Nazmi Yaakub's Reviews > Khuluk

Khuluk by Khaidir Ahmad
Rate this book
Clear rating

by
3449784
's review
Feb 07, 2012

bookshelves: novel, malaysia, sastera
Read on February 08, 2012

KHULUK karya Khaidir Ahmad boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu sebelum dan sesudah khuluk, yang memisahkan tema dan gaya penceritaannya daripada novel popular kepada naskhah sastera yang sarat dengan latar budaya, kemanusiaan dan agama.

Khuluk adalah proses isteri menuntut perceraian dengan menggunakan kaedah tebus talak, sekali gus menyediakan pembaca kepada karya yang berlegar pada kegagalan rumah tangga dan keruntuhan perkahwinan.

Kamal, wartawan yang baru dilantik sebagai Ketua Biro Kuching akhbar Berita Nasional yang bernaung di bawah Malaysia Tribune berdepan dengan dilema apabila terpaksa memilih antara dua gadis yang mempunyai kelebihan tersendiri.

Cinta pertama tumbuh berselindung atas nama rakan sejawatan daripada akhbar lain ialah Letticia, iaitu wartawan tempatan berdarah campuran Iban dan Cina yang dibesarkan dalam lingkungan agama Kristian.

Hati Letticia terbuka kepada Islam selepas keperibadian Kamal tetapi berdepan dengan `pesaing', iaitu Ezan, wartawan muda yang baru dipindahkan ke negeri itu.

Ezan terpaut kepada Kamal oleh keramahan dan sifat ambil berat kerana berada jauh di seberang Laut China Selatan.

Gaya dan langgam penceritaan yang menyorot pasang surut hubungan itu dengan tidak mahu menyakiti hati boleh dianggap menggunakan perencah novel popular.

Apatah lagi tumpuan terhadap pergolakan jiwa Kamal, Letticia dan Ezan semacam melupakan latar wartawan meskipun awalnya bermula baik apabila dibuka dengan adegan liputan operasi memburu buaya.

Bagaimanapun, perpisahan Kamal dengan Letticia yang membawa kepada perkahwinannya dengan Ezan, mengembalikan landasan pada dunia wartawan apabila pasangan itu dipindahkan ke Semenanjung semula.

Kamal dinaikkan pangkat kepada Penolong Pengarang Berita dan Ezan beralih daripada suri rumah kepada personaliti televisyen memindahkan novel ini daripada perencah popular kepada naskhah sarat dengan persoalan kehidupan serius.

Pergolakan rumah tangga dua wartawan itu menyelongkar dunia terselindung daripada umum, selain memperlihatkan sinikal pengarang dengan adegan `wartawan yang sentiasa mencari sensasi sebagai bahan beritanya, tiba-tiba menjadi sensasi kepada semua wartawan dan media.' Ezan dibuai kehidupan dengan lelaki baru, menuntut khuluk di mahkamah syariah sehingga menjadikan perkahwinan mereka sebagai buruan media, sekali gus membuka frasa baru dalam novel ini.

Khuluk selepas khuluk adalah novel sarat dengan persoalan kemanusiaan dengan latar kebudayaan etnik dan dakwah Islam apabila Kamal melarikan diri dan dua anak mereka, Norma dan Izhar ke belantara di Sarawak.

Khuluk tidak lagi tampil sebagai novel popular, sebaliknya perjuangan memberikan nafas agama dan jaminan kehidupan kepada kaum Penan nomadik di Sungai Bareh, Mulu.

Pada bahagian ini, ia juga mengingatkan kita kepada bantahan kaum Penan yang membuat benteng manusia pada 1987 menentang pembalakan, selain karya menghantar pesan; kemajuan perlu mengambil kira budaya dan psikologi sesuatu kaum.

Dalam konteks agama, Khuluk mengangkat isu dakwah Islam yang wajar lebih alamiah dan mendekati kaum Penan dengan pendakwah hidup bersama tanpa menggadaikan prinsip Islam.

Elemen cinta tidak ditinggalkan, bahkan lebih dramatik dengan kehadiran pendakwah saudara baru, Siti Aisyah di tengah perkampungan yang diancam pembalakan dan Ezan yang berusaha menjejak anak mereka, tanpa sedar menumbuhkan rindu kepada bekas suaminya.

Dengan dua bahagian yang memiliki ragam tersendiri, tidak hairanlah novel ini menjangkau 897 halaman, tetapi elemen cinta yang memancing dan persoalan agama, budaya serta kemanusiaan menjadikannya wajar dibaca apatah lagi tersenarai sebagai pemenang ketiga Hadiah Sako 3.
2 likes · flag

Sign into Goodreads to see if any of your friends have read Khuluk.
Sign In »

Reading Progress

02/07/2012 page 30
3.0% "Novel bahasa Melayu yang paling tebal yang pernah aku baca selepas Warisan. Cuma bahasanya sederhana untuk dibandingkan dengan Warisan."
show 8 hidden updates…

No comments have been added yet.