukur dan mengambil gambar kenang-kenangan bersama anaknya itu. Tidak lama kemudian, anaknya itu meninggal dunia. Subhanallah! hebat sungguh pergantungan kepada Allah.


Faizah Roslaini Salam. Nampak macam menarik. Saya cuma mampu add dalam wishlist. Untuk ke Wisma Yakin, tak tahu lagi. Insya Allah satu hari nanti dapat juga ke sana.


back to top