Mohd Yaakub's Reviews > Bukavu

Bukavu by Helvy Tiana Rosa
Rate this book
Clear rating

by
3449784
's review
Jul 28, 10

bookshelves: sastera, kumpulan-cerpen, indonesia
Recommended to Mohd by: Helvy

BUKAVU karya Helvy Tiana Rosa menghimpunkan 18 cerpen bernada puitis dengan pelbagai tema di seluruh Indonesia dari Timor Timur hingga ke Aceh dalam menyorot penderitaan dan kekerasan manusia khususnya wanita.

Kumpulan cerpen pengasas Lingkar Pena ini yang mengangkat sastera Islam, turut merentasi sempadan geografi dengan meninjau bumi Palestin sambil menterjemahkan hadis akhir zaman berhubung batu yang berkata-kata menjadi cerpen, Hingga Batu Bicara.

Helvy turut membawa pembaca menelusuri kekejaman dan kejahatan tentera Serbia melalui watak tentera dalam Lorong Kematian, satu cara pengarang ini meluahkan kebenciannya kepada kezaliman musuh Islam.

Lewat cerpen Kivu Bukavu berlatarkan konflik bersenjata di Rwanda, Helvy seolah-olah berbicara dengan karyanya yang mewakili hati nurani tanah air sambil mengangkat potongan sejarah pedih negaranya apabila kemanusiaan bukan saja dipijak-pijak, bahkan disembelih secara literal.

Pendirian idealistik Helvy jelas terasa lewat Ze Akan Mati Ditembak, tetapi diakhiri dengan adegan yang seolah-olah mewakili kekalahan idealisme itu kepada realiti apabila wataknya yang memperjuangkan tolak ansur antara kebebasan total dengan kekuasaan autonomi di Timor Timur menemui kematian.

Cerpen Ketika Cinta Menemukanmu yang mengangkat latar Aceh dan menelusuri tragedi tsunami pula, menyorot gelora emosi watak Cut Nyak Dhien yang kehilangan keluarganya sehingga terpaksa menagih kasih sukarelawan lewat Dr Di serta Cut Isma, tetapi kemudian ditinggalkan.

Gelombang tsunami yang menggoncangkan tanah Aceh itu ternyata membekas dalam naluri kemanusiaan dan kepengarangan Helvy melalui satu lagi cerpennya, Cut Vi yang turut mengangkat konflik di wilayah yang terbakar dengan api permusuhan itu.

Meskipun pengarang tampak terganggu oleh penderitaan dan kekerasan seperti pengeboman Bali lewat Lelaki, Kabut dan Boneka itu, naluri kewanitaannya kadangkala terserlah juga lewat cerpen yang lebih lembut, tetapi tidak kurang konfliknya seperti Pertemuan di Taman Hening.

Dalam cerpen itu, Helvy menyelongkar perasaan isteri yang terpaksa mengunyah penderitaan secara senyap sehingga membina watak lelaki idaman yang tidak mungkin hadir dalam kehidupannya, tetapi pembaca mungkin terkeliru akan kewujudan watak itu ekoran pergelutan emosi.

Pada kesempatan lain pula, cerpen Juragan Haji tampil secara sederhana untuk mengkritik secara halus golongan berada yang berbangga menunaikan haji beberapa kali, tetapi tidak menterjemahkan agama dalam kehidupan mereka atau sekurang-kurangnya menghormati kemanusiaan.

Kekuatan dan ketelitian dalam pemilihan diksi yang puitis serta sarat dengan makna dalam kumpulan cerpen ini tidak dapat diragukan lagi sehingga sasterawan besar Indonesia, Putu Wijaya, menyimpulkan bahawa cerpen tidak mungkin membatalkan Helvy sebagai penyair.

Bagaimanapun, penggunaan dialek tempatan yang disesuaikan dengan latar cerpen agak mengganggu kerana pembaca terpaksa membelek halaman akhir setiap cerpen untuk mengetahui maknanya, sekali gus boleh merencatkan alur pembacaannya.

Secara keseluruhannya, Bukavu seolah-olah percikan sensitiviti yang menjadi badai dalam jiwa kepengarangan dan kemanusiaannya kesan daripada pergolakan yang menggoncangkan tanah airnya, selain khabar derita yang dikirim dari negara umat Islam di dunia.



Tokoh Muslimah sastera Indonesia

HELVY Tiana Rosa, pengarang kelahiran Medan pada 2 April 1970, menjadi tokoh penting dalam sastera Indonesia apabila mengasaskan Forum Lingkar Pena (FLP) pada 1997 yang mewarnai sastera Islam dalam peta kesusasteraan yang bermacam ragam di negara itu.

Helvy mendapat pendidikan sarjana muda di Fakulti Sastera, Universiti Indonesia (UI) dan sarjana di Fakulti Ilmu Budaya di universiti yang sama, sebelum berkhidmat sebagai Pensyarah Bahasa dan Sastera di Fakulti Bahasa dan Seni, Universiti Negeri Jakarta (UNJ).

Beliau menghasilkan lebih 40 buku pelbagai genre sejak 1996 dengan sebahagiannya diterjemah ke bahasa Inggeris, Jepun, Arab, Sweden, Jerman dan Perancis seperti Ketika Mas Gagah Pergi, Sebab Sastra yang Merenggutku dari Pasrah, Hingga Batu Bicara, Nyanyian Perjalanan, Manusia-manusia Langit, Titian Pelangi, Lelaki Kabut dan Boneka, Tanah Perempuan serta Bukan di Negeri Dongeng.

Selain pembabitannya dalam FLP sebagai Ketua Majlis Penulis FLP, Helvy turut aktif dalam kegiatan kesusasteraan seperti Anggota Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) dan Anggota Dewan Kesenian Jakarta.

Beliau turut membentuk Teater Bening di Fakulti Sastera UI yang dianggotai pelajar wanita menulis dan berpengalaman menulis naskhah drama serta mementaskannya di Gedung Kesenian Jakarta dan Taman Ismail Marzuki (TIM) di Jakarta.

Puisinya, Fisabillah memenangi Peraduan Cipta Puisi Yayasan Iqra peringkat kebangsaan, manakala cerpennya, Jaring-jaring Merah, memenangi Cerpen Terbaik Majalah Sastra Horison (1990-2000) dan Lelaki Kabut dan Boneka pula meraih Anugerah Pena.

Beliau turut menerima anugerah Tokoh Perbukuan Nasional, Islamic Book Fair Award anjuran Ikatan Penerbit Indonesia (Ikapi) dan Anugerah Tokoh Sastera Eramuslim.

Dalam keterampilannya sebagai tokoh Muslimah, beliau diberi penghormatan untuk menerima Anugerah Ummi oleh majalah Ummi; Anugerah Inspirasi Wanita (Tabloid Nova dan Kementerian Pemberdayaan Perempuan); Anugerah Muslimah Teladan (majalah Alia); Ikon Wanita Indonesia (majalah Gatra).
likeflag

Sign into Goodreads to see if any of your friends have read Bukavu.
sign in »

No comments have been added yet.