Hilmi's Reviews > Horse Soldiers: The Extraordinary Story of a Band of US Soldiers Who Rode to Victory in Afghanistan

Horse Soldiers by Doug Stanton

by
4945739
's review
Oct 04, 11

bookshelves: pasukan-khas, ketenteraan
Read from September 14 to 23, 2011 — I own a copy, read count: 1

Buku ini mengisahkan pengalaman dua buah kumpulan kecil dari Pasukan Khas ke-5 Tentera Darat Amerika Syarikat (AS) membantu Pakatan Utara menentang Taliban di utara Afghanistan. Kedua-dua kumpulan ini diutus tidak berapa lama selepas peristiwa bersejarah 11 September 2001. Pengalaman mereka yang bermula dari pertemuan mereka dengan panglima-panglima perang Pakatan Utara sehingga pembebasan bandar Mazar-i-Sharif direkodkan di dalam buku ini. Selain itu,diselitkan juga pengalaman peristiwa berdarah yang meragut nyawa seorang anggota separa tentera Central Intelligence Agency (CIA),Mike Spann di sebuah bangunan berkubu di Mazar-i-Sharif yang diberi nama Qala-i-Janghi dan penemuan mereka dengan John Walker Lindh,seorang rakyat Amerika yang berjuang di pihak Taliban.
Mungkin ada yang tertanya-tanya,kenapa saya memberikan penilaian sebanyak lima (5) bintang (markah penuh) kepada buku ini? Saya tidak nafikan,buku ini,sama ada sengaja atau tidak disengajakan,sememangnya menyokong kempen ketenteraan (yang dipanggil Operation Enduring Freedom) di Afghanistan pada tahun 2001. Malah,wujud propaganda AS di dalamnya dan terdapat bias atau berat sebelah yang agak ketara. Namun begitu,saya memberikan markah yang sedemikian kerana saya berpendapat penulis buku ini,Doug Stanton,telah berjaya menyampaikan isi cerita utama dengan baik,tepat dan kreatif. Saya katakan baik dan tepat kerana sememangnya buku ini ditulis bukanlah untuk membincangkan perjalanan perang melawan keganasan yang dianjurkan oleh AS (sama ada baik atau tidak peperangan itu dilancarkan). Sebaliknya,fokus utama buku ini ditumpukan kepada pengalaman dua buah kumpulan kecil pasukan khas AS. Penulis telah berjaya 'menterjemahkan' pengalaman mereka itu di dalam buku ini dengan begitu jelas dan teliti sekali,berdasarkan hasil temuramah penulis dengan beberapa ahli kumpulan tersebut yang berkongsi pengalaman dengan penulis buku 'Horse Soldier' ini.
Manakala,dari segi kreativiti pula,penulis berjaya menulis buku ini dalam bentuk yang agak santai sifatnya. Gaya penulisannya lebih mirip kepada penulisan novel walaupun buku ini sebenarnya ditulis berdasarkan kisah benar. Perkara ini dapat dilihat melalui penggunaan dialog dan unsur-unsur saspens turut diterapkan di dalam penulisan. Berdasarkan pemerhatian saya,kebanyakan penulis Barat agak cenderung untuk menggunakan gaya penulisan ala novel ketika menulis sesuatu yang ilmiah atau bukan fiksyen. Mungkin sekali gaya seumpamanya digunakan untuk menarik minat para pembaca dan memudahkan lagi pemahaman pembaca. Bandingkan jika penulisan ilmiah digunakan secara 'rigid'. Mungkin akan ada sesetengah pembaca yang tidak begitu biasa dengan gaya penulisan berbentuk ilmiah akan sukar memahami isi kandungan yang ingin disampaikan oleh penulis,lantas secara tidak langsung akan mengurangkan faktor tarikan untuk membaca. Di Malaysia,sudah wujud beberapa penulis yang menggunakan cara yang sedemikian,namun,bilangannya masih agak kurang. Mungkin cara ini patut digunakan secara meluas untuk menarik minat para pembaca,terutamanya golongan muda untuk lebih banyak membaca bahan bacaan ilmiah terutamanya yang berkaitan dengan sejarah.
Dari segi bahasa,bahasa Inggeris yang digunakan tidak begitu sukar untuk difahami. Bagi mereka yang sudah biasa membaca novel bahasa Inggeris,tidak sukar bagi mereka untuk membaca buku ini. Cuma,memandangkan buku ini ditulis di dalam bahasa Inggeris-AS dan mengenai hal-ehwal ketenteraan,mungkin terdapat perkataan,jargon dan istilah yang memerlukan para pembaca untuk merujuk kepada kamus untuk memahaminya. Di dalam buku ini,terdapat empat (4) bab utama sahaja. Memandangkan buku ini mempunyai bilangan muka surat melebihi 390 muka surat,dari bab ke bab,mempunyai bilangan muka surat yang banyak. Saya berpendapat adalah lebih baik bab-bab itu dipecahkan kepada beberapa sub-bab atau bab-bab kecil di dalam setiap bab untuk memudahkan pembacaan dan pemahaman para pembaca. Ia juga bertindak sebagai 'checkpoint' atau 'pit-stop' kepada pembaca untuk 'berehat' ketika membaca buku yang tebal muka suratnya.

Sign into Goodreads to see if any of your friends have read Horse Soldiers.
sign in »

Reading Progress

09/14/2011 page 66
17.0%
show 1 hidden update…

No comments have been added yet.