Nazmi Yaakub's Reviews > Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam

Mencari Jalan Pulang by Kassim Ahmad
Rate this book
Clear rating

by
3449784
MENCARI Jalan Pulang Daripada Sosialisme kepada Islam karya Dr Kassim Ahmad bukan sekadar memoir atau autobiografi biasa yang merakam perjalanan hidup tokohnya, sebaliknya rangkuman aliran pemikiran Kassim yang memperlihatkan pendewasaan sejajar dengan perubahan zaman.

Buku dengan kata pengantar oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ini dipecahkan kepada empat bahagian mewakili proses kematangan fikiran dan idealisme berlandaskan faktor perubahan persekitaran yang melalui latar tradisi, akademik dan aktivis.

Empat bahagian itu seolah-olah menjadi kotak masa yang mengepung peristiwa penting, tetapi diikat erat kerana setiap period memberi kesan kepada perubahan pemikiran yang dianuti pengarang bermula Bahagian I: Permulaan; Bahagian II: Di Menara Gading; Bahagian III: Di Perantauan dan Bahagian IV: Kembali ke Pangkuan Ibu.

Meskipun bahagian pertama menyorot kehidupan awal Kassim tampak tidak lebih daripada keharusan dalam memoir, rakaman sejarah itu sebenarnya memberi gambaran kasar pembentukan tanggapan pengarang terhadap pengamalan dan pendidikan Islam secara tradisional yang mempengaruhi cara fikir yang cenderung kepada Islam pada dekad mutakhir.

Penghijrahan Kassim dari latar tradisional ke akademik di Singapura, membawa perubahan besar dalam hidupnya seperti didedahkan dalam Tercabut dari Akar Umbi ekoran pengaruh kehidupan bebas dan aliran sosialisme mula menerjah pemikirannya, selain percambahan ilmu dengan rakan sekuliah yang juga tokoh besar bidang masing-masing.

Proses pembentukan idealisme turut dipercikkan daripada pelbagai peristiwa besar yang menggugat dunia pada zamannya seperti kebangkitan Asia dan kehancuran sistem kolonial kuno yang melahirkan sistem sosialisme di Russia serta China, Perang Dunia Pertama dan Kedua yang turut mengubah peta dunia dari segi politik, selain perang dingin yang mencetuskan pelbagai konflik.

Bahagian III: Di Perantauan mendedahkan proses peralihan pemikiran Kassim yang mencari jawapan kepada permasalahan dunia lewat sosialisme kepada cubaannya untuk mengintai Islam di sebalik kehidupannya bermula sebagai tenaga pengajar di School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London sehingga pulang ke tanah air.

Pada bahagian terakhir, pengarang mencampuradukkan rakaman pembabitan dan pengundurannya dalam gerakan sosialisme, penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), peristiwa penting dalam negara ini serta percikan pemikiran dan tafsirannya terhadap Islam.

Dalam buku ini, pengarang tidak dapat mengelak daripada menyelitkan pandangan kontroversinya kerana pemikiran itu sudah sebati dengan perjalanan hidupnya sehingga melahirkan buku Hadis-Satu Penilaian Semula yang menyalakan perdebatan terhadap tafsirannya terhadap hadis.

Buku setebal 243 halaman terbitan ZI Publications Sdn Bhd berharga RM35 senaskhah ini, sebenarnya menunjukkan Kassim tidak pernah menguburkan pemikirannya, sekali gus menunjukkan pandangannya wajar dijawab dengan hujah oleh pihak berkenaan.

Dunia kontroversi penulis, penyair

DR Kassim Ahmad yang dilahirkan di Kampung Kubang Tampang, Lepai, Kubang Pasu, Kedah, pada 9 September 1933, dengan nama Osman, tetapi diubah namanya kerana sering sakit, mendapat pendidikan awal di Sekolah Bandar Bahru, Kulim.

Peluang meneruskan pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar pada 1949, membuka pintu khazanah ilmu serta persuratan kepadanya sehingga memungkinkannya melanjutkan pengajiannya ke Universiti Malaya (UM) di Singapura pada 1955.

Dunia pengajian tinggi di negara republik itu mendedahkannya kepada pemikiran sosialisme dan Islam melalui kepustakaan dan percambahan fikiran bersama-sama rakannya yang masing-masing membina ketokohan tersendiri, selain mula terbabit dalam Kelab Sosialis UM.

Dengan sokongan Pensyarah UM Singapura, JC Bottoms, Kassim menyahut pelawaan untuk mengajar bahasa dan sastera Melayu di School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London, pada 1962 hingga 1966.

Dalam ranah sastera, Dr Kassim dikenali sebagai penyair yang tidak sunyi daripada kontroversi apabila menghasilkan puisi, Sidang Roh dan Jalan ke Parlimen pada 1960, selain disertasinya, Perwatakan Hang Tuah yang mencabar interpretasi keperwiraan Hang Tuah sehingga mengangkat Hang Jebat, turut mendapat perhatian.

Pembabitannya dalam politik pula menyaksikan beliau mengepalai Parti Sosialis Rakyat Malaysia selama 18 tahun bermula beliau pulang ke tanah air pada 1966, sebelum mengambil keputusan untuk berundur daripada gerakan itu pada 1984.

Kassim pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama hampir lima tahun yang turut mendorongnya membukukan pengalaman itu dalam memoir Universiti Kedua.

Selepas mengundurkan diri daripada politik, Beliau menubuhkan Jemaah al-Quran Malaysia (JAM) dan menghasilkan buku Hadis - Satu Penilaian Semula yang mencetuskan kontroversi sehingga dianggap antihadis.
3 likes · Likeflag

Sign into Goodreads to see if any of your friends have read Mencari Jalan Pulang.
Sign In »

No comments have been added yet.